Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

Archive for Ogos, 2011

SALAM AIDILFITRI 1432H…

Salam Aidilfitri….

Diam tak diam Syawal semakin hampir dan Ramadhan akan berlalu pergi. Setelah sebulan berpuasa dan menunaikan ibadat-ibadat lain tibalah masanya untuk kita semua, muslimin dan muslimat meraikan hari yang bahagia bersama teman-teman, sanak saudara dan keluarga.

Dikesempatan ini aku selaku penulis blog a.k.a jartatan (baca; Jaringan catatan) ini ingin menyusun sepuluh jari untuk memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan yang pernah aku lakukan disepanjang karier atau penglibatan aku selaku penulis blog amatur ini. Sekiranya ada ketidakpuashatian atau apa jua komen sila lontarkan saja pada aku dan aku harap ianya dapat membantu memperbaiki segala kelemahan dari pelbagai segi di sepanjang blog ini beroperasi.

Tiada duit raya untuk diberi, tiada biskut raya untuk dihidang, Tiada rendang dan ketupat untuk dimakan, cuma kata-kata yang tersingkap hasil dari penulisan di sini yang dapat aku nukilkan buat kalian semua pembaca-pembaca. Terima kasih.

Seminggu-dua aku akan bercuti menyambut Syawal di kampungku, Johor, aku harap kalian semua yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing, memandulah dengan penuh berhemah dan patuhi segala peraturan dan undang-undang jalanraya agar kalian semua akan selamat tiba ke destinasi yang hendak dituju. Hormatilah pemandu-pemandu lain dan janganlah terburu-buru ketika di jalan raya. Jangan dilupa untuk membuat pemeriksaan pada kenderaan yang dipandu, tengok-tengoklah enjin kereta, tayar, dan lain-lain yang kritikal. Iyalah, di musim-musim perayaaan, kebanyakkan dari kita akan memandu jauh dalam tempoh masa yang panjang. Jadi, sudah tentu “performance” kereta pada tahap optimum diperlukan bagi menampung jarak dan tempoh perjalanan sebegini.

Oklah, aku akan berehat menulis di sepanjang musim perayaan ini dan mungkin akan kembali aktif selepas itu (baca; seminggu, dua kemudian). Apapun, selamat hari raya! maaf zahir dan batin!

p/s – Ketibaan Syawal dirai, pemergian Ramadhan ditangisi.


MALAM PEKAT, MATA TIDAK TERKATUP RAPAT.

 

 

 

Riang-riang (baca; cengkerik) sedang menyanyi di luar rumah dengan nada yang begitu nyaring dalam “not high-pitch”. Sekali sekala simfoni orkestra “sang katak” kedengaran sambil mendendangkan lagu hujan dengan not dan nada yang lebih rendah. Berselang-seli bunyi-bunyian ini dan bersahut-sahutan antara mereka dalam satu melodi indah. Melodi tengah malam. 

Aku masih tidak dapat melelapkan mata walaupun malam sudahpun melabuhkan tirainya. Pekat malam gagal mempengaruhi kitaran biologi seorang manusia yang sepatutnya perlu merehatkan minda, tubuh dan hati seketika sebelum kembali menempuh hari siang yang penuh pancaroba. Aku masih mencuba. Golek kiri dan kanan. Pusing depan dan belakang. Ternyata gagal dan tidak membuahkan sebarang hasil yang ketara malah mata menjadi lebih segar seolah-olah baru sahaja mendapat suntikan dari “Eye-Mo”. Dalam diam aku memujuk hati dan mata untuk berehat supaya esok harinya aku dapat bekerja dengan kualiti yang baik. Tapi, pujuk rayuku juga gagal.

Setelah gagal dengan beberapa percubaan untuk tidur, aku mencari beberapa alternatif dan kegagalan itu bakuan satu alasan untuk mengatakan tidak untuk tidur! Kerana tidur itu adalah satu lumrah secara harafiahnya bagi seorang manusia. Sedang aku berfikir-fikir, bibit untuk mengantuk sudah muncul berdikit-dikit.

Aku menguap sebagai satu petanda yang bagus untuk tidur. Jadi, aku paksa mataku untuk lelap. Dalam diam, mata memberontak dengan gaya dan caranya yang tersendiri. Ketika aku melelapkan mata, entah macam mana satu bayangan seperti tayangan di layar perak bermain di mataku bagaikan satu visual filem hitam-putih, tiada warna ibarat filem tahun 60an di Studio Jalan Ampas satu ketika dahulu. Tapi malangya filem yang ditayangkan ini adalah filem KL Gangster arahan Shamsul Yusuf, adakah ini satu permainan minda yang mengajak aku untuk tidak tidur dengan menayangkan filem-filem moden dalam mood hitam-putih tanpa warna? Entah kenapa aku seperti dipaksa berimaginasi di alam fantasi sambil melihat tayangan yang sedang dimainkan itu. Ini samalah seperti aku sedang menonton wayang di TGV ataupun GSC Cinema sambil makan popcorn pada era 60an!

Lantas sebagai penyelesaian aku teringat akan satu kartun lama-lama yang sering menunjukkan “cara-cara” atau teknik yang terbaik untuk “mempercepatkan” proses ketiduran (baca; Bulus, beliau sering ketiduran). Ianya teknik mudah yang tidak memerlukan pergerakan fizikal secara drastik atau tiba-tiba.

“Kira kambing”

Aku cuba mengaplikasikan cara ini. Tapi, ternyata gagal. Jadi, adakah cara lain untuk menyelesaikan permasalahan ini?

Senang sahaja. Tutup atau shutdown laptop. Berhenti dari menulis entri-entri merepek tahap sampah kutipan Alam Flora di tengah malam. Padam lampu dan lelapkan mata. Pasti boleh tidur!

p/s –  Aku tak boleh tidur pasal menulis entri ini. Bukan apa pun. Imaginasi sahaja lebih. Chait!


PERSIAPAN HARI RAYA AIDILFITRI ORANG “KITA”

Hari raya sudah mahu tiba, maka banyaklah yang perlu dilakukan bagi mempersiapkan Syawal yang cuma tinggal kurang dari seminggu menjelma. Jika diikutkan serta dirujuk pada “Kalender Kuda”, Syawal akan jatuh pada tarikh 30 Ogos 2011 bersamaan 1 Syawal 1432H dan keesokkannya pula adalah Hari Kemerdekaan Negara kita, 31 Ogos 2011. Kemerdekaan yang ke berapa? Kamu semua pikirlah sendiri…tak kanlah tak tahu, dan jika tidak tahu pun sila-sila bertanya pada pak cik, mak cik, sedara-mara kamu ketika berhari raya nanti! Aku tidak mahu menulis lebih panjang tentang merdeka dan hal-hal kemerdekaan kerana fokus aku kali ini untuk menceritakan apa jua persiapan yang “biasa” kita lihat di negara kita, Malaysia.

Pejabat

Ok, seperti biasa bila tiba hari raya atau sebelum tibanya hari raya (baca; seminggu sebelum hari raya) di pejabat-pejabat kerajaan mahu pun swasta kita akan dapat lihat betapa meriahnya ruang pejabat itu didekorasikan. Ketupat, sampul duit raya, dan juga kad raya sudah tentu dilekatkan di dinding-dinding pejabat mahupun di gantung pada syiling-syiling pejabat. Lampu-lampu “lip-lap” dan juga pelita “olok-olok” dah tentu dipacak dan digantung di depan pintu masuk pejabat, atau paling tidak pun di kaunter-kaunter pertanyaan pejabat tersebut. Lagu raya pula berkumandang….dari lagu lama-lama dendangan penyanyi veteren penuh nostalgia kepada lagu-lagu raya moden. Mood kerja? Masa ni kebanyakkan kakitangan pejabat dah lebih teringatkan kampung halaman masing-masing dengan suasana hari raya yang indah acap kali bermain-main di fikiran. Kerja-kerja semua “KIV” bawak lepas raya katanya!

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan suasana pejabat “bertukar” menjadi “mini TESCO” atau “mini shopping complex” atau boleh juga dikatakan sebagai “mini bazar”. Kenapa begitu? Begini, bila diperhatikan pada musim-musim perayaan ramai kakitangan pejabat menjadi jurujual secara tidak langsung dengan membawa produk masing-masing dan ini boleh dilihat dengan lambakan-lambakan sampel yang diletakkan di pejabat kita. Namakan apa sahaja, dari tudung bawal ke tudung ikin, kuih tat ke kuih samprit, baju kurung ke baju kebaya, keronsang ke butang baju melayu, songkonk dan kopiah, dan lain-lain lagi. Jangan tak percaya, mercun dan bunga api pun ada! siap dengan katalog lagi. Dengan adanya perkara-perkara begini suasana meriah Aidilfitri semakin terasa dan begitu hampir sekali untuk diraikan.

Rumah

Rumah yang dulunya buruk dan tak semegah sebelum raya, aku jamin masa-masa raya ni “meletop!”. Pasal apa? Pasal, masing-masing dah “download” bakat Eric Leong! Kalau dulu rumah bersepah, time raya (maksud aku time raya je la) sekarang dah kemas. Lantai licin, kipas tiada habuk dan kesemua barang-barang perabut tersusun, teratur dalam suasana dekorasi yang begitu bergaya dan mengkagumkan! Di ruang tamu, dah tentu set TV LED 51″ dan Home Teater (baca; dibeli melalui hutang dengan Courts/Sen Heng/Singer menggunapakai skim bayaran ansuran mudah dari AEON dan lain-lain) berjenama diletakkan, diperagakan dan ditunjukkan kepada bakal-bakal tetamu yang akan hadir. Sedikit sebanyak akan ada timbul rasa riak, ujub, takabur dengan harta benda ini. Percayalah!

Keadaan ini pastinya akan membuatkan tetamu-tetamu teruja, terkesima dan kagum dengan apa yang dimiliki oleh tuan rumah. Tidak dilupakan, pelbagai juadah-juadah seperti kuih dan biskut raya yang beraneka jenis, beraneka rasa, beraneka kaler, beraneka bentuk, beraneka jenama dihidangkan di atas meja hidang yang sudah pun dihias cantik diletakkan pula berhampiran set sofa baru berjenama import ala-ala Inggeris (baca; juga bayaran secara ansuran) yang sudah pastinya empuk dan enak bagi punggung untuk diduduki. Selesa yang amat! Tidak dilupakan set langsir bergelongsor (baca; dari IKEA) yang baru turut dipadankan seiring dengan tema warna set sofa yang baru dibeli dan dengan ini, lengkaplah sudah dekorasi idaman di pagi Aidilfitri bagi menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah.

Bagaimana dengan kos? Kos, belakang cerita…kerana semuanya dibiayai melalui kredit mudah! Senang bukan?

Individu

Selepas membelanjakan “sejumlah” wang yang amat besar untuk persiapan raya yang konon-konongya “ala kadar” (baca; Ya, jawapan sebegini biasa dilaungkan oleh sesetengah dari kita, bila ditanya…”Bagaimana dengan persiapan raya tahun ni?” Beginilah jawapan yang diterima….”Alah…ala kadar sahaja..macam tahun-tahun lepas jugak”). Tapi macam biasa, “tipikal Malaysian”, berbelanja besar di hari perayaan adalah perkara biasa dan untuk berbuat begitu bukanlah satu perkara yang sukar bagi setiap individu/Malaysian yang sedang di dalam “mood” perayaan tidak kiralah perayaan Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai, Wesak, Thaipusam, Merdeka dan lain-lain.

Contohnya, pergi sahaja ke gedung-gedung beli-belah dengan niat untuk mencuci mata sahaja pada permulaannya akan tetapi di pertengahan perjalanan itu kamu ternampak sesuatu yang menarik, pasti barang tersebut akan disambar dengan pantas dan tanpa ragu-ragu akan ke kaunter pembayaran untuk membayarnya. Maklumlah, bonus pun sudah masuk sekitar pertengahan bulan yang lalu dan kini gaji pula sudah dimasukkan ke akaun baru-baru ini. Faktor-faktor beginilah yang mendorong seseorang itu untuk berbelanja besar tanpa melihat kembali peruntukan yang ada. Jadi, rancanglah perbelanjaan persiapan hari raya kamu, jangan over bajet kelak, jika akaun sudah defisit…merana jawabnya!

p/s – Jangan lupa sediakan duit raya yang secukupnya!


CARILAH MALAM LAILATULQADAR

Malam kali ini tidak sunyi. Letupan mercun sudah mula kedengaran dan kini kita sudah pun berada di minggu ke tiga Ramadhan. Minggu ke tiga yang penuh barokah bagi setiap umat manusia yang tidak mensia-siakanya kerana di minggu inilah terdapatnya hari yang bersamaan 1000 bulan dan kita perlu mencarinya.

Bak kata/sabda Nabi Muhammad S.A.W

“Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya

Jadi, isilah malam-malam penghujung Ramadhan ini dengan ibadah-ibadah serta hidupkan malam-malam Ramadhan dengan pelbagai amalan-amalan kerana bagi  barangsiapa yang mendapat keberkatan malam itu, mereka amatlah beruntung. Kerana apa? Kerana mereka mendapat bonus 1000 bulan dari Allah S.W.T! Lihatlah betapa beruntungnya mereka dengan kurniaan dari Allah S.W.T sedangkan kurniaan dari manusia paling tidak pun cuma mendapat bonus 6 bulan atau paling minima pun setengah bulan! (baca; bonus setengah bulan gaji bagi penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini.)

Al-Quran; kitab suci yang mempunyai segalanya…dan ianya dipelihara kesuciannya oleh Allah S.W.T, perbanyakkan bacaan Al-Quran di bulan Ramadhan pastinya rahmat menanti

– – – – – – – – – PPPfffffttttt – – – – – – – –

Malam 21 Ramadhan sudah bermula dan seperti biasa, fenomena “kesurutan” jemaah masjid untuk menunaikan solat terawih amat biasa dilihat dan didengar. Biasalah di hujung-hujung Ramadhan, ramai yang sudah mula terfikir akan persiapan raya yang bakal menjelma tidak lama lagi. Di benak otak orang ramai sudah mula terbayang-bayang baju kurung, baju melayu baru, kuih-muih raya, set langsir-sliding door-alas meja, kemas-mengemas rumah dan macam-macam lagi.

Untuk menyelesaikan masalah kekurangan jemaah ketika di hujung-hujung Ramadhan ni senang sahaja. Contoh di atas seperti yang telah aku nyatakan telah menerangkan bahawa segalanya berpunca untuk membat persiapan raya. Tapi, jangan dilupa juga dengan bulan Ramadhan yang masih belum berakhir ini. Bagi aku untuk buat perkara-perkara di atas tu semua boleh tapi biarlah kita berterawih dahulu, lagipun untuk menunaikan solat isya’, terawih 8 rakaat dan witir (baca; kombo solat) bukanlah lama sangat dan aku jamin kamu semua masih boleh sempat pergi ke kedai-kedai untuk shopping raya selepas berterawih sambil berkain pelikat, berbaju melayu dan berkopiah! Stylo! Lagipun untuk menunaikan kombo solat ini seperti yang aku katakan tadi tidaklah lama sangat, lebih kurang jam 9:35 malam kesemua kombo solat tadi sudah siap ditunaikan! Jadi ini mencipta situasi “menang-menang” buat kamu semua. Akhirat dapat, dunia pun dapat!. Jadi, berusahalah untuk mendapakan Lailatulqadar!

p/s –  Baju raya dah dibeli pun, tema kuning..”BERSIH” katanya!


DISKAUN LEBUHRAYA BERTOL MUSIM PERAYAAN 2011

Sejak tahun lepas di musim-musim perayaan kesemua syarikat konsesi lebuhraya bertol telah memberikan diskaun bagi pengguna lebuhraya. Begitu juga dengan tahun ini yang baru-baru ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya sendiri di mana 24 lebuhraya bertol telah memberikan diskaun antara 5 hingga 37.5 peratus kepada pengguna. Berikut adalah senarai lebuhraya yang terlibat untuk memberikan diskaun kepada pengguna dan ianya akan bermula pada 30 hingga 31 Ogos 2011.

 

Ihsan gambar: Laman web PLUS Berhad

Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS)
Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH)
Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura(Linkedua)
Lebuh Raya Kulim-Butterworth (KLBK)
Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP)
Lebuh Raya Sistem Penyuaraian Trafik KL-Barat (SPRINT)
Lebuh Raya KL-Karak (KLK)
Lebuh Raya Pantai Timur
Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
Lebuh Raya Koridor Guthrie (GUTHRIEe)
Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA)
Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA)
Lebuh Raya Baru Pantai (NPE)
Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS)
Lebuh Raya Shah Alam (KESAS)
Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (DUKE)
Lebuh Raya Cheras Kajang (Grand Saga)
Lebuh Raya Smart
Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB)
Lebuh Raya KL-Putrajaya (KLP)
Lebuh Raya Lingkaran Kajang (SILK)
Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE)
Lebuh Raya Latar (Percuma tanpa tol sehingga 31 Ogos)
Lebuh Raya LDP (Percuma pada Hari Kemerdekaan bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 tengah hari )

Musim perayaan kali ini ada sedikit kelainan kerana ianya akan disambut sekali dengan Hari Kemerdekaan Malaysia dan ini merupakan perayaan berganda bagi seluruh warga Malaysia. Apa pun, ketika pulang ke kampung nanti aku nasihatkan supaya kamu semua berhati-hatilah ketika memandu. Dapatkan rehat yang secukupnya dan janganlah berebut-rebut ketika di atas jalan, bertimbang rasalah!

Pengurangan bayaran tol tidak pula bermakna pengguna jalan raya boleh bertolak ansur dengan aspek keselamatan, lebih-lebih ketika jumlah trafik meningkat. Semuanya akan bermakna jika kita melakukan perjalanan dengan selamat dan dapat bertemu sanak saudara pada hari lebaran ini.

p/s –  Kena balik waktu malam lah kalau macam ni sebab nak diskaun!


KERETA SUDAH SIAP, SEMENYIH SESAK DAN ISU MERCUN

Alhamdullilah…esok hari Jumaat. Kereta aku yang terlibat dalam kemalangan tempoh hari sudah pun siap dibaiki. Sudah diketuk, sudah di simen, sudah di cat, sudah di polish dan sudah cantik serta hensem kembali. Sudah seminggu lebih aku berduka dan kini aku kembali suka. Syukur sangat dan kini serta akan datang aku boleh berkereta kembali seperti sediakala. Segala urusan dokumentasi insuran juga sudah diselesaikan cuma tinggal sedikit sahaja urusan lain yang perlu disudahkan.

Syukur. ku panjatkan ke hadharat Ilahi. Mudah-mudahan selepas ini tiada lagi kemalangan atau apa jua yang buruk menimpaku sekeluarga.

– – – – – – – – Ppppfffttttt – – – – – – – –

Seperti biasa, aku mahu luahkan satu ketidak puashatian aku terhadap kesesakan lalulintas di Semenyih. Rasanya sudah beberapa kali aku menulis berkaitan kesesakan lalulintas di Semenyih sebelum ini dan aku tidak akan berhenti mengkritik, menulis dan meluahkan rasa hati aku selagi keadaan ini tidak dapat dibetulkan demi kesajahteraan warga Semenyih.

Aku sebenarnya sudah naik bosan, jelik, menyampah, geli dan benci dengan keadaan ini (baca; kesesakan trafik). Iyalah…….trafik sesak, dengan kelajuan kenderaan secara puratanya paling tidak pun cuma mencapai lebih kurang 10 km/j (baca; kelajuan maksimum ketika trafik perlahan/sesak) dan jarak pergerakan kenderaan pula cuma bergerak beberapa inci sahaja dari kedudukan asal dan yang paling menjengkelkan kesesakan tersebut melebihi 3 hingga 4 kilometer di sebuah jalan yang sempit (baca; jalanraya satu lorong menjadi dua hingga tiga lorong). Paling istimewanya menjadi warga Semenyih ni, kita perlu menempuh kesesakan ini saban hari (baca; pergi dan balik kerja) dengan penuh kekesalan, kesengsaraan, ke”stressan”, kebenganggan dan kebingunggan.

Apa yang pasti warga Semenyih sangat-sangat memerlukan satu jalan raya baru. Jalan alternatif yang baru bukan sahaja sebagai penghubung antarabandar di antara Seremban-Kajang-Kuala Lumpur malah jajaran jalan raya yang baru ini juga perlulah menghubungkan antara jalanraya antarabandar biasa dengan lebuhraya-lebuhraya utama di sekitar umpamanya Lebuhraya SILK dan LEKAS (baca; LEMBAP). Buat masa ini aku dapat rasakan yang exit-exit (baca; susur keluar/susur masuk) lebuhraya ini amat jauh dari kawasan penempatan penduduk yang padat umpamanya exit Semenyih bagi Lebuhraya LEKAS (baca; LEMBAP) yang terletak di persiaran/jalanraya Bangi Lama berdekatan dengan Pekan Semenyih.

Susur keluar yang disediakan ini amat jauh dari kawasan yang bekepadatan penduduk yang tinggi umpmanya Bandar Rinching, Bandar Tasik Kesuma, Taman Pelangi Semenyih, dan yang terbaru Semenyih Parkland serta kawasan-kawasan perindustrian di kawasan tersebut mencakupi kawasan industri. Jadi, bagi mengatasi masalah ini, jalan alternatif ini perlu dibina sebagai jalan alternatif untuk kemudahan warga Semenyih, kerana Semenyih kini tidak seperti Semenyih 10 tahun yang lepas di mana pada ketika itu kawasan ini begitu tenang dan mendamaikan sekali dan ianya adalah sebuah kampung dengan pekan kecil serta penduduk yang tidak ramai seperti sekarang. Semenyih kini ibarat sebuah bandar dan hampir segalanya ada di sini dari rangkaian makanan pantas (baca; fastfood-Mc D, KFC, Pizza Hut, Secret Receipt dan lain-lain), gedung beli belah (TESCO, The Stor, MYDIN dan lain-lain) Institusi Akademik dan lain-lain kemudahan.

– – – – – – —  Pppppffftttttt – – – – – – – – –

Tiap kali Syawal menjelang (baca; peretengahan Ramadhan) dah banyak kali kedengaran budak-budak putus jari, terbakar satu badan, melecur muka dan tangan, rambut hangus, hidung hilang, putus kaki, rumah terbakar dan lain-lain berita pelik tapi benar. Ini tidak lain dan tidak bukan mercun lah yang menjadi punca.

Bagi aku senang sahaja. Kadang-kadang budak-budak ni bila mahu bermain mercun mereka lebih suka menunjuk-nunjuk. Mahu tunjuk siapa “hero” serta teknik permainan mercun yang salah. Sepanjang hayat aku berkecimpung dalam arena “kemercunan” ni sedikit pun aku dan adik beradik yang lain mendapat sebarang kecederaan. Apa jenis mercun semua kami dah rasa dari meriam buluh hinggalah ke mercun “pop-pop”. Jika mahu main mercun, teknik kena betul, aspek keselamatan jangan diperlekehkan dan kita perlulah berhati-hati dari setiap segi tidak kiralah segitiga, lonjong atau bulat!

Kenapa ini berlaku?

Senang sahaja nak selamat.Semudah A,B dan C. Bakar sumbu dan lari. Jika tidak mahu lari boleh buat begini. Bakar sumbu mercun dan baling jauh-jauh paling tidak pun lebih2-3 meter dari jarak kita dan jangan baling ke arah orang lain atau apa jua benda-benda yang boleh mengakibatkan letupan dan kebakaran. Mudah bukan? So, adik-adik sekalian jangan nak tunjuk jaguh sangat. Kalau sudah cedera dan putus jari bukan engkau sorang saja yang susah…orang lain pun akan turut susah (baca; mak bapak engkau sebab nak kena uruskan engkau, sedara-mara engkau sebab akan menyusahkan mereka semua untuk datang melawat engkau di hospital, doktor-doktor, misi-misi dan lain-lain). So, macam mana nak raya dengan penuh kegembiraan? Pikir-pikirlah ye…Bermainlah dengan selamat, ingat orang yang tersayang!

p/s – Panjang jugak aku tulis kali ni.Haha. Mercun-mercun!!!! Siapa mahu mercun???

 


CUTI UMUM. GUA TAK CUTI, GUA TAK PUAS HATI

Orang lain sedang berehat-rehat di rumah, libur bersama teman-teman, sedang “reboot”kan otak sambil menekan papan kekunci alt-ctrl-del dan menghantar segala keluh-kesah minda ke pusat persampahan dan engkau bikin apa?

Ya!! engkau itu sedang bikin apa?

Masih lagi perlu ke pejabat? masih lagi perlu meletakkan “thumb print” pada papan “log in” (baca; punch card zaman moden)? masih perlu mengambil kunci kereta dan start enjin seawal jam 6:30 pagi? WTF?? Apa yang engkau sedang lakukan? Bukankah besok cuti umum? Bukankah besok masa releksasi minda di alam fatamorgana tanpa sempadan ini? Bukankah esok masa yang paling sesuai untuk engkau….Yaaaa!! engkau untuk bersiar-siar sambil window shopping baju-baju baru untuk diekspresikan semasa hari lebaran kelak?

Adakah engkau sedang bermimpi teman? adakah neuron-neuron sinaps engkau tidak berfungsi, terus tidak dapat menghantar segala maklumat ke otak bagi membuat proses taakulan dengan lebih tepat, padat dan tuntas? Adakah engkau kini berada di awang-awangan menerobos mesin masa yang entah ke mana dibawanya engkau pergi? Bangunlah kawan…bangunlah…sedarkan mindamu…sedarkan hatimu…celikkan matamu…

“Man, boleh tak engkau diam…aku nak makan ayam ni pun tak boleh nak telan tahu!”

“Wei, esok cutilah…rileks-rileks sudah…”

“Man, aku ni kerja Key-EL…diulang, Key-EL…bukan Selangor…faham! Tahulah engkau tu besok cuti janganlah nak perli-perli..elok-elok aku nak belanja engkau makan, karang dengan pinggan-pinggan ni aku belanja sekali”

“Weh, marah nampak….rileks la kawan, Chill beb!”

“Chilll??”

“Yaa…Chill!”

“Kepala otak engkau…gua tak puas hati ni!”

p/s – Bak kata kawan aku R-Chid…Key-EL sekular! hahahaha..Bagi yang bercuti esok, janganlak main belasah je, esok Nuzul Quran, hari turunnya Quran, jangan buat benda bukan-bukan lak! Ingat!


POSTER UCAPAN AIDILFITRI YANG “SEKSI”

Ini satu poster ucapan hari raya tahun ni. Mula-mula aku fikir ianya merupakan salah satu promosi “memecahkan lemak” dari syarikat-syarikat menyedut lemak. Tapi, apapun kamu semua pikirlah sendiri dan nilaikannya sendiri.

 

Sumber boleh klik di sini.

Mahu lebih info boleh klik di sini

p/s – London Wight Management ada tak diskaun untuk program sedut lemak? Aku mahu cuba…..


THE DARK OF THE MOON

Malam gelap. Bulan menyepi. Angin malam berhembus sederhana. Sejuk bagaikan penghawa dingin York terus-terusan menghebuskan udara sedingin salju menerobos masuk ke dalam daging hingga ke sum-sum tulang. Malam masih gelap dan dari petang tadi awan mendung berarak kelabu beriring-iringan di ruang angkasa sambil memuntahkan butiran-butiran halus jatuh membasahi bumi.

Hujan.

Hujan masih turun dengan lebat dan aku masih berbaring mengadap syiling tanpa jemu ibarat menonton filem Box-Office pecah panggung. Tidak mengerdipkan mata walau sesaat dan rona-rona cahaya bermain ligat di syiling. Biasan lampu kereta yang berulang-alik melewati depan rumahku turut kelihatan dari celah-celah pintu kayu, refleks dari cahaya itu telah terpantul di syiling.

Cantik juga.

Aku biarkan sahaja mata melirik ke kiri dan kanan mengikut jejak cahaya yang berlari-lari di syiling rumah. Ada yang berwarna merah. Ada juga yang berwarna biru. Sekali-sekala warna kuning muncul memecah kebuntuan. Warna-warna ini mempunyai kekuatan yang tersendiri, ada yang menjadi ketua dan ada yang menjadi budak suruhan. Ada yang jahat dan ada juga yang baik. Kadang-kadang warna-warna ini berperang dan bergaduh untuk merebutkan sesuatu yang berkuasa yang bisa merubah nasib dunia ini dari segala yang ada pada hari ini, dan kami masih disitu, masih terpukau, masih terpana, masih terdiam dan terbata masih terleka.

Sekali-sekala petir kedengaran dan tatkala itu juga kerdipan kilat menerobos ruang rumah sambil mencorak dan melukiskan sesuatu pada syiling dan dinding. Keadaan sebegitu sedikit sebanyak menggugat konsentrasi kami yang sedari tadi berbaris bersama sambil berbaring mengadap syiling rumah seolah-olah menyaksikan puluhan ribu bintang di langit yang kelam di malam hari. Tidak apa. Petir dan guruh tidak selalu berbunyi. Jadi tumpuan boleh dikembalikan segera pada “jalan cerita yang asal”.

BooooMMMM!!!!

Ke Ba BOMMMM!!!!

DAAA BOMMBBBB!!!! 

Ruang bilik bergegar dengan pelbagai bunyi-bunyian. Betul, jika kita punya teknologi “woofer” atau pembesar suara yang canggih sudah pasti bunyi yang dihasilkan lebih kuat kedengaran malah lebih segar umpama malar hijau yang sedang tumbuh di kaki pergunungan Alps! Malam ini, bunyi-bunyi senjata kuat sekali kedengaran dan kadang-kadang suara ibuku turut mencelah sayup-sayup di dalam lain-lain bunyi-bunyian yang ada.

“Korang ni dah tak de kerja lain ke malam-malam puasa ni?”

“Kenapa mak?”

” Yang korang semua ni tengok Transformers kat syiling rumah ni dah kenapa? Tak puas-puas lagi ke layan kat dinding rumah sebelum ni tahulah ayah korang bawak LCD Projektor Opis simpan kat rumah kejap….”

“Hehehe…mak, itu hari “Revenge of the Fallen, yang ni The Dark Of The Moon”

“Haishhh…lantok koranglah…dah, nanti jangan lupa kemas..”

“Orait Bosh!”

Poster ini sekadar gambar hiasan. Ianya sedikit sebanyak ada kena-mengena dengan entri kali ini.

p/s – Kadang-kadang kita memerlukan cara baru untuk melegakan kebuntuan normal kita. Ibarat menghisap rokok memakai getah paip. Bukankah itu satu kelainan??


TRAGEDI RAMADHAN 2

Ramadhan kali ini bagi aku amat berat sekali. Ujian dan ujian telah dikurniakan kepadaku. Ibarat satu tragedi yang menimpa-nimpa bak kata pepatah melayu lama ‘sudah jatuh ditimpa tangga pula’ , Sebelum ini aku ada mencoretkan di entri yang lepas kereta aku telah dilanggar oleh sebuah motorsikal ketika di Melaka. Cerita lanjut boleh klik di sini.

Kali ini tragedi yang sama telah berlaku. Kemalangan. Accident. Eksiden.

Kereta aku telah dihentam dari belakang oleh sebuah kereta dan kerosakannya teruk sekali. Kemalangan ini baru sahaja berlaku pada hari Khamis petang yang lepas tarikh 11 Ogos 2011 pada jam 6.20 petang.

Entah kenapa aku pulang agak lewat sedikit dari pejabat pada petang Khamis kerana hendak menyelesaikan tugas-tugas yang sedia ada (baca; lewat setengah jam sahaja kerana biasanya aku pulang awal di bulan puasa untuk berbuka di rumah). Aku dapat rasakan satu kelainan. Rasa lain macam. Jantung aku turut berdebar laju seolah-olah seperti ada yang buruk bakal berlaku. Senak perut juga turut aku rasakan. Aku biarkan sahaja perasaan buruk itu bermain di segenap ruang otakku tapi pada masa yang sama aku masih mencuba untuk mengosongkan minda dan melapangkan dada dari ketidaksedapan hati ini.

Aku melangkah keluar dari pejabat pada jam 5.45 petang dan terus memandu kenderaan menghala ke lebuhraya Grand Saga (baca; dari Cheras menghala ke Semenyih). Sekali lagi hati aku masih kuat berdebar-debar. Kenapa agaknya? Suasana perjalanan pada petang itu agak tenang sebenarnya, tambahan lagi tiada kesesakan trafik berlaku di sepanjang lebuhraya Grand Saga hinggalah aku sampai di depan TESCO Kajang di mana trafik kelihatan bergerak agak perlahan akibat lampu trafik.

Lebih kurang 15 minit kemudian, lampu trafik bertukar menjadi hijau. Aku bergerak dan memandu kenderaan menghala ke Semenyih hinggalah memasuki persiaran Saujana Impian di mana trafik kembali perlahan. Aku kembali memperlahankan kenderaan sambil mengikut rentak perjalanan pada ketika itu. Tapi entah kenapa dan tiba-tiba satu dentaman yang amat kuat telah kedengaran dari belakang keretaku. Di dalam hati aku hanya mampu mengucap banyak-banyak. Akibat dari hentamann yang amat kuat itu, keretaku telah menggelongsor ke hadapan dan telah melanggar kereta yang dihadapan pula.

Aku tergamam dan buntu seketika. Selang beberapa saat menenangkan diri aku keluar dari kereta untuk melihat kesan akibat dari hentaman itu tadi di depan dan belakang keretaku.

Remuk. Pecah. Patah. Bengkok.

Perasaan hati aku pula pada ketika itu.

Marah. Geram. Sedih. Buntu.

Aku telah dilanggar oleh Honda Accord Hitam dari arah belakang, pada masa yang sama aku telah menghentam Toyota Vios yang berada di depanku. Si pelanggar adalah seorang wanita dan hanya mampu mengucapkan ribuan maaf dan menangis sahaja. Aku fikir di dalam hati, nasib baiklah sekarang ini bulan Ramadhan dan yang terlibat dalam kemalangan itu pula adalah sesama melayu muslim. Aku berfikiran positif, dan dipendekkan cerita kesemua mangsa kemalangan telah membuat aduan polis di Balai Polis Daerah Kajang, Cawangan Trafik. Kes ini telah disiasat oleh Sarjan HJ Zolkifli dan butiran lengkap telah diberi kepada beliau untuk menyelesaikan kes ini. Hasil dari laporan ini, si pelanggar yang memandu Honda Accord telah pun di denda. Aku bagaimana?

Tiada kecederaan parah padaku cuma cedera ringan sahaja akibat tergelongsor ke hadapan, aku telah terhantuk pada stereng kenderaan dan nasib baik tiada apa-apa yang buruk berlaku pada diriku. Kereta pula kini telah dhantar ke bengkel untuk dibaiki. Nasib bak juga tiada kerosakan berlaku pada enjin dan kenderaanku masih boleh lagi dipandu mungkin hari Selasa hadapan siaplah dibaiki.

Apapun ini merupakan satu ujian yang berat bagi aku untuk aku hadapi di bulan Ramadhan yang mulia. Aku hanya mampu redha di atas takdir dan ketentuan dari-Nya serta berfikiran positif. Segala kejadian dan insiden yang berlaku ini pasti ada hikmahnya dan mungkin juga satu peringatan padaku sebagai hamba-Nya. Mudah-mudahan selepas ini rahmat pula yang dikurniakan oleh-Nya kepadaku serta dimurahkan rezekiku serta keluargaku. Mudah-mudahan tiadalah lagi perkara-perkara buruk yang berlaku ke atas diriku mahupun keluargaku. Aminnnn…

p/s – Pasti ada hikmah.


BONUS/DUIT RAYA KAKITANGAN AWAM 2011

Berita baik untuk semua penjawat awam kerana baru sahaja tadi di berita ada diumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 yang akan dibuat seawal-awalnya pertengahan bulan Ogos ini. Malah pemberian bonus ini juga turut melibatkan golongan pesara kerajaan yang juga bakal mendapat habuan sebanyak RM500. Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion

Sebelum ini Perdana Menteri ada mengumumkan bantuan hari raya kepada peneroka FELDA dan kini sudah tiba golongan kakitangan awam mendapatnya pula. Tambahan pula, ini sebagai menghargai sumbangan dan serta dedikasi penjawat awam kepada memudah dan menjayakan perlakasaan program pembangunan negara.

Sebelum ini terdapat juga pengumuman yang oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui menteri besarnya mengenai pengumuman pemberian duit raya kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri sebanyak RM500 dan terdapat juga sumber-sumber yang dipercayai menyatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga bakal menurut jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk membuat pengumuman pemberian bonus kepada kakitangan awamnya sebanyak RM600.

Apa pun adalah diharapkan semua kakitangan yang menerima duit bonus atau duit raya ini dapat memanfaatkan sepenuhnya pemberian ini dan sekurang-kurangnya dapat meringankan perbelanjaan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

p/s – Adakah kakitangan kontrak/sementara/sangkutan turut layak menerima bonus ini?

Sumber; Berita-berita arus perdana

UPDATE!!! 10 OGOS 2011 (RABU)

Untuk makluman semua, setiap Jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat pastinya akan menggunapakai Pekeliling yang diwartakan oleh Jabatan Akauntan Negara atau Jabatan Pentadbiran Awam dan lain-lain sebelum melaksanakan pembayaran bonus ini. Oleh itu aku dikhabarkan Pekeliling ini sudah pun di upload di web JPA dan jika mahu kepastian boleh klik di bawah.

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 Tahun 2011

So,  dalam setiap pekeliling pastinya ada menyatakan serba sedikit mengenai tujuan, latar belakang, pelaksanaan syarat pembayaran, kaedah pembayaran dan akhir sekali tarikh kuatkuasa serta pemakaian pekeliling ini. Menurut dari pekeliling ini, tarikh kuatkuasa adalah berkuatkuasa melalui tarikh ianya dikeluarkan.

Apa pun dah dapat bonus ni berbelanjalah dengan bijak serta berhemah. Elakkan pembaziran.

p/s – Terjawab sudah, budak-budak kontrak ke, sangkutan ke, sementara ke adalah layak untuk meneriam bonus ini. Syukur!

UPDATE!!! 16 OGOS 2011 (SELASA)

Nampaknya kebanyakkan kakitangan awam telah pun menerima bonus hari raya yang diumumkan oleh PM tempoh hari. Dengar-dengarnya pembayaran dibuat pada hari ini 16 Ogos 2011, dan rata-rata teman-teman dari pelbagai agensi dan jabatan ada memaklumkan padaku tentang hal ini  dalam nada penuh kegembiraan.

Mahu kepastian? mahu kesahihan? Cuba pergi ke ATM machine untuk bukti dan silalah semak di sana. Tapi ada juga segelintir kakitangan awam yang lewat menerima pembayaran bonus ini dan pada pendapat aku pembayaran ini dibuat berdasarkan Jabatan masing-masing. Tapi, jangan risau janji dibayar…..Lewat atau cepat bukan subjek utama kerana yang pastinya duit tersebut pasti akan dimasukkan terus ke akauan kalian semua.

Apapun berbelanjalah dengan bijak jangan bila tiba hari raya, duit sudah habis dibelanja pula!

Memang rata-rata kakitangan kontrak atau sementara adalah layak menerima pembayaran (baca; Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 Thaun 2011), tapi kedengaran juga ada kakitangan ini (baca; kontrak, sementara RA dan lain-lain) yang tidak dapat dibayar kerana mereka dibiyai oleh duit projek (baca; geran-geran penyelidikan dan lain-lain) dan ianya bergantung kepada Ketua Projek juga, jika dimurahkan rezeki, dan diluluskan maka mendapatlah bonus tersebut. Bagi mereka yang tidak menerima bonus ini, anggap sahajalah tiada rezeki, ok.

p/s – Aku masih belum menerima bonus. Mudah-mudahan duit tersebut akan dimasukkan segera.


SKUAD OLIMPIK MALAYSIA “BERTAPA” DI SLOVAKIA

Selepas tidak layak ke pusingan seterusnya di Kelayakan Piala Dunia 2014, Malaysia masih berpeluang untuk mengatur langkah setelah layak ke Olimpik 2012 (baca; layak ke saingan peringkat kumpulan dan di letakkan di dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Jepun, Syiria dan Bahrain) dan kini Skuad Olimpik Harimau Malaya sedang giat berlatih di Slovakia. Jika diikutkan, FAM telah mengatur perancangan untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan (baca;10-12 perlawanan) di sana bagi mempersiapkan skuad ini untuk Sukan SEA di Indonesia pada November ini dan juga saingan Olimpik nanti..

Well done boys

 Barisan Skuad Olimpik Malaysia

Skuad Olimpik ini telah pun berlepas ke Slovakia pada 23 Julai 2011 yang lalu dan bakal menyaksikan perlawanan persahabatan dengan pasukan Olimpik Repblik Czezch dan Austria serta dengan kelab-kelab Divisyen 1 Slovakia. Sehingga kini sudah tiga kemenangan telah dirangkul oleh skuad Olimpik dan jadual serta keputusan bagi setiap perlawanan adalah seperti berikut.

26 Jul    – Malaysia U23 (1) vs Moldava (0)
30 Jul    – Malaysia U23 (2) vs Topolcany (1)
2 Aug    – Malaysia U23 (2) vs Liptovsky Mikulas (1)
9 Aug    – Malaysia U23 (1) vs Honved Budapest (4)
16 Aug  – Malaysia U23 (2) vs Dolny Kubiu (0)
23 Aug  – Malaysia U23 (0) vs FC Nitra (1)
26 Aug  – Malaysia U23 (1) vs FC Levice (0)

Update!!! 26 Ogos 2011

Nampaknya dari keseluruhan perlawanan yang dijalankan di sana skuad Malaysia telah memenangi perlawanan sebanyak 5 kali dan tumpas 2 kali. Ini menunjukkan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi skuad muda bimbingan Ong Kim Swee. Moga, skuad pelapis ini yang juga bakal mewakili Malaysia untuk Olimpik akan datang menjadi lebih bersinar serta mampu membuktikan kepada dunia dengan bola sepak negara kita. Tahniah!!!

(Jadual keputusan dan perlawanan ini didapati dari web FAM)

Skuad Olimpik ini tidak dibarisi oleh 7 pemain asalnya pada sebelum ini kerana mereka terlibat dengan beberapa perlawanan persahabatan dengan Kelab-Kelab EPL yang mengunjungi Malaysia dan juga terlibat dengan Pusingan Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura. Kini ketujuh-tujuh dari mereka telah pun terbang ke Slovakia untuk menjalani latihan dan menghadapi perlawanan persahabatan di sana. Pemain-pemain ini adalah; Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mahali Jazuli, K.Gurusamy, Fakri Saarani dan Izzaq Faris Ramlan.

Seperti yang telah aku coretkan di atas tadi untuk pusingan kelayakan secara kumpulan di Olimpik nanti Malaysia telah diletakkan di dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Jepun, Syiria dan Bahrain dan jadual perlawanan adalah seperti berikut.

21 September 2011-   SYRIA vs BAHRAIN
21 September 2011-   JEPUN vs MALAYSIA
23 November 2011-    BAHRAIN vs JEPUN
23 November 2011-    MALAYSIA vs SYRIA
27 November 2011-    JEPUN vs SYRIA
27 November 2011-    MALAYSIA vs BAHRAIN
05 February 2012-       SYRIA vs JEPUN
05 February 2012-       BAHRAIN vs MALAYSIA
22 February 2012-       BAHRAIN vs SYRIA
22 February 2012-       MALAYSIA vs JEPUN
14 March 2012-           SYRIA vs MALAYSIA
14 March 2012-           JEPUN vs BAHRAIN

(Jadual perlawnan ini adalah didapati di web AFC)

P/S – Teruskan menyokong Harimau Malaya!!!


MONDAY BLUES

Ahad sudah berlalu dan kini malam menjelma sebelum Isnin pagi datang menerpa. Bukan satu yang mudah setelah berehat selama dua hari dengan fikiran kosong. Seolah-olah berada di alam yang tenteram dan aman. Jauh dari segala kucar-kacir pejabat.

Pagi Isnin selalunya masyarakat pekerja masih di dalam satu mood yang tidak berapa baik. Terpisat-pisat dan agak lambat pergerakan refleks terhadap sesuatu dan kebanyakkanya masih terbayangkan keindahan di hujung minggu bersantai di rumah. Akan tetapi tidak dapat tidak Isnin pagi tetap akan menjelma dan pejabat pasti menanti!

Pejabat. Satu dunia yang lain. Semacam di satu planet yang lain. Dunia yang penuh dengan segala macam arahan. Dunia yang berlalu begitu sahaja dan bergerak dengan pantas. Dunia suruhan seolah-olah kamu di hamba-abdikan oleh “superior” kamu. Berbuat segalanya hanya pada dasar “Saya yang menurut perintah” tanpa mempersoalkan segalanya. Kadang-kadang adakah kamu terfikir…kamu bekerja kuat untuk siapa? Adakah segalanya yang kamu lakukan dihargai? dan yang paling penting sekali…adakah upah yang kamu terima setimpal dengan kerja yang kamu lakukan?

Hmmm…

p/s – “Monday Blues”


MALAYSIA TUMPAS 1-0 KEPADA SELANGOR

Malam tadi (baca; Sabtu malam) Malaysia telah tumpas di tangan skuad Selangor dengan kekalahan 1-0 melalui perlawanan persahabatan yang bertempat di Stadium Shah Alam. Perlawanan ini merupakan satu persediaan bagi skuad Merah-Kuning untuk menghadapi saingan Piala Malaysia pada September ini.

Jaringan pada minit ke 64 oleh Rudie Ramli (baca; bekas pemain kebangsaan) merupakan satu percubaan yang mengkagumkan kerana ianya dibuat diluar petak penalti dan hasilnya mengakibatkan skuad pimpinan Datuk K. Rajagobal itu tumpas tipis kepada skuad Selangor dan ini menjadikan skuad Malaysia semakin diberi perhatian lebih (baca; kritikan, komen, dan persepsi negatif) oleh masyarakat Malaysia.

Ini kerana sejak kebelakangan ini skuad Malaysia dilihat telah tumpas berkali-kali selain dilihat mempamerkan corak permainan yang tidak konsisten di padang. Kemenangan kali terakhir oleh skuad Malaysia adalah ketika Malaysia menumpaskan Taiwan di Bukit Jalil 2-1. Skuad Malaysia yang kecundang pada Selangor malam tadi merupakan skuad yang dipersiapkan bagi perlawanan persahabatan menentang Oman (baca; ditunda / dibatalkan perlawanan ini untuk satu tarikh yang akan ditentukan kemudian).

Mungkin dengan keputusan kali ini akan menjadikan ramai penyokong Malaysia tidak puas hati dan mungkin juga kritikan-kritikan pedas akan diluahkan oleh segelintir peminat-peminat pasukan kebangsaan ini. Bagi aku, aku kecewa tapi walaubagaimanapun aku masih kuat mneyokong Harimau Malaya!

Bagi skuad Malaysia terdapat muka-muka baru yang dipanggil untuk membarisi skuad kebangsaan bagi menggantikan beberapa pemain yang telah kembali menjalani latihan untuk Skuad Olimpik Kebangsaan  di Slovakia.

Barisan pemain bagi kedua-dua skuad adalah seperti berikut..

Malaysia:Farizal Marlias, Helmi, Rizal, Nor Hafiz Zamani Misbah, Asrarudin Putra, Amirul Hadi, Amar Rohidan, Shakir Shaari, Badrol Bakhtiar, Shafiq Rahim, Safee Sali.

Selangor: Iqbal, Razman, Nasriq Baharom, Gunalan, Yusrie, Rudie Ramlie, Hardi Jaafar, Amri Yah Yah, Fitri Syazwan, Haziq Zikrie, Fadzli Shaari.

p/s –  Bangkitlah Harimau Malaya!


TRAGEDI PETANG RAMADHAN

Aku terasa resah dan sedikit durja. Diam terkedu tidak terkata apa dan kadang-kadang mengelamun jauh juga seketika. Aku terkenang kecelakaan tadi yang baru sahaja menimpa diriku dan harta benda ku. Tidaklah terlalu besar kecelakaan itu hingga bisa membuatkan aku diam seribu bahasa sepanjang tahun. Hanya sedikit kemalangan kecil tapi ianya amat benar-benar terkesan.

Kenapa?

Lewat petang tadi, tepat azan Asar berkumandang kereta yang dipanduku telah dihentam oleh motorsikal.Satu perlanggaran yang boleh dikatakan agak kuat menggegarkan sisi kanan kereta Hondaku. Tepat di sport rimku. Sedikit calar. Hatiku berdegup laju tatkala melihat motor yang dipandu oleh seorang lelaki itu hampir-hampir terjatuh di lorong bertentangan (baca; berlawanan arus). Di dalam hati aku hanya mampu berdoa dan bertawakal agar tiada apa-apa kejadian buruk yang berlaku ke atas diriku dan juga penunggang motor tersebut,

Aku pandu kereta dan meletakkannya di bahu jalan. Aku dapati keretaku tiada apa-apa yang teruk, seperti yang aku kata tadi, cuma calar sedikit. Bagaimana dengan motor dan penunggangnya? Alhamdulillah, juga tiada apa-apa, cuma pecah di bumper depannya dan bengkok sedikit di bahagian gearnya dan sebagai ganti aku terpaksa menghulurkan sedikit wang bagi membaiki kerosakan tersebut. Mujur tiada kecelakaan serius berlaku, jika tidak mungkin akan menjadi “tragedi Ramadan” yang paling tragis dalam hidupku. Aku bersyukur tapi kadang-kala fikiranku masih berputar ligat mengenangkan tragedi tadi. Biarkanlah….lambat laun pasti akan hilang dan pudar dari ingatan.

Benar…ia kian pudar, usai menunaikan teraweh gambaran mengenai kejadian buruk petang tadi beransur-ansur luput dari ingatanku. Aku harap ianya akan terus lupus seolah-olah proses pemadaman memori yangg tidak berguna ke kotak “recycle bin”. Kini malam kian menjadi pekat.  Suasana hening dan damai sedingin salju menerpa taman ini.

Tenang…setenang fikiranku kini.

p/s – Ohhh….Jangalah kejadian-kejadian tadi berlaku lagi. Jauhilah…Amiinnn…