Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

MENCARI PEMERINTAH ‘UNGGUL’ ATAU PEMERINTAH ‘SEBENAR’

Sepanjang waktu para ahli falsafah, putera raja dan nabi memang prihatin dan mengambil berat akan cara manusia cuba memerintah dirinya. Tiap seorang cuba mencadangkan jalan dan kaedah mengatur masyarakat. Dahulu atas faktor kepercayaan bahawa apa yang terkeluar dari kubu kota Eropah dan Amerika sudah tentulah benar kerana mereka – para Mat Salleh – lebih tinggi, lebih putih, dan hidung mereka lebih besar; kita di Asia mungkin memandang pada Plato, de Tocqueville, Marx dan Milton, Friedman untuk panduan. Pada hari ini fesyen ikutan terbaru ialah untuk mengutuk barat dan memburukkan tulisan yang dahulunya kita puja kerana orang yang sama tiba-tiba kini lebih malas, bodoh, (sebab hidung mereka lebih besar dan tinggi serta panjang kehadapan) dan lebih tidak bertamadun daripada apa yang kita sangka mula-mula dahulu.

Bagaimanapun dengan menjelangnya pilihanraya, aku rasa tiba masanya untuk melihat berbagai-bagai falsafah Asia, dan tentunya Al-Quran. Kenapa? Mungkin kerana kitab suci ini dapat mencadangkan cara atau metod kepada aku untuk menggunakan hak aku semasa mengundi di bawah Perlembagaan.

Malangnya, institusi demokrasi dan pilihanraya popular tidak wujud sama ada di tanah arab  abad ke-7 ataupun pada zaman Confusius dan Mencius di China. Oleh itu, aku terpaksa membuat analogi. Apa yang aku maksudkan? Di sini aku bermaksud aku terpaksa membaca dengan separuh dan sepenuh minda terhadap prinsip asas dan maksudnya begitu juga penggunaannya dalam masyarakat moden – dari satu segi, ia sejenis ijtihad. Pentafsiran semula yang dinamik dan bercita-cita tinggi tanpa melupakan yang asal.

Jadi apa yang sebenarnya menarik perhatian aku? Mudah sahaja, takrif. Takrif? Aku bukan cuba tunjuk pandai walaupun usiaku masih muda, belia dan remaja? Atau aku kurang makan garam dan gula daripada kamu yang lebih berusia dari aku? dan ini mengundang jawapan seperti biasa; ya atau tidak. Contohnya, dalam buku Analects Confucius, aku tertarik dengan prinsip membetulkan nama, bukankah itu mengenai takrif yang kita kaitkan dengan sesuatu. Kalau aku tidak silap menurut Confucius, alasannya seperti berikut; setiap benda atau objek mempunyai ciri-ciri tersendiri yang merupakan intipatinya. Maaf kalau kamu keliru, tetapi biar aku jelaskan lebih lanjut. Pada dasarnya, seorang pemimpin atau raja mempunyai ciri atau intipati khas: kepada Confucius, itu adalah ‘jalan’ yang baik (yi) juga berhati kemanusiaan (jen) serta penuh dengan rasa tanggungjawab dan sesuatu kewajipan. Contohnya, kata-kata mudah Confusius; “Biar pemimpin menjadi pemimpin, menteri jadi menteri, ayah jadi ayah dan anak jadi anak“.

Membimbangkan? Ya dan Tidak – kerana ia memang mencadangkan cara melihat dunia, institusi pemerintahan dan menteri kita secara yang begitu lurus dan berterus-terang ia mengejutkan. Seolah-olah dia suruh kita perhatikan mereka, dan lihat bagaimana diri mereka yang sebenar berbanding dengan yang sepatutnya. Kita patut tanya, sejauh mana baik dan berhati kemanusiaan pemimpin kita dalam menjalankan kewajipan mereka. Adakah mereka mencari keuntungan peribadi melalui tender-tender yang besar, atau melalui rasuah yang tidak kelihatan, atau mungkin juga melalui judi yang dikatakan halal? Ini tidak boleh diterima sekurang-kurangnya mengikut pandangan Confucius. Lihat, betapa ajaran dari Confucius pun menolak prinsip ini apatah lagi dari kaca mata Islam itu sendiri.

Al-Quran dan Hadis juga serupa. Sekali lagi ditekakan ialah takrif apa yang dikatakan pemimpin yang baik dan bagaimana pemimpin ‘sebenar’ berbanding yang ‘unggul’. Al-Quran mengingatkan bahawa ketaatan hanya layak untuk mereka yang betul-betul baik: ini pengajaran kepada sebilangan ahli politik. Dengan itu, walaupun seorang pemimpin, kegagalannya memerintah menyebabkan tidak layak lagi untuk memegang jawatan. Maka, jika tidak mampu letak sahaja jawatan dan beri pada yang boleh menerajui dan menakhoda zaman! Sepertimana Confucius, terdapat hujah bahawa memang wujud pemimpin ‘unggul’, maka pemimpin ‘sebenar’ perlulah peka kerana prestasinya sedang dinilai.

Terdapat juga seruan terhadap pemegang kuasa untuk berhati-hati dan bijaksana menggunakan kuasa demi memelihara kemashalatan masyarakat keseluruhan, bukan atas kepentingan peribadi. Sebuah hadis khasnya, menjelaskan keluasan tanggungjawab seorang pemimpin dan persamaannya dengan tanggungjawab seorang ayah. Amat kemas dan menarik sehingga aku terpanggil untuk memetik sepenuhnya di laman ‘jartatan’ ini.

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan disoal mengenai mereka dibawah pimpinnannya; raja adalah pemimpin dan dia akan disoal mengani rakyatnya; seorang lelaki pemimpin dalam keluarganya dan dia akan disoal mengenai mereka dibawah jagaannya; wanita pemimpin di rumah suaminya dan dia akan disoal mengenai mereka dibawah jagaannya; dan seorang khadam adalah pemimpin dalam penjagaan harta bagi tuannya dan dia akan disoal tentang apa yang diamanahkan kepadanya

p/s – Jadi apakah iktibar dari pembacaan ini? Ia mengajar aku bahawa walaupun kita sedang meninggalkan kerja dan hasil buah tangan barat, mereka tyang di timur juga mendalam kritikannya terhadap rasuah, autokrasi dan penyalahgunaan kuasa. Malahan, aku rasa ukuran bagi menilai ‘tuan’ politik kita menjadi lebih ketat daripada apa yang wujud hingga ini. Aku tertanya-tanya adakah ‘tuan’ politik kita sedar tentang ini???


Advertisements

One response

  1. berapa banyak pemimpin yang sedar yang dia membuat banyak kesalahan dan mahu meletakkan jawatan?

    tiada.

    kenapa?

    kerana mereka memikirkan meletak jawatan adalah sesuatau yang memalukan. mengaku salah adalah tewas.

    kalau menurut mak aku pula:
    siapa nak letak jawatan kalau dah duduk kat lubuk duit

    Jun 15, 2010 at 1:43 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s