Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

HANYA SECEBIS KERTAS

Sebentar tadi aku terima e-mail dan ianya amat bagus untuk renungan bersama. Sila baca jika kamu mahu.

TERIMA kasihlah ustaz! Rasanya tidak terbalas budi itu,” ucap Pak cik Amin perlahan – salah seorang jemaah yang saya bawa pada tahun 1997. Dia mengungkapkan ucapan itu selepas jenazah isterinya, Maznah, selamat dikebumikan di suatu kawasan perkuburan di Jeddah.

“Sama-sama.. . itu dah jadi tanggung jawab saya,” kata saya sewaktu berjalan keluar dari kawasan perkuburan itu.

Dalam pada itu saya sabarkan lelaki berusia 58 tahun itu selepas melihat dia teresak-esak. Sampai di hotel, saya catatkan nama tanah perkuburan itu dan lakarkan lokasi kubur Allahyarham Mak cik Maznah dan daerahnya sekali, Perkuburan di Mekah, Jeddah atau Madinah berbeza daripada Malaysia.

Di sana tidak ada batu nisan atau tanda yang menunjukkan bahawa kubur itu milik si polan bin si polan. Kalau waris datang berziarah hanyalah berdasarkan ingatan sahaja. Sejak bekerja dengan Tabung Haji 10 tahun lalu, itulah kali pertama saya mencatatkan nama perkuburan dan tempat mayat dikebumikan. Yang peliknya siap dengan lakaran peta sekali. Sebelum ini saya tak pernah buat begitu.

Biasanya selesai semua urusan pengebumian, pegawai Tabung Haji tidak akan ambil tahu fasal kubur. Bergantunglah pada waris jemaah yang ada masa itu jika mahu mencatat nama dan kedudukan kubur tersebut. Entahlah, saya tak tahu mengapa tiba-tiba hati tergerak untuk melakarkan peta itu. Mungkin diselubungi rasa simpati yang melangit, kertas sebesar duit lima puluh ringgit itu saya serahkan kepada Pak cik Amin. Peliknya Pak cik Amin tak bertanya pun mengenai kertas yang saya hulurkan kepadanya. Dia ambil lalu disumbatkan ke dalam saku baju Melayunya. Tidak banyak yang dicakapkannya, mungkin masih terkejut lagi dengan pemergian isterinya – di saat-saat bersiap-siap untuk pulang ke tanah air. Beberapa jam sebelum dijadualkan pulang, Pak cik Amin banyak termenung. Apabila terpandang jubah-jubah isteri di dalam beg dia menangis.

“Sabarlah pak cik, sudah ajalnya di sini. Nanti kalau ada kesempatan pakcik lawat dia,” pujuk saya. Pak cik Amin hanya mengangguk-angguk, tetapi air matanya terus berderai. Dia lalu menceritakan kebaikan arwah isterinya sejak berkahwin hampir 40 tahun.

“Saya redha, tetapi sebagai manusia biasa saya tak dapat menahan sedih,” katanya sambil memeluk saya.

“Lupa pulak saya ustaz, apa nama kubur tu?” tanya Pak cik Amin setelah perasaannya dapat dikawal. Barulah saya sedar rupanya dia tidak tahu langsung kertas yang saya berikan kepadanya itu.

“Mana kertas yang saya beri tadi?” tanya saya. Pak cik Amin terpinga-pinga. Dia hilang punca, seolah-olah tidak tahu-menahu langsung.

“Kertas putih yang saya bagi pak cik tadi. Saya nampak pak cik masuk dalam kocek, cuba tengok,” balas saya. Pak cik Amin membuka beg kecilnya kemudian menggeleng-geleng. Beberapa minit kemudian dia raba pula saku baju Melayunya. Berkerut keningnya apabila terpegang sekeping kertas. Lalu  dikeluarkan dan ditunjukkan kepada saya. Saya mengangguk dan kemudian berkata: “Dalam tu saya catatkan nama dan alamat kubur tu. Saya dah lakarkan peta dan kedudukan kubur arwahnya.”

Pak cik Amin membuka lipatan, menelitinya seketika kemudian mengucupnya. Sedih benar saya lihat dia ketika itu. Dilipatnya semula kertas itu lalu dimasukkan ke dalam beg kecil. Dalam penerbangan balik saya perhatikan Pak cik Amin tidak putus-putus menatap kertas kecil yang saya berikan tadi.

Sesekali saya lihat air matanya meleleh. Mungkin perasaan hibanya datang dan pergi apabila mengingat saat-saat akhir isterinya menghembuskan nafas di pangkuannya sendiri. Saya lalu teringatkan Makcik Maznah. Dia memang tak pernah sakit sepanjang mengerjakan haji. Badannya yang kurus dan kecil masih jelas di mata saya berjalan pantas ke sana ke mari. Pantang dengar ada jemaah wanita sakit, dialah yang dahulu akan sampai bertanya khabar.

Kerana itulah, saya cukup terkejut apabila Pak cik Amin beritahu, isterinya sakit dada pada senja kelmarin. Pasukan perubatan dipanggil untuk memberikan bantuan. Setengah jam kemudian Mak cik Maznah menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suaminya.

“Terima kasih nak Hadi. Kalau panjang umur kita jumpa lagi,” ucap Pak cik Amin sewaktu beriringan ke pusat kutipan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Semua beg Pak cik Amin dan arwah isterinya saya kumpulkan di satu tempat. Kemudian dia bersalam dan memeluk saya sebelum beredar. Perlahan-lahan dia lepaskan tangan saya dan terus berlalu sambil menolak troli yang sarat dengan beg. Saya hanya memerhati dia berjalan di celah-celah jemaah haji yang ramai.

Enam tahun berlalu… Mei 2003 saya ditugaskan mengetuai sekumpulan jemaah umrah. Bersama-sama rombongan saya adalah sekeluarga dari Puchong. Si suami berumur 40-an bernama Sahab dan isterinya, Mariam. Ke mana sahaja saya pergi Sahab akan mengekor. Waktu makan pun dia selalu mencari tempat di sebelah saya. Kalau kebetulan dia sampai ke dewan makan lebih awal, Sahab akan tunggu hingga saya sampai. Dia akan sediakan kerusi untuk saya walaupun banyak lagi kerusi lain yang kosong.

Seboleh-bolehnya Sahab nak duduk dengan saya. Sikap ramah dan mesranya membuatkan saya tertanya-tanya kenapa dia bersikap begitu kepada saya. Saya rasa telah diberikan suatu penghormatan yang terlalu tinggi.

“Ustaz asal dari mana?” Sahab bertanya setelah hubungan kami semakin rapat suatu petang.

“Johor,” jawab saya ringkas.

Sahab terdiam, tetapi mengangguk-angguk. Kemudian dia menyambung lagi… “Dah berapa lama kerja dengan Tabung Haji?”

“Dekat-dekat l5 tahun,” jawab saya.

“Selalulah bawa jemaah haji?” tanyanya lagi,

Dengan mesra saya menjawab setiap pertanyaan dan saya rasa dia sedang mencari sesuatu daripada saya. Ada ketikanya saya takut apabila disoal siasat begitu.

“Banyak kali… Encik Sahab dah berapa kali ikut Tabung Haji,” saya bertanya pula.

“Dua kali, dulu haji,” Jawabnya.

Namun belum pun sempat menyambung kata-kata saya

Sahab lebih pantas bercerita: “Tahun lepas saya ke Jeddah melawat kubur arwah mak.”

Sahab bercerita, emaknya meninggal semasa musim haji 1997 beberapa jam sebelum penerbangan balik ke Malaysia. Demi mengikut peraturan Arab Saudi dia terpaksa dikebumikan di salah satu kawasan perkuburan di Jeddah.

“Ustaz ingat Pak cik Amin… isterinya Maznah,” tanya Sahab.
Saya kerutkan kening cuba mengingat kembali nama lelaki yang disebut oleh Sahab.

Entahlah, saya tidak mampu mengingatinya kerana ramai sangat jemaah yang saya bawa sepanjang enam tahun lalu. Sahab tersenyum melihat saya bersusah payah mengingati apa yang dikatakannya itu. Kemudian dia menyeluk beg sandangnya, mengeluarkan sekeping kertas putih yang sudah bertukar kekuning-kuningan. Kertas itu dah lunyai dan bekas lipatannya ada yang terkoyak. Saya ambil kertas itu dan membelek-beleknya. Serta-merta ingatan saya kembali kepada Pak cik Amin.

“Ni tulisan saya, kalau tak salah saya berikan pada salah seorang jemaah haji yang isterinya meninggal beberapa jam sebelum pulang ke Malaysia dahulu,” terang saya.

“Amin Wahid nama jemaah tu dan yang meninggal tu Maznah Ahmad. Mereka berdua mentua saya,” jelas Sahab.

“Aaaaaaa… Pak cik Amin! Ya… yaaa.. saya ingat. Apa khabar dia sekarang?” saya tak sabar bertanya.

“Abah dah dua tahun meninggal. Dia beberapa kali berpesan kepada saya supaya mencari kakitangan Tabung Haji yang memberikan peta ni. Namanya dia dah lupa.

“Inna lillahi wa inna ilaihirajiunnnn. ..” balas saya.

“Memang dah lama saya cari ustaz… tak pernah bertemu,” cerita Sahab tersenyum-senyum puas. Saya menggeleng-geleng melihat secebis kertas yang sudah kusam itu. Menurut Sahab berpandukan kertas itulah adik-beradiknya menziarah kubur emak mereka setiap kali berkesempatan menunaikan haji atau umrah. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih, lantas dipeluknya saya. Sambil menangis Sahab berkata, dia bersyukur kerana wasiat abahnya telah terlaksana – mencari saya.

“Tak terbalas rasanya budi ustaz. Kerana kertas yang sekeping nilah kami adik-beradik dapat cari kubur mak,” ucap Sahab dalam esak tangisnya.

Dia memanggil isterinya lalu memperkenalkan saya. Dengan linangan air mata, isteri Sahab beberapa kali mengucapkan terima kasih.

“Sikit saja pertolongan saya, malah saya dah lupa pun. Tetapi tak sangka ya, kerana sekeping kertas ikatan silaturahim kita bersambung. Itulah rahmat Allah,” tambah saya.

Sejak itu hubungan saya dengan keluarga Pak cik Amin semakin rapat. Walaupun tidak ada pertalian darah tetapi persaudaraan Islam yang diikat daripada hanya secebis kertas kekal hingga ke hari ini.

p/s – Di bulan yang mulia ini, wajarlah ikatan siratulrahim diperkukuhkan.

One response

  1. kupas isu buang bayi beb. sape buang bayi, hukum mati!
    ade video terbaik aku share dlm latest post. sgt2 bagus! peace!

    Ogos 13, 2010 at 3:59 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s