Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

KELANTAN JUARA PIALA MALAYSIA 2010

Ini petikan berita dari Berita Harian.

Semalam 30 Oktober 2010, Sabtu merupakan tarikh keramat buat pasukan Kelantan kerana berjaya melunaskan dendam kesumat tahun lalu. Hutang yang ditagih kini sudah pun tertunai, malah dengan puluhan ribu rakyat Kelantan yang berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil semalam begitu bangga dengan pencapaian pasukan mereka. Manakan tidak, kesemua penyokong Kelantan di stadium bersorak dan merayakan temasya besar itu apabila pasukan kesayangan mereka telah berjaya menjulang anugerah berprestij itu dan ini merupakan sejarah buat pasukan Kelantan apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Jika diteliti dari aspek sejarah sebelum ini, pasukan Kelantan telah beberapa kali layak untuk ke pusingan akhir Piala Malaysia bermula dari tahun 1955, 1970 dan 2009 tetapi akhirnya pada tahun 2010 mereka berjaya merampas piala keramat yang dimilik oleh Negeri Sembilan pada tahun lalu.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi. Sebaliknya Negeri Sembilan terlepas peluang untuk merangkul gelaran berganda musim ini selepas Piala FA, April lalu biarpun mengejutkan lawan dengan sepakan penalti penyerang bidan terjun, Shahurain Abu Samah pada babak pertama.

Malah mereka mampu mendahului lebih awal andainya penyerangnya, Idris Karim lebih kuat menyepak umpanan lambung S. Kunanlan dari sebelah kanan, ketika cuma berdepan Khairul Fahmi Che Mat, yang sempat menyambut tolakannya pada minit keenam. Dalam satu serangan balas pantas yang dilancarkan Kunanlan minit ke-12, Kelantan tergamam sehingga penjaga golnya, Khairul Fahmi terpaksa membentes sayap kanan Negeri Sembilan dan menghadiahkan sepakan penalti buat juara bertahan.

Biarpun diarahkan pengadil Subkhiddin Salleh supaya mengambil semula sepakan penalti yang berjaya disudahi, Shahurain Abu Samah tetap tenang menolak ke kiri gawang Kelantan untuk mencipta gol pembukaan Si Rusa, seminit kemudian. Namun, Si Kijang masih tidak mahu mengalah, setelah rembatan jauh Zairul Fitree Ishak tersasar tinggi pada minit ke-11, Badri Radzi pula terlepas menyamakan kedudukan apabila rembatannya sempat disekat bek tengah lawan, Shukor Adan pada minit ke-35.

Enam minit kemudian menyaksikan kehampaan berterusan Idris gara-gara dipersalahkan pengadil ketika cuba menyambut umpanan lambung Ching Hong Aik dengan tandukan walaupun, hanya perlu mengatasi Khairul Fahmi yang sempat mendakap bola. Tiga minit masa kecederaan turut merakamkan kegagalan percubaan sayap kanan Wira Merah, Nor Farhan Muhammad dalam kotak penalti sementara rembatan jauh ketua pasukan Indra Putra Mahayuddin pula berjaya ditepis penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar Kamsani.

Dalam dua minit babak kedua bersambung, Kelantan kian garang memburu gol penyamaan, namun kedua-dua percubaan Badri dan Hairuddin Omar sekadar mencemaskan Sani Anuar tetapi belum dapat menembusi kubu terakhir pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu. Gol penyamaan idaman Wira Merah tiba juga pada minit ke-57 hasil umpanan lambung Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan yang cukup tepat disudahi dengan tandukan kencang Hairuddin tanpa mampu digapai Sani Anuar lagi.

Bersemangat tinggi dengan gol itu, Kelantan mengasak lagi, lalu Badri menggembirakan dan menghadiahkan majoriti hadirin Stadium Nasional yang membentuk Lautan Merah dengan jaringan kedua minit ke-64 setelah mendapat lorongan Nor Farhan dari belakangnya. Wira Merah beroleh satu lagi peluang keemasan setelah penyerang gantian, Akmal Rizal Rakhli dikasari Alif Shamsuddin tetapi sepakan bebas Indra Putra menghampakan pasukan dan peminat mereka kerana melewati palang gol pada minit ke-83.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin (Akmal Rizal Rakhli), Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhammad, Badri Radzi, Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha (S. Chanturu), Hairuddin Omar.

NEGERI SEMBILAN: Sani Anuar Kamsani, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Shukor Adan, Aidil Zafuan Radzak (Firdaus Azizul), Ching Hong Aik (Asyraf Al Japri), Alif Shamsuddin, Idris Karim, Halim Zainal, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Qhairul Anwar Roslaini (Shaffik Rahman).

– – – – – PPPfftttttt – – – – – –

Sebenarnya adegan bakar mercun dan asap serta balingan botol-botol ke padang begitu sinonim dengan penyokong-penyokong Kelantan. Mereka lebih begitu agresif, kurang sabar dan sangat mudah untuk diprovokasi dan memprovokasi. Silap sikit di padang, mulalah letupan mercun kedengaran. Begitulah mereka. Adakah itu sikap mereka dan budaya mereka? Masalahnya lagi, menang ke, kalah ke mereka tetap berkelakuan begitu.

Sebagai penyokong dan peminat bola sepak, seharusnya kejadian seperti ini tidak perlu berlaku. Cuba bayangkan jika mercun yang dibaling terkena orang lain, dan bagaimana jika terkena pada kanak-kanak? Yang menghairankan, dan pelik ialah letupan mercun dan aksi “keganasan” penyokong baju merah ini bagaikan penyokong baju merah di Thailand yang sedang melakukan demonstrasi jalanan.

p/s – aku tetap, hobin jang hobin!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s