Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Pada 8 Mac yang lalu, tayangan perdana khas filem ke lapan terbitan KRU Studios telah berjaya memukau dan membuka mata penonton dengan keindahan filem yang sedang hebat dicangan di merata tempat. Selepas dicalonkan dan memenangi beberapa buah anugerah di dalam FFM ke 23 yang lalu dengan mempertaruhkan filem Magika, kini syarikat milik tiga beradik ini tampil pula dengan filem epik-aksi yang diberi tajuk, Hikayat Merong Mahawangsa.

Filem yang dikategorikan sebagai salah sebuah filem wajib tonton tahun ini telah beraksi di pawagam pada 10 Mac ini, serentak tayangannya di Brunei. Filem edaran KRU Pictures ini bukan lagi satu penantian malahan kini berubah menjadi satu realiti yang pasti. Apa yang dimaksudkan di sini adalah, filem epik dengan bantuan CGI membawa haluan imaginasi kita ke tahap maksimum sehingga akan menimbulkan rasa kagum dan percaya.

Filem epik-aksi ini menceritakan kembali kepada kita mengenai mitos yang dikatakan telah ditelan zaman. Mitos yang dahulunya wujud di hati penglipurlara di zaman purbawara ini membawa kita menyusur galur sebuah lagi kisah zaman pemerintahan yang agung. Hikayat Merong Mahawangsa yang diambil cerita asalnya dari sebuah buku mitos yang bertajuk sama ini difilemkan dengan interpretasi yang tersendiri. Pengarahnya, Yusry Abdul Halim yang amat terkenal dengan hasil tangannya yang penuh magikal dan penuh dengan CGI ini amat menarik perhatian.  Sebuah kerajaan yang dahulunya memang terkenal dengan cerita seorang lagenda bangsa yang terkemuka. Namanya bukan satu perkara asing dan sering disebut oleh penglipurlara zaman dahulu kala. Mengenai seorang wira yang diberi nama Merong Mahawangsa. Filem Hikayat Merong Mahawangsa ini merupakan sebauh filem epik yang berdiri dengan menggunakan kesan teknik CGI. Hampir 60% filem ini menggunakan CGI untuk menyokong jalan cerita mitos yang dibawa.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem epik ini adalah Stephen Rahman Hudges, Jing Lu, Gavin Stenhouse, Hendrik Norman, Dato Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Craig Fong. Pelakon-pelakon tempatan yang lain termasuk Nell Ng, Keith Chong, Jehan Miskin, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam dan Faiz Aizuddin Azmi iaitu pemenang Drama Sebabak ERA.

Pengambaran yang dijalankan di sekitar Pahang dan Terengganu ini sebenarnya melibatkanlebih dari 200 tenaga produksi yang bekerja di dalam sesuatu tempoh. Maka, tanggungjawab yang diserahkan untuk filem epik seperti ini pastinya akan lebih bermakna jika melihatkan kepada hasil produk akhirnya. Tiada cacat cela yang ketara, cuma ada rasa bangga dan terpesona sahaja.

Filem yang dimulakan dengan babak di mana salah seorang keturunan Merong Mahawangsa sedang menulis hikayat ini untuk dipersembahkan kepada anak cucu mereka kelak. Kisah penceritaan seorang tokoh yang dianggap lagenda dunia mitos ini dimulakan dengan permulaan bagaimana pertemuan Putera kerajaan Rom dengan Merong yang ditangkap di Goa kerana sedang menimbulkan satu kekocohan di pelabuhan. Akibat tertarik dengan sikap dan juga gelagat Merong yang menarik perhatian. Seorang nakhoda dan pahlawan yang bernama Merong Mahawangsa yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain ini dilihat sangat pandai bertarung dan bijak pandai orangnya.

Pada tahun 120, Empayar Rom ketika itu dibawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han merupakan sebuah empayar yang kuat dan telah memperluaskan pemerintahannya ke negara Asia Tengah. Sewaktu angkatan Rom sedang membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.  Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza. Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung pengairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang oleh Geruda. Dapatkah Merong Mahawangsa menyelamatkan Puteri China dan menyatukan baginda dengan Putera Rom bagi sebuah perkahwinan yang menemukan dua tamadun besar dari negara Timur dan Barat? Sama-sama kita saksikan kesudahannya di pawagam kelak.

Bercakap mengenai hasil kerja kreatif ini, Yusry selaku pengarah filem ini memberitahu, filem ini merupakan hasil kerja yang dibuat pada 2 tahun yang lepas dan di sepanjang tempoh masa itu juga dia telah banyak mempelajari pelbagai perkara baru. Maka, hasil yang dikeluarkan jika dibawa ke masa sekarang maka hasilnya akan turut berbeza. Tidak hairanlah jika ini pernyataan yang dikeluarkan oleh Yusry sendiri kerana pengambaran yang dijalankan selama dua bulan pada tahun 2009 ini sudah lama berlalu. Filem yang menelan bajet sebanyak RM8,000,000 ini sebenarnya tidaklah semahal yang kita sangkakan. Melihat kepada tenaga produksi yang dibawa dari dalam dan luar negara dan juga para pelakon yang terlibat akan memberikan anda satu persoalan. Adakah baket sebanyak 8 juta itu benar-benar cukup untuk menghasilkan filem sehebat ini? Anda tonton dan nilai sendiri hasilnya.

Disebabkan oleh filem ini bergenre epik, maka penekanan warna kusam, gelap dan juga nampak lebih sesuai dengan zaman. Imaginasi Yusry untuk bermain dengan ruang dan penetapan props dan CGI di dalam skrin amat tepat dan meyakinkan sekali. Melihat kepada hasil CGI yang ada di dalam filem ini sebenarnya masih ada banyak lagi ruang untuk improvisasi. Yusry sendiri membuat pengakuan bahawa jika filem ini dijalankan pada tahun ini dan bukan pada dua tahun yang lepas, maka hasilnya tidak akan sama. Kerana CGI dan teknologi mengalami evolusi.

Walaubagaimanapun, trend CGI yang dikekalkan oleh KRU Studios ini patut diteruskan, dikembangkan dan semoga akan menjadi satu budaya sihat yang akan mengubah wajah industri perfileman tanah air kita. Bukan mahu memenangkan teknologi, namun perkembangan media baru ini berada di mana sahaja dan kini sedang mempelopori dunia perfileman seantero dunia.

Bahasa di dalam filem ini bukanlah bahasa sebenar yang digunakan oleh penduduk bumi pada tahun ke 120. Namun, pengarah memutuskan untuk mengutamakan keselesaan pelakon untuk melontarkan dialog mereka dengan fasih dan juga mendekati pemahaman penonton. Tidak memberikan penekanan yang berat kerana pengarah mahu penonton juga memahami apa yang dikatakan dan jika bahasa asal yang digunakan, maka penuhlah ruang sari kata yang berada di bahagian bawah skrin. Stephen Rahman yang ditemui ketika majlis sidang media turut memberitahu bahawa dia juga memerlukan masa untuk mengetahui dan memahami setiap dialog yang akan dituturkan.

Tiga naskhah telah diperuntukkan dengan versi berbeza disediakan untuk membantu pemahaman pelakon. Maka, tidak hairanlah jika di satu babak sebelum pertempuran akhir kerajaan Langkasuka yang diketuai oleh Merong Mahawangsa sendiri dilakukan dengan penuh semangat dan pengucapan dialog Stephen lancar dan mampu melahirkan kesan emosi yang tepat. Berdiri bulu roma dengan kata-kata laungan semangat tersebut.

Pergerakan plot yang bergerak selari dengan bantuan tukang cerita di bahagian awal, pertengahan ketika melalui titik transition dan juga di bahagian akhir cerita ini menarik. Jarang sekali cerita Malaysia yang membawa tukang cerita begitu jauh sehingga ke penghujung cerita. Membantu jalan cerita dan memberikan mood yang berbeza. Jika anda amati secara mendalam, filem ini tanpa bantuan tukang cerita? Pasti akan kurang impak penumpuan fokus anda kepada apa yang ingin disampaikan.

Terjemahan idea secara literal juga banyak dibawa ke dalam filem  ini menurut kesesuaian dalam penceritaan. Cetusan imginasi memenuhi ruang dengan keperluan yang tertentu tanpa sogokan yang luar biasa istimewa pada mata penonton. Burung geruda yang diceritakan di dalam naskah Hikayat Merong Mahawangsa berbeza dengan geruda yang dimaksudkan di dalam filem ini. Jika mengikut naskhah sebenar burung geruda itu adalah burung sakti yang gergasi yang mempunyai kuasa yang sangat hebat namun di dalam filem ini, sedikit improvisasi dilakukan bagi menjaga sensitiviti sesuatu perkara yang didorong oleh perkataan mitos.

Pujian perlu diberikan kepada para pelakon yang terlibat. Terutamanya kepada Khir Rahman yang membawakan watak antagonis, Kemawas yang zalim dan rakus. Watak yang dibawakannya hidup dan rasa benci serta marah kepada Kemawas semakin menebal apabila penonton melihat kekejaman dan kezaliman Kemawas kepada Embok dan keluarganya. Namun, adakalanya wujud saat di mana tumpuan watak utama beralih dari Merong kepada Kemawas pula ketika tiba saat pertarungan mereka berdua. Kemawas nampak lebih dominan, yakin dan juga mampu meyakinkan penonton lebih sedikit dari watak utama.

Tidak hairanlah jika kita katakan bahawa, Khir mampu mencuri sebentar tumpuan lampu sorot watak utama yang protagonis itu. Kewibawaan Stephen dan Khir sebagai pelakon tidak boleh diperbahaskan lagi. Walaupun kadangkala, pengucapan dialog Stephen kedengaran pelik dengan kepelatan bahasa, namun pujian harus diberikan kerana Stephen berjaya membawa watak Merong dengan berjaya sekali.

Filem ini sebenarnya cukup rasa. Ada tawa di dalam duka, ada cinta di dalam sengketa dan ada jenaka di dalam derita. Watak yang dibawa oleh Ummi Nazeera sebagai Embok di dalam filem ini penuh emosi dan penuh. Wataknya biarpun hanya muncul seketika namun meninggalkan kesan dan impak yang tertentu. Embok berjaya meneutralkan rasa pahlawan sejati yang ganas, kasar dan gagah perkasa itu. Embok juga berjaya menunjukkan sisi lembut si perwira penyelamat suku mereka.

Watak inang kepada tuan puteri di dalam filem ini berjaya ditandingi dengan lakonan Nell Ng yang nampak lebih hidup karakternya. Lawak jenakanya yang comel dan mencuit hati ini jauh lebih menarik untuk ditonton jika dibandingkan dengan watak tuan puteri itu sendiri. Watak pelakon pembantu dengan karakter yang menarik perhatian akan mendapat perhatian penonton.

Sebuah filem yang penuh dengan keindahan dan satu sisi transformasi kepada masa hadapan industri seni tanah air. Semoga dengan lahirnya filem ini akan membawa industri perfileman kita setapak ke hadapan dan akan berlaku evolusi di dalam arus tayangan sinema di Malaysia.

p/s – Moh ramai-ramai kita layan muvi ni. Terbaek!!!! Kali ini aku yakin boleh pecah panggung 10 juta!!! Tulisan di atas adalah hasil dari ulasan Liza Ramli.

One response

  1. Pewaris Takhta Sebenar Merong Mahawangsa

    Jun 27, 2012 at 3:45 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s