Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

BUAYA DI PANTAI PORT DICKCSON SATU REALITI

Sebelum ini ramai yang mengatakan kisah buaya di pantai peranginan terkenal di Malaysia, Port Dickson. Sukar untuk dipercayai, dan dengan banyak desas-desus di kalangan penduduk tempatan termasuk yang diperkatakan di Internet mengenai kewujudan buaya di pantai-pantai sekitar Port Dickson. Seorang posmen Mohamad Helme Leman, 25, antara yang pernah mendengarnya. “Tetapi saya tidak pernah percaya,” katanya. Bagaimanapun apa yang berlaku ke atasnya ketika sedang mandi-manda di salah sebuah pantai di pusat peranginan terkemuka itu baru-baru ini menyebabkan dia terus percaya dengan desas-desus itu sekali gus dianggapnya percutian mengerikan dan akan dikenang sepanjang hayat.

Helme Leman menunjukkan kesan gigitan buaya di kaki kanannya

Berita tersebut telah dinafikan oleh beberapa pihak dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang menyatakan kewujudan buaya di pantai tersebut sebagai satu rekaan semata-mata dan pihak berkuasa telah menyatakan pantai Port Dickson adalah selamat untuk dikunjungi. Berita Penuh adalah seperti berikut yang dipetik dari Bernama.

SEREMBAN, 18 Jan (Bernama) — Luka di kaki seorang pengunjung ke pantai Port Dickson yang heboh dilaporkan di akhbar dan internet kebelakangan ini bukan akibat serangan buaya atau ikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau yang menerima laporan dari pakar-pakar perubatan menyatakan, kesan luka tersebut mungkin disebabkan oleh punca lain tetapi bukan dari haiwan ganas.

“Ini bukan saya kata tapi menurut pakar yang meneliti kes itu, kita tidak pasti apa yang menyebabkan luka itu tapi macam-macam kemungkinan, mungkin terumbu karang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini Isnin. Katanya, belum pernah berlaku dalam sejarah Port Dickson, pengunjung diserang oleh binatang liar seperti buaya atau ikan yu. Beliau berharap orang ramai bertenang dan tidak membuat pelbagai andaian berdasarkan spekulasi. Beliau berkata, pada umumnya, Port Dickson merupakan pantai peranginan yang selamat dikunjungi. “Kita ada membuat pemantauan, di pantai-pantai awam kita ada menara kawalan, kita dibantu oleh St John Ambulance, Jabatan Pertahanan Awam dan RELA,” katanya.  Sama ada duduk di hotel atau mahu berkhemah di tepi pantai, orang ramai dan pelancong tidak perlu risau dengan keselamatan mereka, katanya. Beliau mengulas laporan mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya diserang dan kakinya digigit hingga parah oleh seekor binatang dipercayai buaya. Lelaki itu, dipercayai seorang posmen, mendakwa, waktu diserang, melihat lembaga seperti buaya dengan bentuk badannya yang leper, keras dan kehitaman dalam air di pantai berkenaan.
— BERNAMA

Selain daripada itu, pihak PERHILITAN juga ada menafikan kewujudan buaya di pantai ini, dengan mengesahkan bahawa Pantai Batu 4, Port Dickson selamat dan bebas daripada ancaman haiwan berbahaya. Pengarahnya, Ishak Muhamad berkata, selepas pemantauan rapi, pihaknya menolak sama sekali dakwaan seorang lelaki bahawa dia menjadi mangsa serangan buaya di kawasan terbabit. Berita penuh adalah bertarikh 18 Januari 2010 seperti yang dilaporkan di dalam Utusan Malaysia.

Kini, satu Malaysia telah digemparkan dengan satu berita yang mengejutkan. Terbaru, seekor buaya ditemui mati terdampar di Teluk Kemang, berita penuh aku ambil dari Kosmo!.

TELUK KEMANG 2 Ogos – Memang benar ada buaya di Port Dickson!
Buktinya adalah penemuan bangkai seekor buaya tembaga berukuran 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter dengan berat lebih kurang satu tan di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson di sini hari ini. Penemuan itu menggemparkan penduduk sekitar yang sebelum ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran reptilia itu di pantai berkenaan sehingga bangkai haiwan itu ditemui terdampar berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini. Kisah buaya di Port Dickson pernah menjadi topik hangat pada Januari lalu apabila seorang pemuda dari Melaka mendakwa kakinya digigit oleh reptilia itu sehingga cedera. Bagaimanapun, kisah itu dinafikan Jabatan Perikanan negeri serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selain kerajaan negeri. Penduduk yang menemui bangkai buaya tembaga itu, Suhaimi Salim, 35, berkata, ketika itu dia memancing bersama-sama rakannya di lokasi berkenaan.

”Pada awalnya saya nampak satu objek seperti sebatang kayu besar dihanyutkan arus dan terapung di permukaan laut tetapi selepas dihampiri kami terkejut apabila objek itu adalah bangkai seekor buaya yang besar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia bersama beberapa rakan yang lain menarik bangkai buaya itu ke pantai selepas yakin reptilia berkenaan sudah tidak bernyawa lagi sebelum menghubungi anggota polis dan orang ramai untuk mengesahkan penemuan bangkai berkenaan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi kejadian bertukar menjadi ‘pesta’ apabila orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan bangkai haiwan itu dari dekat. Kata mereka, selama tinggal di Port Dickson dan berkunjung ke Tanjung Agas, ini adalah kali pertama reptilia sebesar itu ditemui oleh penduduk. Bagi Mohd. Farez Mohd. Said, 19, dia percaya reptilia berkenaan datang dari kawasan paya bakau Sungai Linggi dan berada di laut untuk mencari ikan di pesisir pantai.

”Kami memang biasa memancing di situ dan penemuan bangkai buaya ini menakutkan kerana ia besar,” katanya.

Bagi Azay Mohd. Safri, 30, pula, dia tidak menduga ada buaya ‘tersesat’ di laut dan ia boleh mengancam nyawa manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika reptilia berkenaan kelaparan.

”Tentulah kami terkejut kerana ada buaya di laut Port Dickson,” ujarnya. Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zafifi Ramli berkata, pihaknya akan menyiasat kewujudan bangkai buaya di Tanjung Agas itu dan punca kematian haiwan itu. ”Kita akan menjalankan kajian terhadap bangkai buaya itu dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka,”

p/s – Kesimpulannya buaya air masin di pantai peranginan Port Dickson bukan satu mitos. Sahih ianya wujud! Jadi, berhati-hati ketika mandi-manda di pantai peranginan ini.

One response

  1. suhaila suhaimi

    pakcik saye tu,,huhuu

    Februari 23, 2012 at 5:14 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s