Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

FILEM HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH…MASYUK!!!

Aku berkesempatan menghabiskan masa untuk menonton filem terbaru arahan Mamat Khalid. Memang pecah perut dan dari info yang aku terima serta dari catatan yang tertulis di mana-mana blog menyatakan yang filem ini memang kelakar dan boleh dikatakan sekelakar filem Nangkung (dengar-dengarnya filem ini hampir pecah RM 10 juta menurut kata David Teo, betul atau tidak sama-sama kita dapatkan kesahihannya, tiba-tiba aku teringat filem 2 alam DDR….apa cita?)

Setelah agak terpengaruh dengan beberapa ulasan dari rakan-rakan yang menyatakan filem ini kelakar dan boleh membuatkan tidak kering gusi, aku dengan langkah drastik terus bergerak ke pawagam yang berdekatan dan akhirnya tertunailah sudah hajat tersebut. Bagi aku filem ini, memang kelakar dan juga terdapat beberapa pandangan dan kritikan sinis yang pedas sama ada tersirat dan tersurat digarapkan oleh pengarah filem tersebut. Tidak dinafikan juga ada beberapa babak-babak kelakar yang tidak masuk akal! tapi yang tidak masuk akal itulah yang kelakar! Aku ambil contoh si Johan Raja Lawak buang air besar sambil dengar radio! LOL!

Penggunaan loghat Perak dalam filem ini amat bertepatan sekali memandangkan lokasi penggambaran yang dibuat di Perak, kalau tidak silap aku di Kuala Kangsar (Kalau salah, sila maklumkan ok!) dan sedikit sebanyak penggunaan loghat tersebut amat menarik, kelakar dan juga menarik! Moga filem ini berjaya dan dapat meraih banyak kutipan.

Jadi, aku syorkan kepada kamu semua untuk menonton filem ini. Disini aku sertakan sedikit info berkaitan filem ini. Silakan baca.

– – – – – – – – PPPPffffftttttt – – – – – – – – –

Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah Kesinambungan daripada filem ‘Zombi Kampung Pisang’, filem ini Masih lagi mengekalkan genre komedi seram, filem ini juga bakal menampilkan kejutan demi kejutan.

Husin yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Munawer, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung yang mungkin Kak Limah sudah menjadi hantu. Abi Hurairah juga setuju dengan pendapat Husin kerana beliau juga mengalami peristiwa pelik ketika melihat Kak Limah di kawasan kubur. Pak Jabit yang memang bengang dengan Husin (kerana memutuskan ikatan kasih dengan anak gadisnya, Che Nin), menuduh Husin adalah pembawa nasib buruk kepada Kampung Pisang. Sebelum ini keadaan aman damai, sebaik sahaja Husin muncul, keadaan kembali kacau bilau.

Awie dan Johan dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah 

Awie dan Johan dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah

Pak Abu mencadangkan agar mereka menyiasat apa yang berlaku sebenarnya. Beramai-ramai mereka ke rumah Kak Limah. Mereka menemui mayat Kak Limah yang hampir reput. Namun, setelah pengebumian jenazah Kak Limah, kampung mereka masih dihantui makhluk misteri di tengah-tengah malam.

Hantu kak Limah tengah nyanyi enjit-enjit semut 

Hantu kak Limah tengah nyanyi enjit-enjit semut

Pelbagai bomoh dipanggil untuk menghalau hantu, malangnya tiada satupun bomoh yang berjaya menghalau hantu tersebut. Hantu apakah itu sebenarnya? Siapa yang berjaya menghurai misteri hantu Kak Limah tersebut? Temui jawapannya dalam ‘Hantu Kak Limah Pulang Ke Rumah’

– – – – – – – – – -PPPPffffttttttt – – – – – – – – – –

Ini ulasan dari Utusan Malaysia, tulisan dari saudara Syazwan Zakariah.

SAYA tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga selalu skeptikal terhadap sekuel, apatah lagi Zombi Kampung Pisang tidak termasuk dalam senarai filem kegemaran.

Bagaimanapun, saya tidak melihat Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai sebuah filem sambungan. Ia hanya menggunakan watak dengan latar yang sama, tetapi masih mampu berdiri sendiri. Penonton tidak perlu mengingati peristiwa daripada Zombi Kampung Pisang atau menontonnya terlebih dulu.

Selepas dua tahun meninggalkan Kampung Pisang, Husin kembali untuk menebus kesilapan lalu. Motorsikal besar menjadi simbol dia sudah stabil dari segi kewangan dan mahu meminang Cik Nin, kekasih yang ditinggalkan.

Kepulangan Husin menimbulkan ketegangan. Pertama, kerana Pak Jabit masih menyimpan dendam terhadapnya yang mempermain-mainkan perasaan Cik Nin. Kedua, kerana dia menghebahkan kepada orang kampung bahawa jiran sebelah rumahnya, Kak Limah sudah menjadi hantu.

Penampilan Kak Limah yang tidak serupa orang – rambut mengerbang, muka pucat lesi dan suka bersendiri di tempat gelap – memang mampu membuatkan sesiapa saja lari. Dalam menyelesaikan kegemparan itu, Husin juga bertemu jawapan yang dicari tentang jodohnya dengan Cik Nin.

Filem ini meneruskan stail humor Mamat Khalid yang secara dasarnya merapu, tetapi berjaya mengundang gelak. Lawaknya kelihatan mudah, kena pada sasaran, dalam masa sama berlapiskan sindiran dan parodi.

Mamat mempunyai kemampuan untuk memberikan jenaka dalam dua nada sekaligus iaitu ringan dan gelap. Penonton mempunyai pilihan sama ada mahu relaks dan terima lawaknya itu bulat-bulat, atau cuba membaca mesej terselindung yang ingin disampaikan.

Misalnya, kehadiran pawang Indonesia dan Siam yang dipanggil untuk menghalau hantu Kak Limah. Sedang penonton ketawa digeletek dengan adegan-adegan lucu, Mamat sebenarnya mahu memberitahu tentang sikap kita yang lebih mempercayai ‘kehebatan’ orang luar, sedangkan ia belum tentu berhasil.

Babak Husin menyanyi kepada Cik Nin ala MTV juga dibikin tanpa rasa menjengkelkan. Ia ibarat satu penghargaan kepada filem-filem Melayu era 1970an yang suka menyanyi di tengah-tengah cerita.

Mamat mampu menghasilkan komedi sedemikian tanpa membuatkan penonton meluat atau terasa diperbodoh-bodohkan. Dia mungkin mahu kita ‘belajar’ untuk mentertawakan diri sendiri dan itu tidak salah.

Kalaulah di Malaysia ada anugerah Persembahan Berkumpulan Terbaik (Best Ensemble Cast) seperti di Screen Actors Guild, saya percaya barisan pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah layak memenanginya.

Lakonan kaku untuk watak Wan Kaswi pun boleh dimaafkan kerana dia didampingi persembahan selamba daripada bintang lain.

Shy8 sebagai Usop, bekas penari kebudayaan yang sekadar tempelan dalam Zombi Kampung Pisang sangat menyerlah kali ini. Dia berjaya mencuri tumpuan yang sama, yang diberikan penonton kepada pemain yang lebih popular seperti Awie, Johan Raja Lawak dan Zami Ismail.

Begitu juga dengan Man Kadir sebagai Pak Jabit yang lakonannya sangat asli dan Delimawati sebagai Kak Limah yang tidak perlukan dialog, tetapi masih kelakar seram. Mamat membuka ruang kepada pelakon-pelakon underdog menonjolkan bakat mereka yang selama ini dipinggirkan.

Setiap watak dan kesinambungan babak bergerak dengan baik. Malah, penamat filem ini juga menimbulkan intrig yang berkesan, sesuai dengan hajat Mamat yang mahu membikin sebuah lagi sekuel. Watak Ayu yang hanya muncul sekali-sekala itu sebenarnya sangat penting untuk filem akan datang.

Saya tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga mahu menontonnya sekali lagi dan filem ini termasuk dalam senarai filem kegemaran.

– – – – – – – – – PPPPffftttttt – – – – – – – – – –

p/s –  Dari pembacaan aku di internet, dengar-dengarnya pada hari pertama sahaja filem ini ditayangkan ia telah berjaya mengutip RM 1 juta. Bayangkan sahaja jika semua sit telah fully booked dan ada juga yang terpaksa pulang dengan kehampaan. Makluman dari teman rapat pula mengatakan sewaktu beliau menonton filem ini diwaktu malam (baca; midnite movie) semua sit didapati penuh hingga di depan skrin. Bayangkan!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s