Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

MASJID AL-WAHIDIAH YANG UNIK!

Slot program “Dari Masjid ke Masjid” yang dihoskan oleh personaliti TV3, Ahmad Fedtri telah membuka mindaku mengenai masjid-masjid yang dibina di seluruh Malaysia. Rancangan yang bersiaran di sepanjang bulan Ramadhan ini amat memberi manfaat dengan pelbagai maklumat yang menarik berkaitan cerita-cerita di sebalik masjid, kisah mengenai imam-imam masjid dan sebagainya. Siaran pada hari ini telah memberikan pendedahan berkaitan masjid yang dibina daripada anyaman tepas atau tepus buluh minyak bermotif geomatri Arab dan dicat dengan warna bendera negeri Perak yang mungkin merupakan yang seumpamanya di Malaysia malahan mungkin juga di dunia! Unik! Sedikit maklumat berkaitan masjid ini sebagai info kepada kamu semua.

JANGAN sangka orang Melayu saja mampu membina masjid. Pembinaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak diketuai seorang tukang kayu berketurunan Cina dan dibantu penduduk setempat secara gotong-royong. Orang ramai turut berganding bahu menyiapkan kerja menganyam dinding dan melakukan ukiran kayu. Masjid berkenaan dibina pada 1936 dengan pembiayaan yang diberi Sultan Perak yang ke-30, Sultan Iskandar Shah, dengan kos kira-kira RM8,000.

Sultan Iskandar bernazar, apabila seorang daripada anakanda baginda sembuh daripada gering, baginda akan membina sebuah masjid. Ia dibina atas tanah yang diwakafkan juragan Abdul Syukur Mohamad Ali. Hasrat baginda mula timbul apabila melihat masyarakat setempat terpaksa menunaikan solat berjemaah di madrasah usang. Ketika itu baginda melalui kampung berkenaan sekembalinya daripada berkelah di Lata Bubu. Bagaimanapun kerana masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Ihsaniah Iskandariah sudah uzur, dan apabila kerja pembinaan masjid baru yang dikenali Masjid Al-Wahidiah selesai, masjid lama tidak digunakan lagi sejak 1976.

Bagaimanapun kerana mempunyai nilai sejarah, masjid berkenaan mendapat perhatian Jabatan Warisan Negara (JWN) dan kerja pemulihan mengambil masa hampir setahun dan berjaya disiapkan Disember tahun lalu. Majlis penyerahan bangunan warisan Masjid Ihsaniah Iskandariah, Kampung Kuala Dal disempurnakan Pesuruhjaya JWN, Prof Datin Paduka Zuraina Majid, baru-baru ini.

Plak konservasi turut dipasang sebagai simbol bangunan berkenaan siap dipulihara, selain sebagai tanda pengiktirafan bangunan berkenaan sebagai warisan. Kerja baik pulih masjid dan bangunan yang mempunyai nilai warisan adalah antara objektif utama jabatan berkenaan untuk mengawasi, memulihara, memelihara dan membaikpulih khazanah warisan negara. Keunikan masjid ini dapat dilihat pada reka bentuk binaan yang menyerupai seekor burung. Selain itu, dinding masjid dua tingkat ini diperbuat daripada anyaman tepas atau tepus buluh minyak bermotif geomatri Arab dan dicat dengan warna bendera negeri Perak. Kerja menganyam pula dilakukan beberapa orang tempatan seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulop Ngah. Terdapat 20 tingkat berdaun dua yang dihiasi ukiran tebuk terus tidak bersilat bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Ragam hias dibuat penduduk tempatan. Bumbung masjid berbentuk limas bungkus dengan atap zink yang dianggap bahan eksklusif ketika itu.

Apabila kerja baik pulih dilakukan, JWN mengekalkan teknik pemuliharaan seperti ukiran kayu, dinding kelarai asal dan dinding kelarai baru. Kerja pemuliharaan ukiran kayu dimulakan dengan merekod ukiran dan saiz panel ukir serta spesies kayu. Jika perlu pembaikan atau diganti baru, ia dibuat tukang kayu menggunakan cara tradisional tanpa mesin. Untuk pemuliharaan dinding kelarai asal, buluh minyak iaitu spesis buluh asal kelarai sedia ada diperoleh dari ladang di Arau, Perlis. Kerja menghasilkan dinding kelarai dilakukan Meriah Ahmad yang menjalankan perusahaan anyaman di bawah projek Kraftani anjuran Jabatan Pertanian Perlis.

p/s – Moh ke masjid!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s