Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

MALAYSIA TEWASKAN LUBNAN 2-1

Aku tak sempat nak ulas dan tulis panjang-panjang, sebentar nanti aku akan berangkat ke Taman Negara di Pahang, mahu menyumpit monyet di sana! Jadi, aku mahu ucapkan Tahniah buat skuad Malaysia yang berjaya mengalahkan Lubnan pada malam tadi dengan 2-1. Walaupun cuma berbaki 10 pemain sahaja pada separuh masa kedua akan tetapi skuad Harimau Malaya berjaya bertahan hingga ke titisan peluh yang terakhir.

Ini berita yang aku ambil dari Utusan Malaysia dan aku tampalkannya di sini.

Wan Zack Haikal (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Lebanon, Chadi Atie pada pertemuan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 2-1. – utusan/shahril Azman Zaini

KUALA LUMPUR – Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor memastikan Malaysia mara ke saingan peringkat kumpulan bola sepak Kelayakan Olimpik 2012 selepas jaringan mereka menumpaskan Lebanon 2-1 pada perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua gol yang hadir seawal minit ketujuh dan 40 itu turut membawa skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Ong Kim Swee menang 2-1 secara agregat setelah terikat tanpa jaringan di Stadium Sports City, Beirut, Ahad lalu.

Pasukan pelawat yang dibimbing Samir Saad bagaimanapun cuba menyaingi ketika tuan rumah pincang beraksi dengan 10 pemain, malah berjaya merapatkan kedudukan menerusi Chadi Atie pada minit ke-64 setelah tuan rumah kehilangan pemain tengahnya, Gary Steven Robbat pada babak kedua kerana menerima kad kuning kedua.

Lebanon juga lebih awal menguji penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat menerusi tandukan Mahmoud Kojok pada minit keempat dan Mohamad Haidar (keenam) yang bagaimanapun hanya terus kepada dakapan pemain Kelantan itu.

Hanya seminit kemudian, tuan rumah menunjukkan sentuhan siapa sebenarnya yang lebih tepat dalam gerakan penyudahan apabila membuka tirai gol hasil rembatan kaki kanan Mohd. Irfan Fazail.

Ia berpunca daripada sepakan sudut dari sebelah kiri oleh Mohamad Muslim Ahmad dan selepas satu percubaan jarak dekat pertama sempat diadang pemain lawan lantas stadium bergema dengan sorakan gol diraikan lebih 10,000 penyokong.

Permainan tiba-tiba diberhentikan pada minit ke-27 kerana pengadil Jepun, Toma Maasaki mengadu terdapat pancaran cahaya laser daripada penonton.

Menyambung aksi seminit kemudian, Mohamad Fandi Othman bagaimanapun mensia-siakan pula sepakan bebas tidak jauh dari petak penalti untuk menambah gol.

Minit ke-30 menyaksikan Wan Zack Haikal Wan Nor pula melepaskan peluang keemasan dengan rembatan yang tersasar daripada umpanan leret cantik Gurusamy Govandar Kandasamy yang mengatasi dua pemain pertahanan lawan.

Pada minit ke-38, satu lagi kesempatan gol buat Lebanon terbentang menerusi Haidar yang melepaskan rembatan kaki kirinya dan menewaskan Khairul Fahmi, namun hanya palang menjadi penghalang yang menghampakan pelawat.

Stadium Nasional gamat sekali lagi dengan sorakan ceria penonton apabila Wan Zack Haikal yang mendapat satu lorongan bola cantik Gary Steven Robbat menolak masuk gol kedua Malaysia sekali gus menghampakan lagi penjaga gol lawan, Mohamad Dakramanji yang cuba meluru keluar.

Meraikan gol kedua yang menjarakkan kedudukan sehingga separuh masa pertama tamat, ribuan penyokong negara berpadu tenaga untuk menyanyikan lagu patriotik, Barisan Kita.

Malang menimpa Malaysia yang terpaksa bermain dengan 10 orang sebaik sahaja permainan babak kedua mencecah lima minit apabila Gary Steven dikenakan kad kuning kedua oleh Maasaki kerana mengasari Mohamad Haidar.

Malang berganda tiba pada minit ke-64 yang menyaksikan Lebanon merapatkan kedudukan 1-2 menerusi tandukan Chadi Atie yang menewaskan Khairul Fahmi malah Mohamad Muslim yang cuba mengeluarkan bola di garisan gol, masih gagal menyekatnya.

MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd. Affize Faisal Mamat (Wan Zaharulnizam Zakaria), Mohamad Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail (Izzaq Faris Ramlan), Syahrul Azwari Ibrahim (Abdul Shukur Jusoh), Gurusamy Govandar Kandasamy, Gary Steven Robbat, Muhammad Zubir Mohd. Azmi, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohamad Fandi Othman.

LEBANON: Mohamad Dakramanji, Jad Noureddine, Mohamad Haidar, Omar Ouaida, Nour Mansour, Haytham Faour, Ali Bazzi, Chadi Atie (Mustapha Chahine), Kassem Leila, Mahmoud Kojok, Abdallah Taleb

P/s- Go, Go, Go Harimau Malaya.

 

One response

  1. tahniah malaysia…nak tgok sejarah baru dalam arean bola sepak malaysia….

    Jun 28, 2011 at 3:58 pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s