Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

MENARA WARISAN MERDEKA; ADAKAH IANYA DIPERLUKAN?

Gambar hiasan ihsan dari Malaysiakini

Aku tergerak hati untuk menulis entri ini setelah terbaca artikel berkaitan ini di blog temanku, di sini.

Dalam pembentangan bajet 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan mengenai projek Mega pembinaan menara Warisan Merdeka. Menara Warisan Merdeka ini dijangka akan siap selewat-lewatnya tahun 2015. Peruntukan untuk pembinaan menara ini adalah sebanyak RM5 Bilion, dan kemungkinan ianya akan mula dibina pada pertengahan tahun hadapan. Bangunan menara yang setinggi seratus tingkat ini menurut laporan akan dibina di kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Selepas siap menara ini dibina, ianya akan menjadi bangunan yang tertinggi di Malaysia, malah lebih tinggi dari menara berkembar Petronas (KLCC). Menara berkembar Petronas hanya berketinggian 88 Tingkat, namun menara Warisan Merdeka ini akan mempunyai 100 Tingkat. Projek Warisan Merdeka akan dibangunkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Ok, sila baca yang ini pula yang aku ambil dari Utusan Malaysia terbitan 18 Oktober 2010 yang bertajuk Besar Mana RM 3.1 Billion. Hasil tulisan ini adalah respons kepada CUEPECS yang masih berjuang untuk memohon bonus kepada setiap lapisan kakitangan kerajaan.

IA boleh digunakan untuk membina enam buah hospital, atau membina 15 batang jambatan merentangi sungai yang lebar, atau membina 1,200km jalan raya luar bandar selebar 8 meter, atau lebuh raya bertingkat sepanjang 30km, atau 150 buah sekolah, atau enam buah lapangan terbang baru. Nilai RM3.1 bilion ini amat besar ke atas pembangunan infrastruktur negara.

Justeru, para penjawat awam wajarlah menyedari bahawa pemberian bonus sebulan ke atas kakitangan awam ini merupakan satu pembaziran buat perbendaharaan negara dan tuntutan sedemikian oleh CUEPACS menafikan pula hak orang lain yang menunggu kedatangan arus pembangunan infrastruktur yang sempurna.Bayangkan nilai tersebut dan manfaat jangka panjang yang diberikan sekiranya dicurahkan untuk pembangunan infrastruktur, dengan manfaat jangka pendek yang sangat-sangat pendek bila dibelanjakan oleh kakitangan awam.

Matlamat merancakkan ekonomi negara bukanlah keperluan lagi seperti saat-saat negara menghadapi krisis dahulu. Malah kecairan melalui perbelanjaan kakitangan awam hanya menggalakkan perbelanjaan yang tidak berhemah di kalangan penjawat awam.Seharusnya perkhidmatan awam itu sendiri yang perlukan rombakan drastik luar kebiasaan bagi melipatgandakan produktiviti.

Sebaliknya, idea-idea peningkatan produktiviti seperti mewujudkan waktu anjal yang memberi signifikan ketara contohnya memperkenalkan dua waktu bekerja 7 pagi – 4 petang dan 11 pagi – 8 malam bagi membolehkan pejabat kerajaan dibuka sekurang-kurangnya 12 jam sehari dan urusan rakyat akan dapat dipermudahkan, perlu diambil kira.

SYAMSYUL FADZLI MAT

Putrajaya

Jadi, apa isunya di sini? Apa signifikannya dan relevennya RM 3.1 Billion kepada penjawat awam yang masih menagih bonus daripada majikannya, dan apakah relevennya pembinaan Menara Warisan Merdeka di kala ini? Apa pula implikasi positif yang kita dapat (baca; rakyat dan kakitangan awam) kesan dari pembinaannya? Adakah ini yang didukung oleh Kerajaan 1 Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Razak? Adakah ini yang diperjuangkan oleh kerajaan 1 Malaysia dengan motto “Rakyat Di dahulukan, Pencapaian Di utamakan”?

Jika dilihat kepada penulis di atas yang tidak begitu menginginkan 3.1 billion itu kerana jika dilaburkan kepada penjawat awam, ianya akan dibelanjakan hanya untuk matlamat pendek sahaja. Akan tetapi, dengan peruntukan 5 billion untuk membina menara 100 tingkat itu, adakah ianya memenuhi matlamat jangka panjang secara mikro dan makro? Cuba bayangkan jika 3.1 billion itu diberi kepada ribuan penjawat awam yang sudah begitu lama tidak menikmati bonus, akhirnya wang itu akan dapat dibelanjakan untuk memenuhi keperluan isi rumah sebagai contoh perbelanjaan sekolah dan juga menampung pembiayaan yuran-yuran pengajian di universiti anak-anak mereka. Perbelanjaan ini secara tidak langsung akan mengalirkan wang ke dalam pasaran dan secara tidak langsung dana peruntukan sebanyak 3.1 billion itu bukan sahaja boleh dinikmati oleh penjawat awam sahaja malah turut dirasai bersama dengan golongan penjual-penjual, peniaga, pemborong dan lain-lainya secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi juga. Ini sekadar sedikit contoh sahaja…

Jadi, adakah dengan dana 5 billion yang bakal digunakan untuk membiayai menara itu dapat dirasai oleh golongan isi rumah ini?

Adakah dengan memiliki sebuah menara yang bernama “Menara Warisan Merdeka” adalah untuk menberitahu dunia negara kita sudah merdeka? Adakah pembinaan menara ini sebagai menggambarkan satu peninggalan pemerintahan oleh DS Najib, sebagaimana mantan perdana menteri yang lain mempunyai “sesuatu” yang ditinggalkan kepada rakyat sebagai contoh koridor-koridor  wilayah oleh Pak Lah, Menara KLCC & Petronas oleh Tun M?

Ini, adalah kenyataan Perdana Menteri sebagai respons kepada tohmahan pembangkang bagi menjawab isu ini.

“Projek pembinaan mega ini adalah untuk merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi negara melalui pengagihan kerjakerja kontrak. Menurutnya lagi, kawasan pembangunan itu juga akan menjadi pusat perniagaan menempatkan usahawan bumiputera dan bukan bumiputera di bawah satu bumbung yang boleh dijadikan tarikan negara. Rasionalnya, negara memerlukan satu bangunan yang menjadi lambang negara yang bukan sahaja moden, tetapi maju.“

– – – – – – — -PPPffttttttt- – – – – – – – –

Ini adalah sekadar pendapat aku, rakyat marhean, tiada nama dan tiada apa. Cuma suara-suara sumbang yang inginkan sesuatu dari kerajaan yang sedang memerintah.

5 billion itu satu jumlah yang banyak. Amat banyak! Serius banyak! Apalah sangat dengan 3.1 billion tu…Jika ditolak dari 5 billion, masih ada baki 1.9 billion lagi. Jadi, apa kata 5 billion yang bakal disalurkan kepada pembinaan menara yang esok lusa, hanya segelintir orang sahaja yang dapat guna dan pakai, hanya sekelumit manusia sahaja yang dapat merasa nikmat dari pembinaannya diagihkan kepada kami, rakyat marhaean ini. Agihkan kepada keluarga miskin yang masih duduk di hujung kampung berturapkan jalan tanah merah, agihkan kepada mereka yang menginap sepi di hulu hutan yang tidak punya signal isyarat perhubungan telekomunikasi, agihkan kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket pula semakin kering. Salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji sebagai subsisdi. Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya – raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerana semuanya mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik – klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan. 5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka.

– – – – – – – PPPffttttt- – – – – – –

Masih ingat dengan bangunan Dayabumi yang pernah menjadi salah satu mercu tanda di Kuala Lumpur satu ketika dahulu? Bangunan ini dahulunya meriah, menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negeri, tempat untuk lokasi penggambaran, pengacaraan, dan tempat istirehat bagi masyarakat kota sama ada yang bekeluarga atau yang masih bujang. Bangunan ini begitu “hot” ketika di awalnya dahulu, orang ramai berpusu-pusu untuk ke bangunan ini, bergambar, bersiar-siar, mengorat awek, dan bermacam-macam lagi aktiviti sama ada rasmi atau pun tidak rasmi. Lokasinya yang begitu hamper dengan Dataran Merdeka, Masjid Negara, pusat pentadbiran kerajaan di sekitarnya dan terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur menjadikan Bangunan Dayabumi begitu “berdaya” maju dan progresif! Tetapi, adakah pada masa kini bangunan ini masih mempunyai “daya” tahan yang kuat untuk survivalnya?

Selepas pembinaan KLCC, masyarakat lebih tertumpu ke sana. Jadi, sudah menjadi resam manusia dan dunia…yang lama dan buruk akan ditinggalkan. Begitulah nasib Dayabumi…jadi kini bangunan ini lebih menjadi tempat penginapan rasmi golongan gelandangan dan orang tidak berumah. Ini pernah dilaporkan di dada-dada akhbar arus perdana baru-baru ini. Jadi, selepas siapnya pembinaan Menara Warisan Kemerdekaan adakah KLCC bakal menjadi hotel bertaraf 5 bintang bagi golongan gelandangan?

Menara KLCC dan Menara Kuala Lumpur

Apa yang aku takuti kini, bagaimana jika menara ini tidak berfungsi secara total kelak? kalau tidak berfungsi di kemudian hari program ini akan jadi satu pembaziran dan bagi aku, dengan keadaan semasa tidak  tada keperluan kepada negara untuk membina menara baru, malah ekonomi negara tidak semestinya dijana dengan membina sebuah menara, semata-mata hanya untuk menarik pelancong!

Lagi, yang amat mengerikan…bagaimana pula tiba-tiba ekonomi dunia jatuh merudum justru telah menghalang kelangsungan pembinaan projek tersebut dan merencatkan progress pembinaanya. Adakah pembinaan akan diteruskan? Mungkin tidak…kebanyakkan pembinaan akan diberhentikan, dan tergendala pembinaanya. Yang paling buruk, apabila jika ianya disambung semula (baca; ekonomi sudah mula ok dan stabil) peruntukan tambahan diperlukan lagi bagi meneuskan projek “sakit” ini. Mungkin tambahan sebanyak 3 billion lagi diperlukan. Jadi, secara keseluruhannya, pembiayaan ini bertambah daripada 5 billion pada awal projek dan menjadi 8 billion di akhir projek. Bukankah ini juga satu pembaziran yang nyata?

Bagi aku, adalah lebih elok dan baik jika dana sedia ada digunakan sebaiknya dalam perancangannya sebagai contoh jika Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia ditingkatkan sistem pengurusan sisa pepejal, longkang, saliran, parit dan sistem pembentungan dinaik tarafkan, segala kemudahan fasiliti disediakan serta di selenggara dengan baik, jalan-jalan perbandaran dan jalan raya dibaiki, ditampal lubang-lubang yang membahayakan pengguna, tambahkan lagi pembaikan system pengangkutan awam darat, perbanykkan peluang-peluang pekerjaan dengan memberi jawatan tetap kepada penjawatnya,  keselamatan dan pengawasan terhadap rakyat oleh pihak bertanggungjawab dipereffiseienkan dan lain-lain lagi yang membawa kesejahteraan kepada keseluruhan warganegara Malaysia. Inilah apa yang diperlukan pada masa sekarang dan inilah juga apa yang sepaptutnya diutamakan dan didahulukan.

Jadi, pembinaan menara yang mempunyai ketinggian 100 tingkat itu, tidaklah diperlukan sangat pada ketika ini. Jika ianya dicadangkan oleh PNB, maka DS Najib punya kuasa untuk menangguh, membatal atau menidakkan projek ini. Semuanya ada di tangan DS Najib sendiri sama ada untuk meneruskan atau tidak.

p/s – How would the tower “…serve as a symbol of a modern and developed Malaysia”? Ini sekadar pandangan bebas aku sahaja, cuma mahukan yang terbaik buat Malaysia.

5 responses

  1. azrul masih angkasawan

    Kali ini aku setuju dengan kau Faerrin. Biasanya aku tak ada masalah dengan pembangunan, jambatan kedua, lebuhraya bertingkat, namakan saja, aku akan sokong. Tapi ini? Masih tak ada tujuan khusus, dan sekadar atas nama ‘National Pride’? ‘Pride’ yang bernilai 3 billion, untuk apa? Untuk tunjukkan pada dunia?

    Aku mahu sampaikan: Pembangunan bukanlah segalanya. GDP, Foreign Investment, Economic growth pun BUKAN segalanya. Growth haruslah sustainable, dari semua aspek.

    Haih. Ada perkara-perkara menarik dalam Bajet 2011. Tapi ini memang berita yang agak kurang menyenangkan.

    China dan Dubai negara-negara yang obses dengan bangunan tinggi, kerana mereka negara-negara yang tiba-tiba terkenal. Negara-negara culture shock. Kita sepatutnya dah lepas fasa culture shock tu.

    Oktober 20, 2010 at 4:01 pm

  2. desperadol

    cube tgk bangunan & infrastruktur tinggi, besar, mega, maju, moden, canggih….org KITA cuma cleaner, kerani, SEBILANGAN pegawai & JARANG2 bosnya.tp tuan punya bangunan & infrastruktur tersebut SIAPA?

    Oktober 21, 2010 at 1:56 am

  3. pelik

    Isu begini sudah biasa…apa boleh buat..suara golongan bawah jarang mendapat perhatian.

    Oktober 21, 2010 at 5:30 am

  4. bagus… detail entri kau ni…

    mungkin lepas ni KLCC akan jadi tempat baru untuk para [endatang lepak2 di waktu cuti mereka, macam ape yg jadi pada daya bumi sekarang.

    Oktober 21, 2010 at 7:53 am

  5. tongah mencari arah

    tiba² aku tertarik dgn isu ni.. thanx untuk info ni.. aku jauh ketinggalan dalam isu semasa.. pe2 pon.. aku stuju lah dgn entry kali ni..

    Oktober 21, 2010 at 10:20 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s