Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

LENGGANG PERUT TRADISI YANG SUDAH DILUPAKAN

Sudah berlalu 1 Ramadhan dan Alhamdullilah segalanya berjalan dengan lancar. Aku kini masih di kampung isteri, Kota Tinggi, Johor menyambut 1 Ramadhan di sini bersama sanak saudara yang lain. Sebelum itu kenduri tahlil dan majlis lenggang perut dijalankan bagi anak sulungku yang kini genap 7 bulan dalam kandungan.

Aku pada dasarnya tak lah tahu apa itu lenggang perut dan kenapa tradisi ini begitu sinonim dengan masyarakat jawa dan melayu di Malaysia dan setelah melaluinya kini barulah aku tahu KENAPA ianya penting dan diamalakan secara turun temurun dari dahulu hingga kini. Tapi, mengikut ibu mertuaku…menurutnya amalan ini kadang-kadang berbeza mengikut tempat, negeri dan suku kaum di nusantara ini.

Lenggang perut merupakan satu ritual tradisi bagi setiap ibu yang mengandungkan anak sulung. Upacara ini juga adalah untuk mempastikan keselamatan anak pertama yang dikandungkan oleh si ibu. Masyarakat dahulu kala percaya janin yang berusia tujuh bulan sudah mempunyai roh dan ianya perlulah dijaga dengan baik dan diraikan. Anak pertama itu dikatakan membawa tuah kepada keluarga dan adik beradik yang lain yang akan dlahirkan.

Upacara lenggang perut biasanya dimulakan dengan mandian kepada si ibu dan mandian ini biasanya terdiri dari air bunga yang dinamakan sebagai “kembangg setaman” disertai dengan doa dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi kita. Kemudian si ibu akan dijiruskan oleh ibu mereka sendiri/ibu mertua/mak bidan (baca; isteri aku dimandikan oleh ibunya dalam erti kata ini disirami dengan air kembang setaman). Ini diikuti dengan orang-orang lain yang akan mengambil tempat untuk menjirus air ini ke atas si ibu dan diakhiri oleh suaminya. Selepas itu, kedua-dua pasangan tersebut akan disirami dengan air yang sama! Aku yang turut dijirus menggigil bagai nak gila dek kerana kesejukan air tersebut bagaikan air batu dikutub utara!

Kemudian, upacara diteruskan dengan proses mengantikan kain batik atau menyalinkan kain batik ke atas si ibu sejurus selepas disiram tadi. Sebanyak lima helai kain batik digunakan untuk proses ini dan setelah siap diganti perlulah disidai di ampaian dengan kadar segera bagi proses pengeringan. Menurut ibu mertuaku proses ini adalah simbolik bagi mempermudahkan urusan semasa bersalin kelak supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Di akhir proses, si ibu akan dibaringkan dan perutnya akan diurut-urut bagi mengesan kedudukan bayi dan pada masa yang sama meperbetulkan kedudukan bayi jika ketika itu tidak ditempat yang sepatutnya. Pada ketika ini, si ibu akan dibaringkan di atas kain-kain batik dan perutnya akan dilenggangkan serta dihayun-hayunkan ke kiri dan ke kanan dan oleh sebab itu ritual ini dinamakan “lenggang perut”.Proses ini diiringai dengan doa serta selawat-selawat ke atas Nabi. Akhir sekali sejenis bubur akan diesarkan kepadajiran tetangga sebagai tanda berterima kasih dan bersyukur atas kurniaan rezeki yang diberikan olehNya

Bagi aku, ini merupakan satu pengalaman yang beharga kerana diberi kesempatan untuk melakukan satu ritual tradisional yang mungkin pada zaman sekarang tidak dilakukan lagi oleh kebanyakkan orang. Memang jika dilihat dari sudut sains dan teknologinya mungkin tidak memberi apa-apa signifikasi kepada bayi,ibu dan juga bapa yang terlibat dalam proses ini akan tetapi kita harus percaya ritual inilah yang diaplikasikan selama beratus-ratus tahun pada zaman dahulu oleh moyang-moyang kita. Apa pun selagi ianya tidak menyimpang dari agama islam serta tidak ada unsur-unsur khurafat,bidaah dan syirik…ianya boleh diamalkan. Mungkin satu hari nanti jika tidak diamalkan upacara adat resam seperti ini, cucu cicit kita mungkin hanya dapat melihat proses sebegini di video-video yang dirakamkan di Muzium Negara sahaja!

p/s – Semuanya sempurna dan Alhamdullilah, isteri dan anak aku di dalam kandungan tahan berpuasa satu hari!

One response

  1. artiqah

    assalam. setahu sya mlalui bacaan, upacara lenggang perut yg diamalkan oleh org mel dulu2 adalah meniru amalan masy HINDU yg melakukan upacara yg sama seblm klahiran bayi (utk mgelak bayi dan ibu diganggu oleh roh jahat). tp saya dh lp nama buku yg saya baca tu.

    April 3, 2013 at 2:10 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s