Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

SOLAT ITU WAJIB!

Sedikit isu tentang solat. Entri kali ini agak islamik sedikit dan berusur nasihat dan teguran serta merupakan pengalaman aku sendiri.

Sepanjang aku menulis, rasanya tak pernah aku mengupas pasal isu solat atau pun sembahyang. Sejak kecil lagi aku telah dididik oleh kedua orang tua-ku untuk menunaikan solat. Aku telah dideahkan dengan kaedah dan cara-cara bersolat dan membaca Al-Quran ketika aku berumur 4 tahun (seingat aku) dan sudah boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan baik ketika berumur 5 tahun. Ketika kecil, ayah akan menjadi imam, mamaku akan menjadi makmum dan aku akan bersolat di belakang ibuku. Kami ketika itu kerap menunaikan solat secara berjemaah terutamanya waktu Maghrib dan Isyaa’. Kata ayah aku, “Solat itu penting bagi orang islam, dan dengan solatlah boleh mengelakkan kita dari gejala maksiat dan solat itu tiang agama, jadi walau dimana sahaja kamu berada….jangan tinggal solat!”

Aku pernah disimbah dengan air ketika waktu Subuh. Aku lewat bangun dan ketika itu cuti hujung minggu, bagi kanak-kanak yang berumur baru 10 tahun, hujung minggu akan digunakan sebaik mungkin untuk tidur, main dan main. Setelah seharian bermain di luar rumah dan pelbagai aktiviti seperti main nyorok-nyorok, perang-perang, menjelajah taman, godak parit dan longkang, menyauk ikan di longkang besar, lastik burung, main basikal dan panjat-panjat pokok, badan akan penat maka nak bangun pagi-pagi untuk bersolat Subuh adalah mustahil, malah nak bukak mata pun susah!

Maka…sebaldi air singgah di muka-ku ketika itu. Aku terkejut dan sedikit sesak nafas, maklumlah air dah masuk ke hidung dan mulut, tak perlu nak bersarapan pagi oleh kerana kekenyangan air itu. Hilang haus. Bantal, tilam dan selimut aku habis basah. Baju tidur habis lencun, seluar pulak dah kuyup. Mama aku kata, ayah dah tak sabar dan geram masa tu, aku dikejut berulang kali, pelbagai cara diguna untuk kejut aku bangkit dari tidur malah semuanya tidak berjaya.  Liat sangat! Nak disebat, masih tidur dan tak sampai hati. Tetapi atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang seorang ayah, maka sebaldi air diguna untuk mengujutku bangun dari tidur. Aku pun bangun, bersiap dan solat Subuh berjemaah bersama-sama mama dan adik. Ayah aku pernah kata, “kalau liat nak bangun subuh tandanya orang itu dah rasa sedap dan selesa sangat, sebab diselimuti oleh kulit babi”

Pernah satu ketika aku bermain bola bersama teman-teman di padang. Kami mula main bola dari jam 6 petang hingga berkumandang azan Maghrib. Ketika itu aku masih syok main. Main dan main dan main hingga terlepas waktu Maghrib untuk berjemaah di rumah. Aku leka dan pulang ke rumah hampir jam 7:50 malam. Sampai di pintu rumah, tali pinggang dan rotan ayah menanti. Aku dihambat dan disebat, berbirat punggung aku. Ayah marah kerana dua perkara. Satu, aku tak solat berjemaah dan kedua aku balik lewat. Selepas dihambat, aku bersiap dengan membersihkan diri dan terus bersolat. Malam itu aku didenda, tidak dibenarkan untuk makan malam. “Terpaksalah tahan lapar…..” aku fikir dalam hati. Malam itu aku fikir memang tak akan dapat makan, aku lapar dan letih..Kesian dan kasih, secara senyap-senyap mama memberikan aku makan pada malam itu. Alhamdullilah…

Apa yang aku nak tegaskan di sini, aku rasa sedih kini orang-orang melayu islam seperti tidak begitu menitik beratkan soal solat. Waktu maghrib masih kita boleh nampak anak gadis akan membonceng motor bersama teman lelaki. Ke hulu, ke hilir. Mana maruah diri seorang islam itu? Sudahlah tidak bersolat, buat maksiat pulak tu. Tidak hairanlah gejala buang bayi dan maksiat begitu berleluasa kini. Aku bukan alim mana nak mengupas isu ini. Tetapi sebagai seorang islam , mungkin ini adalah salah satu medium yang boleh aku gunakan untuk mengetengahkan isu mengenai solat ini.

Orang zaman sekarang seperti menganggap solat itu menyusahkan dan tak perlu dilakukan. Malah ada pulak sanggup mentertawakan orang lain yang bersolat. Malah sering meringan-ringankan solat dan melambat-lambatkan solat. Kenapa? Solat itu mudah, malah hanya mengambil masa yang sekejap sahaja. Kurang dari sepuluh minit untuk kita lakukan tanggungjawab kita sebagai hamba kepada-Nya. Sesunggunya solat itu wajib untuk setiap orang islam dan ianya boleh membendung maksiat.

Abi MuslimAt-tighlibi r.a. meriwayatkan:
“Sekali aku pergi menemui Abu Umamah (r.a) tatkala beliau berada di dalam masjid. Daku bertanya pada beliau sekiranya beliau benar-benar mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda bahawa apabila sesaorang mengambil wudhu’ dengan sempurna lalu menunaikan solat fardhunya, Allah s.w.t. mengampun segala dosanya yang telah dilakukan pada hari itu oleh kakinya yang bergerak kearah melakukan maksiat, oleh tangannya yang berbuat maksiat, oleh telinga yang mendengar berita-berita maksiat. Jawabnya, “Demi Allah, daku mendengar perkataan-perkataan ini dari Rasulullah s.a.w berkali-kali.”

p/s – Solat itu wajib!



Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s