Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

Archive for Oktober, 2011

NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2011

Pasukan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2011 dengan menewaskan Terengganu 2 – 1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam malam ini hasil dari jaringan Kunanlan dan Hairudin Omar pada penghujung separuh masa ke dua.

Walaupun bermain tenang dengan sikap “fair play” yang ditunjukkan oleh Shukor Adan selaku Kapten pada babak awal permainan, akhirnya Negeri Sembilan dapat jua menjuarai Piala Malaysia pada edisi kali ini. Lagipun pemain-pemain Negeri Sembilan lebih “berhati perut” dan bersikap profesional berbanding pemain skuad penyu. Ini dapat dilihat dari beberapa insiden yang berlaku tadi. Apapun Syabas Negeri Sembilan!

p/s – Sharibinee, lakonan memang terbaik, Agak-agak lepas ni kalau dah tak main bola, boleh bergandingan dengan Fahrin Ahmad untuk berlakon!


MAHARAJALAWAK MEGA AGAK MENGECEWAKAN

Raja lawak merupakan satu program yang dinantikan bagi mereka yang menggemari program lawak jenaka. Ternyata, program yang satu ketika dahulu hambar,tidak mempunyai peminat dan disalurkan di Astro Ria 104 kini sudahpun berjaya menarik minat ramai penonton hingga langganan Astro Warna menjangkau 300% selepas Maharajalawak ditayangkan pada awal tahun ini.

Terbaru program Maharajalawak Mega pula diperkenalkan.

Maharaja Lawak Mega telahpun bersiaran di Astro WARNA132 bermula 28 Oktober, Jumaat jam 10 malam . MLM sekali lagi akan dihoskan oleh pengacara Maharaja Lawak dulu, Ac Mizal. MLM dijangkakan akan berlangsung selama 10 minggu di Astro Warna saluran 132 menampilkan
barisan aktor dan aktres komedi terhebat dari tiga negara iaitu Malaysia,Indonesia dan Singapura bertemu dalam satu pertarungan lawak yang epik! Merebut gelaran raja segala raja! Maharaja Lawak Mega!
Apabila melihat sahaja pada iklan pengenalan MLM yang begitu menarik di mana satu pertarungan epik ala-ala zaman Empayar Rom Kuno di Bangunan Colosseum (baca; Flavian Amplitheather). Digambarkan, ke semua pelawak-pelawak ini berpakaian kustom ala-ala pahlawan Rom kuno ala-ala Troy (baca; Trojan), berpedang, berbaju besi, berkasut kulit melangkah gagah ke medan perlawanan untuk beradu tenaga bagi merebut gelaran juara (baca; personafikasi yang cuba ditonjolkan). Menarik sungguh iklan pengenalan MLM dan bisa membuatkan para penonton ternanti-nanti akan rancangan ini di kaca tv.
Hakikatnya….
Indah rupa dari khabar. Aku sempat menonton MLM yang disiarkan tadi bersama kesemua ahli keluargaku. Sememangnya kami sekeluarga amat menggemari rancangan komedi terutamanya Rajalawak dan Maharajalawak dan sejujurnya kami sekeluarga juga lebih meminati rancangan ini berbanding Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in a Million, Bintang Kecil, MyStar LG dan lain-lain rancangan realiti berkonsepkan nyanyian yang sewaktu dengannya.
Apa yang aku ingin sampaikan ialah tentang ketidakpuashatian kami sekeluarga akan persembahan peserta MLM yang bagi kami tidak kelakar langsung (baca; hanya Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik dari Kumpulan Boboi berjaya memberi lawak yang berkesan) walaupun yang hadir menyertai program ini adalah otai-otai lawak dari tiga negara. Sudahlah tidak kelakar, panel juri juga amatlah tidak sesuai bagi mengendalikan atau membuat sebarang komen/ulasan/cadangan dan sebagainya. Walaupun keempat-empat mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing umpamanya Datuk Chef Wan dalam bidang kulinari dan masakan, Dato’ Siti dan Imran Ajmain dalam bidang nyanyian serta Zainal Abidin Hassan dalam sukan bola sepak tetapi kombinasi mereka ini bagaikan mereka ini tersalah “rumah”.
Sewajarnya Datuk Chef Wan mengadili/menjadi juri bagi rancangan Masterchef Malaysia begitu juga yang lain-lain dengan menempatkan kepakarn mereka ditempat yang betul. Boleh juga dari kalangan juri diambil dari mereka yang pernah menjuarai Maharajalawak atau Raja lawak satu ketika dahulu, apa salahnya junior mengadili/mengkritik otai-otai lawak dah tiba masanya mereka juga boleh dikritik sebagaimana mereka mengkritik peserta Rajalawak dan Maharajalawak satu ketika dahulu. Ubah sikit format, cari kelainan.
Untuk menampakkan rancangan ini tidak bias/berat sebelah adalah lebih elok kiranya juri-juri dari negara Singapura dan Indonesia dijemput bersama-sama dengan juri/otai lawak dari Malaysia menjadi pengkritik bagi rancangan ini. Kehadiran juri dari pelbagai negara adalah diperlukan bagi mendapatkan pandangan yang tidak menjurus kepada satu negara sahaja. jika dilihat semasa siaran langsung MLM tadi kesemua juri/pengkritik adalah dari Malaysia.
Dari segi persembahan, rata-rata para peserta seperti terlalu berhati-hati seolah-olah mahu mencuba, barangkali baru pentas yang pertama. Tiada kumpulan/individu yang begitu kuat dan baik sekali lawaknya kecuali dari Boboi, Anje, JH, BP, Saehu dan Hero yang bolehlah membuatkan sedikit rasa gelihati dan mampu membuatkan kami semua tergelak. Walaubagaimanapun, diharapkan pentas Maharajalawak Mega akan datang lebih menampilkan dan menonjolkan lawak-lawak yang leboh power dan lebih otai.
p/s – Mahawajalawak Mega agak mengecewakan.

SIAPA YANG GEMBIRA GADDAFI MATI AKAN MENYESAL

Pengakhiran riwayat hidup Gaddafi amat menyanyat hati apabila beliau diaibkan oleh rakyatnya sendiri hingga mati (baca; diseret di jalanan, diejek, dikeji, dipukul, dibelasah, disodomi dengan pisau dan akhirnya ditembak). Pada awalnya, Konvoi kenderaanya yang cuba melolosi sempadan Libya dikesan dan dibom oleh pesawat NATO hingga mengorbankan hampir kesemua ahli konvoi, Gaddafi yang terselamat telah melarikan diri dan menyorok di bawah pembentung air hinggalah ditemui oleh pasukan tentera NTC yang sedang memburunya. Anak-anaknya pula turut menerima nasib yang sama, diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh warganegara Libya yang menunjangi tentera NTC hingga kini cuma Saif Al-Islam sahaja yang masih selamat dan khabrnya mahu menyerah diri tidak lama lagi. Kini, jenazah Gaddafi telah pun dikebumikan dan lokasinya tidak pula dapat dipastikan kerana ditakuti makam pengembumiannya bakal dijadikan sebagai tempat kunjungan bagi penyokong-penyokongnya atau bagi mereka yang bersimpati dengannya.

Sungguhpun peperangan menumpaskan Gaddafi ini ditunjangi oleh Zionis Israel, Amerika dan juga Perancis serta sekutunya NATO dan dilicinkan oleh proksinya iaitu tentera NTC, betapa ramailah golongan rakyat yang begitu bergembira dengan kematiannya dan menyambutnya bagaikan pesta keramaian! Kisah Gaddafi hampir sama dengan Saddam di mana Saddam diburu hingga ke lubang tikus dan ditemui dalam keadaan yang sangat hina dan akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan hinggalah mati di tali gantung. Bezanya cara pengakhiran kedua-dua pemimpin di akhir hayat mereka, di mana Gaddafi dibunuh kejam oleh rakyat tanpa diadili dahulu manakala Saddam pula sempat diadili.

Semalam, Ketua pergerakan Nation of Islam, Louis Farrakhan menempelak sikap sesetengah pihak yang ‘bergembira’ dengan kematian Muammar Gaddafi dan memberi amaran mereka akan menyesal dengan apa yang dilakukan itu.

”Mereka mencipta satu pembunuhan yang berjaya terhadap Gaddafi.

”Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh dipercayai kerana badan dunia hanyalah alat Barat,” katanya ketika ditemu bual stesen radio Chicago, WVON-AM.

Farrakhan berkata, dia mula mengenali Gaddafi sekitar 70-an dan bekas pemimpin Libya yang dibunuh minggu lalu itu pernah memberikan pinjaman sebanyak AS$5 juta (RM15.5) kepada pertubuhannya.

Malah jelasnya, pemimpin Nation of Islam sebelum ini, Elijah Muhammad pernah diberikan pinjaman sebanyak AS$3 juta (RM9.3 juta) oleh Gaddafi bagi menukar sebuah gereja di Chicago menjadi masjid.

”Ia bukan sekadar wang tetapi prinsip hidupnya yang membuatkan kami seperti saudara,” ujarnya.

Katanya, ketika pemerintahan Gaddafi, hasil minyak Libya digunakan untuk membina sekolah serta universiti bagi meningkatkan kadar celik ilmu dan Gaddafi juga telah berjaya memperbaiki perkhidmatan kesihatan yang dilihat terbaik di kalangan negara ketiga.

p/s – Sekarang Amerika sedang carik pasal pula dengan Pakistan, satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear dengan “sah” adakah peperangan akan terjadi? Tunggu dan lihat.

Sumber; Utusan Malaysia


TEKNIK PENIPUAN GAMBAR OBJEK MINI

Imej-imej di bawah merupakan salah satu teknik yang boleh dipanggil sebagai “miniature faking”. Sebenanrnya kesemua gambar-gambar yang diambil ini berdasarkan imej yang bersaiz sebenar. Lensa kamera akan diletakkan di axisnya dengan membuatkan pemandangan sekitar latarbelakang dan hadapan imej/objek yang difokus semakin mengecil dan seolah-olah pudar/tidak jelas (baca; blur). Gambar akan diambil dari sudut pandang yang tinggi seolah-olah seseorang sedang memandang ke bawah dan fokus ke “model/imej” dan warna gambar ini akan disaturasikan bagi memberi kesan kepada gambar ini yang ianya seolah-olah sebuah gambaran bagi “mini model”. Kaedah ini menggabungkan teknik “penipuan mata” dengan menyatakan kepada pemikiran bahawa ini bukanlah objek yang bersaiz sebenar dan oleh kerana itu kita kan menafsirkan bahawa objek yang difokus di dalam gambar ini adalah objek mini/mini model walhal sebenarnya bukan!

Lihat dan nikmati gambar-gambar di bawah ini.

p/s – Fikirkan ini adalah model mini? fikirkan kembali….

Sumber; Yahoo! News.


RAGAM MENJAGA BAYI KECIL, KHALIFF

Sudah menjadi lumrah ibu bapa, perlu banyak bersabar dengan karenah anak terutamanya yang masih kecil lagi. Selepas jam 12 tengah malam, malam tadi Khaliff (baca; anakku) tidak mahu tidur hingga ke pagi (baca; usai Subuh). Kami berdua amat bersabar dengannya kerana sebelum ini dalam hari-hari yang lepas Khaliff tidur dengan lena dan hanya bangun jika mahu susu sahaja tidak seperti malam dan pagi tadi.

Ceritanya begini, jam 12 tengah malam, kedengaran petas (baca; mercun) dibakar oleh kaum India bagi meraikan Deepavali pada hari ini. Petas yang dibakar amatlah bising dan begitu meriah sekali bagaikan kita berada di malam kemuncak Ambang Kemerdekaan ataupun malam Kemuncak Tahun Baru. Dentuman yang sebegitu rupa telah menggangu tidur lena Khaliff dan si kecilku tadi terus membuka matanya sebulat yang mungkin sambil kelihatan sedikit “blur” mungkin memikirkan apakah bunyi kuat tersebut kerana dahinya kadang-kadang sikit berkerut.

Aku juga sedikit hairan dengan Deepavali tahun ini kerana ternyata petas yang dibakar makin lama, makin hebat. Maksud aku ada penambahbaikkan dari tahun ke tahun dari segi bunyi letupan yang makin kuat, durasi permainan mercun tersebut yang semakin lama, mercun yang dibakar juga lebih canggih serta mereka membakar mercun secara bekerjasama (baca; beberapa keluarga India bekerjasama membakar mercun). Oleh itu, ternyata bunyi dentuman pada tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas-lepas dan jika lebih baik sudah tentulah bunyinya semakin kuat bukan?

Berbalik kepada cerita Khaliff tadi. Pada awalnya reaksi Khaliff begitu bersahaja tetapi entah kenapa pada jam-jam yang berikutnya hinggalah awal pagi dia seperti tidak selesa dan mula ngaruk! (baca; dalam bahasa Jawa, ngaruk ertinya mengamuk). Kerjanya tidak lain dan tidak bukan hanyalah mahu menyusu badan dan itu sudah menjadi tanggungjawab isteri untuk menguruskannya, maka dengan itu aku bolehlah lena seketika memandangkan Khaliff sedang enak menikmati susu ibunya. Selesai menyusu Khaliff mula bermain, digerak-gerakkan tangan dan kakinya, cuba memusingkan kepala dan pelbagai aksi lain dan pada ketika itulah aku pula yang menjaganya kerana isteri hendak melelapkan mata. Kami bagaikan pelar pecuti 4X400 meter berganti-ganti yang bertukar-tukar batton kerana setiap jam yang berasingan aku dan isteri bergilir-gilir menjaganya..

Usai bermain secara bersendirian, Khaliff mula merengek mahu menyusu dan begitulah rotasi ragamnya hinggalah ke Subuh hari. Sebelum itu sudah didodoi, ditepuk-tepuk dan diusap-usap bagi memberinya rangsangan untuk tidur tapi tidak berjaya. Akhirnya aku cuba meribanya di badan sambil mengoyang-goyangkannya sedikit serta membaca-bacakan sedikit sebanyak selawat dan ayat-ayat lazim dan hasil daripada itu Khaliff terlena diribaku selama beberapa ketika, tetapi akibat dari kesan itu aku pula yang tidak dapat tidur kerana meribanya. Bagusnya Khaliff, dia tidak banyak menangis..kalau menangis jawabnya penat tak sudahlah kami berdua dan kami sentiasa berdoa agar Khaliff tidak begitu. Takpelah…sudah menjadi tanggungjawab. Terima, dan nikmatinya perlahan-lahan.

Akhirnya Subuh menjelma, Khaliff ku berikan kembali kepada isteriku untuk disusukan olehnya manakala aku menunaikan solat Subuh. Selesai solat aku membacakan selawat dan ditiupkan di ubun-ubun kepalanya dan hingga entri ini ditulis Khaliff masih lagi lena dibuai mimpi indah yang kadang-kadang membuatkanya tersenyum sendirian ketika tidur! Apapun kami berdua, ayah dan mummy sayang Khaliff.

p/s –  Ini baru sedikit cabaran dalam proses membesarkan anak. Terfikirkah kita bagaimana rupanya ibu dan bapa kita menjaga kita di kala kecil dahulu? Mungkin beginilah caranya, penuh kesabaran, penuh kasih sayang dan disulami dengan rasa cinta yang amat mendalam. Anak-anak sekalian, hormatilah ibu bapa kita, jagalah mereka sepertimana mereka menjaga kita semasa kita kecil dahulu.

Oh ya, Khaliff sudah pun ada surat beranak, namanya Mohammad Khaliff Riyadh.


BUKU BARU; SHAMSIAH FAKEH DAN MEMAHAT LEKUKAN SEJARAH

Aku baru sahaja menerima pesanan buku yang dibuat tempoh hari melalui pembelian atas talian di Silverfish Books. Dua buah buku iaitu Memoir Shamsiah Fakeh dan Memahat Lekukan Sejarah (baca; berkaitan Bersih 2.0). Aku sememangnya mencari-mencari buku-buku sejarah berkaitan pejuang-pejuang haluan kiri di Malaysia ini dalam menuntut kemerdekaan memandangkan info berkaitan mereka di media arus perdana malahan di buku teks sekolah amat sukar untuk didapati. Sewajarnya rakyat Malaysia perlu memiliki dan membaca buku-buku sebegini kerana sekurang-kurangnya kita akan lebih faham betapa peri pentingnya pengorbanan mereka untuk menuntut kemerdekaan dengan bermandikan darah dan mengangkat senjata. Sewajarnya golongan ini juga perlu diberikan perhatian kerana kita tidak boleh menafikan dan menidakkan pengorbanan mereka menentang penjajahan di Tanah Melayu/Malaya ini.

Buku Shamsiah Fakeh ini buat pertama kalinya dicetak dan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 dan diulangcetak serta diterbitkan kembali pada tahun 2010 oleh Strategic Information and Reseach Development Centre (SIRDC). Pembaca seolah-olah dapat menyulusuri sedalam-dalamnya perjalanan hidup pejuang-pejuang ini dengan gaya penulisan yang kemas dan mudah difajami serta tidak bercorak seperti thesis. Aku juga memiliki memoir-memoir yang lain seperti Memoir Ibrahim Chik dan Memoir Rashid Maidin dan mungkin akan mencari lebih banyak memoir-memoir lain untuk dijadikan bahan pembacaan dan koleksi serta untuk menambahkan lagi pengetahuan semasa agar pemikiran ini tidak terlalu terikat dengan apa yang telah “dihadam” olehku selama ini.

Shamsiah Fakeh; Dari AWAS ke Rejimen Ke 10 

Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri.

Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989. Sekembali ke tanah air, beliau bersama anak cucunya menjalani kehidupan hari tuanya secara sederhana. Beliau tidak pernah menyesal menentang penjajah British, tidak pernah menyesal masuk ke hutan dan menyertai Parti Komunis. Beliau bersyukur perjuangannya telah menggegarkan penjajah. Beliau percaya dan yakin generasi muda yang dapat menghayati sejarah yang benar pasti akan menemui arah tuju mereka.

– – – – – – – – – PPPffftttttttttttt – – – – – – –

Memahat Lekukan Sejarah

Travelog ini diluncurkan kepada khalayak untuk menjiwai gejolak jiwa tertindas, dengan kezaliman yang semakin membuncah. Juga untuk meluaskan ufuk pembacaan generasi muda di negara ini, untuk apa sebuah harga pengorbanan yang ditunjukkan dalam bantahan awam  paling sengit di negara ini yang terakam di langit sejarah. BERSIH 2.0 merupakan kempen untuk menuntut pemulihan demokrasi yang sedang rabak di negara ini yang tenatnya setanding dengan Zimbabwe dan Myanmar. Bantahan awam ini semenjak awal lagi dimomok sebagai ‘rancangan untuk menggulingkan kerajaan secara revolusi’, maka tindakan keras daripada pihak keselamatan tak terjangkau dek akal, seolah Malaysia diambang peperangan. Buku ini menggabungkan pelbagai penulis dengan pengalaman yang berbeza, menuang pengalaman yang diperolehi dan menuangkannya di atas lembaran-lembaran kertas untuk dikunyah oleh pembaca. Pengalaman adalah untaian ilmu yang dihirup seumur hidup, tanpa jemu dan lelah terus mengejar manusia. Ia juga adalah guru yang paling berharga, maka atas justifikasi inilah, mengapa penerbit merasakan pengalaman mahal ini wajib dirakamkan untuk tatapan generasi akan datang.

p/s- Baca, fahami dan nilaikan sendiri.

Sumber: Silverfish Bookstore


JASA GADDAFI DAN PENGAKHIRANNYA

Gaddafi sememangnya tidak sebulu dengan mana-mana pemerintah barat terutamnya Zionis Yahudi dan Amerika, oleh kerana itu beliau perlu “dilupuskan”. Nasib yang serupa dan sama pernah berlaku sebagaimana Taliban di
Afganistan dan Saddam Hussein di Iraq, Abdul Aziz Al-Rantissi dan Syeikh Ahmad Yassin di Palestin dan akhirnya nasib yang sama kini menimpa Gaddafi pula mungkin esok lusa Presiden Iran, Ahmadinejad bakal dilenyapkan. Negara mereka akan dikucar-kacirkan oleh kuasa besar dan sekutunya, ekonomi disekat, peralatan ketenteraan yang canggih diguna dan diuji cuba. Begitulah nasib kepada mana-mana pemerintah islam yang ingkar dan tidak mengikut telunjuk negara zionis Yahudi dan Amerika yang menentang mereka, pemimpin dihapuskan negaranya pula dimusnahkan
Kini pemimpin Syria dan beberapa lagi pemimpin di dunia Arab pula diambang kejatuhan yang akan menerima nasib sama dan menunggu detiknya sahaja, sama ada diusir atau ditangkap atau dibunuh dengan ‘bantuan’ kuasa luar.

Gaddafi memang ditakuti oleh negara-negara yang aku sebutkan tadi dan di dalam sejarah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu cuma beliau seorang sahaja yang pernah mencampakkan piagam PBB semasa berucap dihadapan pemimpin dunia di perhimpunan agung pertubuhan itu. Ini menunjukkan beliau seorang yang amat lantang, tegas dan mempunyai prinsip yang tinggi. Beliau juga pernah dianggap sebagai raja kepada raja di seluruh Afrika bila mana beliau telah menjemput lebih 200 kerabat diraja di seluruh Afrika berkumpul di Beghazi dan cuba memperkenalkan Pasport yang sama bagi dugunapakai bagi kesemua negara Afrika.

Sungguhpun beliau dianggap kejam oleh musuh-musuhnya tetapi betapa banyak kebaikkan/pembaharuan yang pernah dilakukan oleh beliau. Berikut adalah jasa yang pernah ditaburkan oleh Gaddafi semasa pemerintahan beliau selepas mengambil tampuk pemerintahan negara semasa rampasan kuasa yang dilakukan oleh beliau ke atas Raja Idris I.

1. Tiada bil elektrik di Libya, kemudahan elektrik adalah percuma bagi setiap warga Libya.
2. Tiada dikenakan sebarang kadar faedah melalui pinjaman yang dibuat dari bank dan pinjaman diberi pada kadar 0% oleh lunas undang-undang.
3. Rumah dianggap sebagai satu keperluan asas di Libya dan Gaddafi pernah bersumpah bahawa beliau dan bapanya tidak akan memiliki rumah selagi kesemua  rakyat Libya tidak memiliki rumah . Bapa Gaddafi meninggal ketika di mana mereka masih tidak mempunyai rumah dan tinggal di dalam khemah.
4. Pasangan pengantin baru akan diberi 60,000 dinar oleh kerajaan bagi permulaan untuk membeli rumah untuk memulakan keluarga baru dan kehidupan baru.
5. Peluang pendidikan dan kesihatan adalah percuma dan kadar celik huruf adalah sebanyak 83%, sebelum pemerintahan Gaddafi, kadar celik hurufnya adalah 25%.
6. Sekiranya rakyat Libya mahu memulakan pertanian, mereka akan menerima tanah, rumah pertanian, peralatan pertanian, benih dan haiwan ternakan secara percuma dengan bantuan kerajaan.
7. Sekiranya rakyat Libya tidak mendapat kemudahan yang baik dari segi peluang pendidikan dan kesihatan di Libya mereka boleh ke luar negara untuk mendapat peluang yang lebih baik dan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan malah akan diberi elaun perjalanan sebanyak USD2,300 dan elaun kenderaan.
8. Kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 50% bagi pembelian kereta di Libya
9. Harga petrol di Libya per liter sebanyak USD0.14 antara yang termurah di dunia.
10. Libya tidak memiliki hutang luar negara hasil pemerintahan Gaddafi dan dana “reserve” yang dimiliki adalah sebanyak USD150 billion.
11. Sekiranya para graduasi/lepasan universiti di Libya tidak mendapat pekerjaan mereka akan dibayar elaun semasa mereka menganggur dan pembayaran akan ditarik balik selepas mereka mendapat pekerjaan.
12.Hasil dari keuntungan penjualan petroleum di Libya dikreditkan terus ke akaun bank rakyat Libya.
13. Ibu yang melahirkan anak akan diberi USD5,000 sebagai bantuan khas.
14. 40 buku roti di Libya cuma berharga USD0.15.
15. 25% rakyat Libya memiliki sekurang-kurangnya Ijazah pertama dari Universiti yang diiktiraf.
16. Gaddafi mejalankan projek mega iaitu sistem pengairan terbesar di padang pasir yang tandus dan dikenali di seluruh dunia sebagai “Great Man-Made River Project” bagi mengairi tanah kering kontang itu untuk menyuburkannya agar boleh dibuat tanah pertanian supaya di masa depan Libya tidak bergantung dari hasil luar negara.
17. Libya memiliki kadar kematian bayi yang paling rendah dan kadar hidup yang tinggi.
18. Apabila berlaku kenaikkan kadar makanan, Gaddafi akan menghapuskan semua cukai atas makanan.
Sungguhpun besar jasa beliau dengan membebaskan negaranya dari pemerintahan monarki yang sebelum ini diperintah oleh Raja Idris I dan seterusnya melakukan pembaharuan akhirnya beliau mati ditangan rakyatnya juga. Kasihan Gaddafi. Maka tumbanglah lagi seorang jagoan arab islam yang ditakuti oleh Zionis Yahudi…kini, sasaran seterusnya pastinya Republik Islam Iran yang kononya memiliki nuklear dan seteru utama Amerika dan Zionis Yahudi pastinya ditumpukan pada Presiden Ahmadinejad.
Al-fatihah untuk Gaddafi.
p/s – Lepas ni kalau rakyat Libya nak menagis pun tak guna, tanggunglah derita macam di Afganistan dan Iraq..penjajah datang menjarah negara, dirai-rai dipuji-puji dan dipeluk cium…kendian apa dah jadi. Nyesal pun tak guna.
Sumber: Wikipedia Gaddafi, Anak Sungai Derhaka, Utusan Malaysia dan laman-laman web lain serta sumber berita dunia.
Mahu tonton bagaimana Gaddafi dibunuh dan diseksa dengan kejam oleh tentera NTC, sila klik di sini.

SELANGOR MEMBURU KEJUARAAN KE-33 PIALA MALAYSIA, MAMPUKAH?

Piala Malaysia sudah hampir ke penghujungnya dan di kala ini pertemuan di antara Selangor dengan Terengganu sedang berjalan dan satu lagi venue menyajikan perlawanan antara T-Team dengan Negeri 9. Piala Malaysia adalah piala bola sepak yang paling berprestij di negara kita dan ianya sudah pun bermula sejak dari tahun 1921 lagi.

Aku tidak kisah dengan lain-lain team. Tapi aku sangat peduli dengan Selangor yang merupakan tempat kelahiranku. Melihat dari perlawanan separuh masa pertama tadi, dapat aku nilaikan yang misi memburu kejuaraan yang ke-33 adalah mustahil kerana Terengganu sudah pun mendahului 3 mata secara agreget

Aku tak berharap apa-apa, kerana Selangor sudahpun jauh tertinggal. Apa yang diperlukan mungkin sedikit nasib dan usaha yang lebih. Banyakkan serangan, kukuhkan benteng pertahanan dan ampuhkan bahagian tengah pastinya misi memburu kejuaraan yang ke-33 adalah tidak mustahil!

Kedudukan separuh masa pertama: Terengganu 1, Selangor 0

Kedudukan separuh masa kedua: Terengganu 2, Selangor 0

Selangor tidak layak ke pusingan akhir bagi merangkul kejuaraan Piala Malaysia bagi tahun 2011 dan nampaknya Negeri 9 akan menentang Terengganu di pusingan akhir nanti.

p/s – Kenapa suka bebenor bakar mercun ye? Ohhh…minggu depan Deepavali. Raya..kenala bakor mercun…!! Lagi satu, kenapa asek suka nak bergadoh je ye (baca; T-Team lwn Negeri 9)? Sukan kot….mainla dengan professional kalau tak boleh kena provok baik ang pi tanam sayur kat kebun! tak pun main bola kocek ja bro!


PENANTIAN BERAKHIR; LAHIRNYA PUTERA SULUNG KAMI

Penantian kami suami isteri selama ini akhirnya ke penghujung jua setelah lebih 9 bulan isteri mengandung anak pertama kami yang merupakan putera sulung bagi kami. Tanggal 16 Oktober 2011 jam 11:45 malam putera sulung kami lahir ke dunia ini. Selama lebih 24 jam Isteri telah menanggung kesakitan akibat regangan dan kontraksi bayi di dalam perut yang tak sabar-sabar mahu keluar.

– – – – – – – PPPfffttttttttttttttt – – – – – – –

Pada jam 1:20 pagi Sabtu kami berangkat ke Pusat Perubatan UKM (PPUKM) kerana isteri telah mula sakit hendak bersalin. Sebelum itu aku ada memaklumkan hal ini kepada orang tuaku dan mereka mengesyorkan supaya isteri dibawa ke hospital secepat yang mungkin. Sejurus tiba di bahagian Obstetrik dan Ginekologi (O&G) isteri mendapat rawatan dan tindakan awalan dari jururawat dan doktor yang bertugas pada malam itu. Setelah lebih sejam diperiksa, doktor menasihati kami supaya pulang sahaja ke rumah memandangkan “ruang bukaan” bagi bayi baru sahaja terbuka 1cm. Kami buntu seketika. Sudahlah awal pagi, rumah pula jauh di Semenyih dan jika ada apa-apa perkara buruk berlaku bagaimana pula nanti.

Kebetulan aku bekerja di PPUKM, dan atas nasihat orang tua kami berdua, aku mengambil langkah drastik dan munasabah pada ketika itu iaitu bermalam di pejabatku! Kami berdua melangkah longlai dan lesu untuk ke pejabatku pada pagi itu. Sudahlah hawa dingin pada malam itu ditambah dengan keadaan “pagi” di hospital…apa lagi yang kamu semua dapat bayangkan? Suasana begitu hening dan sunyi sekali, sekali sekala bunyi-bunyian aneh iaitu bunyi burung gagak terdengar memecah hening malam nan syahdu. Aku tiba di pintu kantor pada jam 3:20 pagi dan melangkah masuk ke pejabat selepas “memberi salam” kepada “penghuni tetap” kantor.

Lampu pejabat di buka dan aku menoleh kiri dan kanan ruang pejabatku dengan penuh berhati-hati tetapi penuh keyakinan, yakin kerana Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang susah. Sunyi dan senyap.  Kadang-kadang kedengaran bunyi pintu di ruang makmal terutamanya di Login lab berdentum sederhana kuat. Tapak-tapak kaki yang berdetak laju bagai lari-lari anak kedengaran di ruang makmal. Selain itu, tiada bunyi yang kedengaran hanya bunyi cicak dan pendingin hawa yang tak terpadam kami dapat dengar. Malam itu di pejabat, kami berdua gelisah. Gelisah mengenangkan apakah nasib kami berdua pada esok hari memandangkan darah kerap kali keluar dari kemaluan isteri. Kesan dari darah tersebut membuatkan isteri keletihan, lesu dan agak lemah tidak bermaya selain badannya kian sakit-sakit terutamanya di pangkal rahim dan keliling pinggang. Aku hanya mampu menenangkan keadaan beliau yang kelihatan begitu lemah sekali. Bak kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Kami tidur berlantaikan karpet pejabat dan beralaskan kain batik serta berbantalkan kusyen sofa yang ada tanpa selimut. Jika ada masa, aku mengurut-urut isteri dan memberikan kata-kata semangat supaya bertenang dan redha sahaja dengan ketentuan ilahi. Banyakkan istigfar, selawat dan membaca surah-surah lazim yang diketahui. Alhamdullilah, isteri semakin pulih dan keadaan semakin terkawal hinggalah ke Subuh hari walaupun kadang kala terdengar suara isteri mengerang kesakitan dan bunyi-bunyian aneh di makmal yang tidak perlulah aku ceritakan di sini.

Oh! aku juga sempat menyiapkan beberapa kerja pejabatku pada ketika itu, sambil menyelam, sambil minum air!

– – – – – – – PPPfftttttttttttttt – – – – – – –

Pagi itu selepas menunaikan solat subuh dan solat hajat aku terus ke O&G sekali lagi untuk menghantar isteri bagi urusan pemeriksaan dan pada kali ini isteri terus ditempatkan di wad A1 dan aku difahamkan pada ketika itu isteri akan bersalin seawal-awalnya pada petang itu juga. Penantian kali ini amat menyeksakan buat isteri kerana sakit kontraksi yang dialaminya secara berkala ini kerap kali datang dalam jangka masa setengah jam atau sepuluh minit.

Di wad, aku dimaklumkan oleh doktor bahawa bukaan bagi laluan bayi masih lagi kecil iaitu hanya 2cm sahaja hinggalah jam 3 petang. Doktor menasihati isteri supaya berjalan secara aktfi bagi menggalakkan bukaan laluan tersebut. Atas nasihat itu, isteri pun mengambil langkah drastik dengan melakukan tawaf di dalam wad setiap setengah jam. Untuk menenangkan dirinya aku memberitahu supaya kerap kali mengambil wudhu’ supaya diri menjadi lebih selesa, tenang dan aman sentiasa serta dipermudahkan segala urusan. Jam 5 petang sekali lagi doktor menjalankan pemeriksaan dan ternyata usahanya tidak sia-sia kerana laluan bukaan sudahpun terbuka sebanyak 3cm. Alhamdulliah.

Aku pada ketika itu tidak lalu untuk menjamah makanan. Lapar sedikitpun tidak ku rasa Minum air sudah memadai. Apabila mengenangkan nasib isteri pada ketika itu, bibit-bibit keinsafan timbul dan menyelami dalam lubuk sanubariku tentang betapa paeri pentingnya pengorbanan seorang oseri terhadap seuaminya. Betapa peritnya penderitaan seorang ibu yang hendak melahirkan anaknya apatah lagi anak sulung! Pada ketika itu kami mendapat sokongan moral yang tidak berbelah bagi dari ayah dan ibuku serta adik-beradikku. Terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada mereka yang turut sama-sama “mendalami dan menyelami” penderitaan kami pada ketika itu. Hanya tuhan sahaja yang mampu membalas budi pekerti kalian semua.

Jam 7 malam hinggalah melepasi waktu maghrib aku dan keluarga masih di dalam wad A1 menemani isteri. Katanya doktor akan melakukan pemeriksaan pada jam 7:55 malam. Jam 7:30 malam kami sekeluarga dikehendaki untuk keluar dari wad kerana waktu melawat sudah pun tamat. Ibu dan ayahku terus pulang ke rumah bagi mengurus dan mengemas diri, manakala aku dan adik ketigaku terus naik ke pejabatku, kerana nia dihati adalah untuk bermalam di pejabat sekali lagi sambil menemani isteri yang pada ketika itu sedang menunggu masa untuk bersalin.

Jam 7:55 malam usai solat maghrib adik ketigaku menerima panggilan dari isteri yang baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan doktor. Adikku menyatakan ringkas…

“Kak Yana dah kena tolak ke labor room, doktor dah pecahkan ketuban dan jalan dah bukak 4cm”

Degup jantung yang sedari tadi sememangnya laju, bertmbah laju. Aku cuak. Suspen. Berdebar. Segala perasaan bercampur baur. Aku tak berkata panjang.

“Ame, kol mama dan ayah, cakap kak yana dah masuk labor room dan bila-bila masa sahaja boleh melahirkan baby”

“Ok”…Ame jawab ringkas.

– – – – – – – – – -PPPfffttttttttt – – – – – – – – –

Aku tiba di labor room jam 8:30 malam. Ibu dan bapaku juga begitu, difahamkan mereka sudah pun tiba di Highway Grand Saga ketika mendapat makluman dari Ame dan terpaksa berpatah balik untuk ke PPUKIM.. Mereka semua sedang menanti bagi menyambut kelahiran cucu sulung bagi mereka. Oleh kerana ibu dan ayahku agak keletihan aku mengesyorkan agar mereka semua pergi ke surau untuk berehat dan bersolat bagi mendoakan kesejahteraan. Tidak lama kemudian mereka semua ke surau bersama adik beradikku yang lain. Aku pula kembali labor room bagi menemani isteriku yang sedang berjuang fisabillilah pada ketika itu.

Aku sempat bertanya kepada doktor di situ, kebetulan beliau merupakan doktor pelatih di situ. Katanya isteri dijangkakan bersalin pada jam 2 pagi memandangkan bukaan pada ketika itu baru 4cm dan dengan mengambil setiap 1cm bukaan dibuka pada setiap 1 jam. Aku mengangguk tanda paham dan meminta sedikit nasihat  dari beliau.

Katanya…Bersabarlah, ini semua dugaan dan banyakkan berdoa.

Aku berdoa dan kadang kala aku mengajar isteriku berdoa. Aku melarang isterikua dari menjerit-jerit tak tentu pasal kerana khuatir hilang tenaga dan hilang fokus. Lebih baik diamalkan bacaan-bacaan ayat suci Quran atau paling tidakpun menyebut nama-nama Allah. Aku juga memotivasikan isteri agar lebih kuat dari segi mental dan fizikal. Jika dilihat keadaan isteri pada ketika itu sungguh menyeksakan. Tidak senang duduk dibuatnya. Sakit sangat katanya. Akibat dari itu, doktor memberitahu kami supaya mengambil Epidemin iaitu sejenis ubat ahan sakit/bius bagi mengurangkan kesakitan. Kami bersetuju dan Alhamdulliah isteri kembali tenang walaupun masih sakit tak terkata. Mengerang, merintih sambil menyebut nama Allah….bagaikan nyawa pada ketika itu betul-betul seperti hendak ditarik keluar  dari badan. Keadaan seperti ini berlarutan hinggalah jam 11:00 malam.

– – – – – – – – – PPPfftttttttttttt – – – – – – – –

Jam 11:30 malam. Isteri semakin sakit dan bukaan sudah mencapai 10cm dan lebih awal dari jangkaan doktor. Kesemua jururawat sudahpun bersedia dan segala perlataan sudahpun diletakkan di tempat yang sepaptutnya.Isteri menyatakan bahawa perutnya sakit seakan-akan mahu buang air besar dan seoalh-olah ada benda yang menolak-nolak di dalam perutnya. Suara mengerangnya semakin kuat dan keadaan di dalam labor room itu amat tegang. Suara isteri, suara doktor dan suara jururrawat masing-masing bersaing di antara satu sama lain.

“Push!Push! Push!”

“Tolak kuat lagi puan, dah nampak kepala!”

“Lagi sikit, lagi sikit…pushhhh!!!!

Aku hanya mampu berdoa dan sekali sekala memberi kata-kata semangat pada isteri. Kelihatan sedikit demi sedikit badang bayi keluar, kepalanya, lehernya, bahunya, badannya dan akhir sekali kekinya. Di kala suasana yang begitu tegang itu tiba-tiba satu suara kecil lagi comel memecah suasana tegang itu. Badan kecil yang masih merah itu mengeluarkan satu suara yang sensasi lagi mengujakan serta lahirkan momen-momen indah bagi aku yang selama ini dalam keadaan tegang semasa di dalam labor room.

Alhamdullilah. Segalanya sempurna. Bayi lelaki seberat 3.24kg dilahirkan. Di azan, di igamat. Tiada sebarang kecacatan serta normal. Isteri dan anakku di hantar kembali ke wad pada awal pagi sekitar jam 3 pagi dan aku pulang ke rumah di Semenyih bersama keluargaku pada jam 4 pagi dan barulah pada ketika itu akau lapar.

Singgah KFC, tapau 5 ketul ayam dan bantai sampai licin!

Inilah wajah anakku setelah enam hari di dunia dah pandai senyum dah!

p/s – Terima kasih mama dan ayah serta adik beradik yang dari awal lagi menemani kami berdua di hospital sejak hari Rabu, Sabtu, Ahad dan hingga hari kelahiran. Terima kasih kepada emak dan abang-abang yang lain kerana mengutus kata-kata semangat dan doa. Terima kasih tidak terhingga!


MUAMMAR GADDAFI DIBUNUH, APA SELEPAS INI?

Penjajah Amerika dan sekutunya seperti sudah merayakan kemenangan yang mutlak setelah membunuh Mumammar Gadafi di Sirte pada hari ini dengan menggunakan proksinya Majlis Peralihan Nasional (baca; NTC). Makanya sekonyong-konyonglah insan-insan dan warga negeri Libya keluar meraikan pembunuhan pemimpin mereka itu. Bunga ditabur, gendang di palu, lagu-lagu dinyanyi, semua penduduk menyambut kesukaann bagaikan pesta keramaian. Masing-masing gembira, masing-masing hepi tak terkata!

Peliknya, mereka ini semua (baca; penduduk arab Libya/warga Libya) tidak tahukah yang ke semua prasarana sudah musnah dibom. Segala kemudahan hancur berkecai akibat peperangan saudara. Tiada apa-apa bagai padang jarak padang tekukur! Mahu hidup amankah itu? Lebih tenangkah begitu? Lebih majukah ekonomi selepas ini? Lihatlah sekeling kamu wahai Libyanese! semuanya tiada apa-apa…jadi kenapa kamu masih bersuka-suka? Meraikan kemenangn yang sia-sia walhal segalanya sudah hancur berkecai. Bersorak sahaja lebih, tapi maruah dan kampung halaman tergadai.

Sudah lupa dengan Afganistan (baca; Taliban diperangi oleh Pakatan Utara yang juga proksi Amerika)? Tidak ingat pada Iraq (baca; Saddam Hussein di bunuh di tali gantung)? Lebih majukah mereka selepas pemerintah yang sedia ada digulingkan melalui peperangan? Aku rasa makin teruk.

Apapun selamat maju jaya warga Libya (baca; yang suka sangat bersorak di jalanan menyambut dan merai kemenangan) dan kita lihatlah apa yang berlaku selepas ini.

p/s – Kenapa warga arab mudah dicucuk jarum ya?? Lemah!


AMALAN SUNAT MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI

Aku kini sedang dalam penantian menyambut kelahiran anak sulung yang bila-bila masa sahaja akan menerjah keluar ke alam dunia ini. Semalam aku diduga dan diuji dengan dugaan pertama sebelum menempuh alam bapa. Isteri mengadu sakit perut seperti hendak bersalin (baca; contraction) yang berkala (baca; selang setengah jam) dan ketika aku mendapat berita itu aku berada di pejabat. Kecut perut bukan kepalang aku dibuatnya, serta merta tubuh bermandi peluh, dan jantung berdegup laju lagi deras. Setelah mendapat pelepasan dari pegawai atasan aku terus memecut City-ku dengan laju untuk pulang segera ke rumah bagi menjemput isteriku dan berbekalkan 7-speed mood gear, aku meredah jalan raya dan menafikan segala undang-undang yang ada. Aku tiba di rumah tidak lama selepas itu dan terus membawa isteri ke hospital di tempatku bekerja (baca; Cheras).

Isteri yang sedari tadi menahan kesakitan telah dibawa berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan bahawa tiada apa-apa yang buruk berlaku malahan isteri boleh pulang ke rumah kerana contraction sudah berkurang malahan ruang bukaan untuk bayi keluar juga masih tidak terbuka. Isteri pula beransur-ansur pulih dan kembali ok walaupun kadang-kala mengeluh sakit. Aku di hospital telah ditemani oleh kesemua ahli keluargaku kerana mereka beranggapan bahawa isteri bakal melahirkan bayi dalam masa terdekat (baca; di kala hari itu juga) oleh itu ibu dan bapa ku yang mendapat tahu akan hal itu terus bergegas ke hospital tersebut.

– – – – – – – – – -PPPffftttttttttttt – – – – – – – – –

Bermacam-macam persediaan banyak dilakukan oleh bakal ibu dan bapa bersempena menyambut kelahiran bayi mereka dari segi persediaan material (baca; barang-barang bayi dan lain-lain), tapi tahukah kamu, untuk mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa agar melakukan beberapa amalan dari awal peringkat mengandung. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:

1. Azan dan iqamat-HENDAKLAH segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la )

2. Membelah mulut (tahnik)-TAHNIK mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.

3. Penyusuan-SUSU ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga merupakan makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan pemikiran dan sikap yang baik (soleh) ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.

4. Memberi nama-TANGGUNGJAWAB ibu bapa juga adalah memberi nama dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

5. Bercukur-MENGGUNTING rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.

6. Aqiqah-HUKUM Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke

7. Berkhatan BERKHATAN termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” (Hadis Riwayat At- Tabrani) Ketika anak-anak masih kecil berikanlah didikan menurut syariat Islam. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran). Peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar.

8. Mengucapkan selamat dan kesyukuran kepada si ibu atas kurniaan Allah S.W.T terhadap rezeki (baca; bayi) yang diberi.

p/s- Masih menanti dengan penuh kesabaran. Mudah-mudahan dikurnia seorang putera yang baik sifat dan rupa parasnya. Kuat agama ISLAMnya. Dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah serta mudah tersenyum dan dijauhi sifat mazmumah. Mendengar kata kedua orang tuanya. Aminnn…


BOSAN…BOSAN

Pantas sungguh masa berlari, sedar-sedar sahaja sudah petang. Iyalah bak kata orang tua-tua…dunia akhir zaman memang begitu, segala-galanya berjalan pantas, semuanya mahu cepat dan semuanya mahu “right now”. Sudah hidup di zaman serba laju dan moden makanya kita perlulah mengikut rentak kehidupan jika tidak menurut segala kemahuan kehidupan yang serba laju bagaikan roket begini sudah pasti kita akan tertinggal di belakang dan akhirnya hilang ditenggelami masa!

Kadang-kadang kehidupan yang sebegini rupa menjadikan manusia lekas bosan dan leka. Leka ditenggelami permainan dunia yang hanya sementara dan bosan kerna saban hari melakukan kerja-kerja yang sama dan tidak kunjung habis hingga ke akhirnya!

Aku juga orang yang lekas bosan tapi sebosan manapun, aku masih mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja yang ku lakukan. Bak kata orang lama-lama “alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan” . Aku lekas bosan dengan layout blogku dan oleh kerana itu sudah beberapa kali tema dan latar belakang blog ini bertukar dalam sebulan. Aku juga lekas bosan dengan kata-kata orang politik yang “cakap…tak serupa bikin yang hanya tahu berjanji tapi tidak pernah tahu erti menunaikan tanggungjawabnya. Aku juga lekas bosan dengan sikap budak-budak melayu islam zaman sekarang yang mudah sangat terikut-ikut budaya luar lalu melupakan jati diri mereka sendiri. Aku bosan dalam banyak perkara dan jika aku menulis perkara kebosanan ini sudah pasti kamu-kamu semua akan turut bosan untuk membaca entri ini hingga tamat.

Ada satu perkara yang tak akan buat aku bosan. Membaca. Kini aku sudah pun tamat membaca salah satu dari buku yang telah aku nyatakan pada entri yang lepas buku tersebut adalah Memoir Rashid Maidin. Elok buku ini untuk dibaca terutamanya golongan muda kerana di dalamnya terkandung pelbagai cerita yang tidak pernah diberitahu dan dipelajari di dalam subjek sejarah ketika di sekolah dulu!

Sudah, tutup cerita mengenai bosan. Tukar topik mengenai Sukan SEA pula. Sukan SEA 2011 kali ini dijangkakan berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 7 November 2011 hingga 22 November 2011 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dan dirasmikan oleh Presiden Indonesia iaitu Susilo Bambang Yudhiyono. Menurut dari pembacaanku sebanyak 350 bilion Rupiah (baca; Bajet 2010) dan 2.1 trilion Rupiah (baca; Bajet 2011) telah diperuntukkan oleh Kerajaan Indonesia untuk membiyai sukan  SEA kali ini. Acara yang berprestij pada peringkat ASEAN kali ini pastinya bakal menarik perhatian bagi sukan bola sepak kerana acara tersebut adalah yang paling diminati oleh warga ASEAN lagipun, pada temasya sukan kali ini bakal menyaksikan skuad-skuad bola sepak di ASEAN berentap untuk merebut gelaran juara di peringkat ASEAN dan adakah Malaysia mampu mempertahankan kejuaraan mereka selepas memenagi pingat emas ketika di sukan SEA yang lalu di Vietnam?

Jika kali ini Malaysia tumpas atau tidak layak ke peringkat akhir…nampaknya semakin bosanlah aku untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya, memandangkan prestasi skuad bimbingan Coach Rajagobal kini berada di tahap yang terburuk selepas tewas beberapa kali di peringkat perlawanan persahabatan antarabangsa.

p/s- Hati-hati dengan skuad Indonesia, Singapore, Thailand dan Vietnam mereka kini semakin mantap! Ahhhh…bosan!bosan!


PENANTIAN YANG MASIH DINANTIKAN

Penantianku melebihi satu minggu akhirnya berakhir. Buku-buku yang ditempah secara atas talian sudah pun tiba dan pada bila-bila masa sahaja aku bersedia untuk menelaah dan membacanya! Nampaknya bulan ini akan menjadi satu bulan yang bakal diisi dengan pembacaan buku-buku yang aku terima. Tidak banyak buku yang aku beli, cuma tiga buah sahaja iaitu:

1. Memoir Rashid Maidin; Daripada Perjuangan Bersenjata ke Perdamaian (Mengisahkan perjuangan Rashid Maidin di dalam perjuangan menuntu kemerdekaan dari tangan British melalui Tentera Pembebasan Nasional)

2.Memoir Ibrahim Chik; Dari Api ke Rejimen Ke-10 (Ianya menceritakan perjalanan hidup Ibrahim Chik berjuang menuntut pembebasan negara melalui gerakan-gerakan radikal kiri hingga menyertai Rejimen Ke-10 PKM dengan mengangkat perjuangan bersenjata)

3.Anarki Di Kuala Lumpur (Kisah hidup ahli muzik rock-punk aka rockstar di Kuala Lumpur sebuah kota yang penuh cabaran dan dugaan. Beliau bergelumang dengan segala kancah sosial, maksiat, dadah dan arak tenggelam dalam syurga dunia dan hanyut kelemasan…dan akhirnya membawa mudarat kepada dirinya sendiri)

Buku-buku ini sudah pun aku ceritakan pada entri sebelum ini, tapi jika mahu lebih lanjut mungkin kamu boleh google kan sahaja untuk mendapatkan lebih info. Pada aku dengan membaca buku-buku ini kita bukan sahaja dapat menilai dari sudut yang berbeza malah kita juga akan dapat lebih memahami sesuatu kisah sejarah mengikut jalan cerita yang dibawa oleh individu tersebut terutamanya buku nombor 1 dan 2.

Penantian aku bukan terhenti sebegitu sahaja. Aku kini sedang menanti kelahiran anak sulungku yang pada bila-bila masa sahaja boleh dilahirkan jika dikehendaki oleh-Nya! Kini isteriku sudah pun mengambil langkah bersiap-siaga untuk mengerah kudratnya apabila tiba waktunya kelak. Inshaallah aku bakal dikurniakan seorang cahaya mata di akhir bulan ini (baca;due date 24/10/2011) dan Inshallah juga bayi ini adalah bayi lelaki. Syukur ke hadrat ilahi. Mudah-mudahan segala-galanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan oleh-Nya.

p/s – Menanti dan terus menanti, mudah-mudahan ianya memberi pulangan yang baik. Amin…


JOBS IKON TEKNOLOGI BARU

Shoulder-high portrait of smiling man in his fifties wearing a black turtle neck shirt with a day-old beard holding a phone facing the viewer in his left hand

Steve Jobs; Memegang iPhone 4 ketika di Worldwide Developers Conferrence

TANGGAL 5 Oktober menjadi tarikh kepada kelahiran sebuah lagi gajet terbaru kebanggaan Apple apabila telefon pintar iPhone 4S dilancarkan di ibu pejabat firma Apple, Amerika Syarikat (AS). Namun, ironinya tarikh itu akan diingati bukan sahaja oleh warga Apple bahkan seantereo dunia, apabila ia adalah hari terakhir buat pengasas syarikat gergasi itu Steve Jobs. Lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menghembus nafas terakhir ekoran sakit kanser pankreas yang dihadapinya.

Jobs yang menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta mengalami masalah kesihatan yang semakin merosot sejak bulan Februari tahun ini. Dia bukan saja mengalami keguguran rambut yang melampau kesan daripada rawatan kemoterapi malah, berat badannya dikatakan merosot dari 79.37 kilogram (kg) kepada 59kg. Sebelum ini, Jobs juga pernah menjalani pembedahan hati pada dua tahun lalu selain membuang tumor pada tahun 2003.

“Dunia telah kehilangan insan yang sarat dengan visi dan kreativiti,” luah Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataan penghormatan buat mendiang Jobs. Impian menjadi sami RANGKAIAN kedai Apple Inc. di seluruh dunia dipenuhi foto dan jambangan bunga daripada orang ramai sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Jobs. Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun dia tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya, sebaliknya dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS. Ia sebuah kawasan yang dikelilingi ladang aprikot. Pencinta seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di California, AS dan bersekolah di Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama.

Kemudian, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon. Namun, tempoh pengajiannya di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester sahaja kerana Jobs mengambil keputusan mengembara ke India bagi mendalami ilmu agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke. Pada waktu itu, usia Jobs baru saja mencecah 19 tahun. Dalam memastikan proses kerohanian itu berjalan dengan sempurna, Jobs sanggup mengikuti amalan ritual keagamaan tersebut seperti mempraktikkan diet ketat dengan berpuasa dan menikmati makan buah saja. “Secara tidak langsung, minat mendalam terhadap agama ini telah mendorong saya untuk menjadi sami di biara Jepun berbanding melibatkan diri dalam dunia komputer. “Tetapi, guru saya, Kobun Chino telah menyedarkan saya bahawa anutan ini masih boleh diteruskan walaupun pada masa yang sama saya mengusahakan bisnes komputer,” jelas Jobs yang kembali ke Silicon Valley pada tahun 1974 dengan membawa agama Buddha.

Penglibatan dunia komputer JOBS (kiri) dan Wozniak (kanan) sewaktu memperkenalkan salah satu produk ciptaan mereka pada tahun 1984. Menyusuri penglibatan Jobs dalam dunia komputer dan gajet, segala-galanya berpunca selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Persahabatan yang terjalin itu telah membawa Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa panjang. Hasil perbincangan yang dilakukan maka mereka berdua sepakat melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976. “Nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal perniagaan sebanyak AS$1,300 (RM3,963) iaitu hasil daripada menjual microbus iaitu salah satu komponen komputer, manakala Woz menjual kalkulator.

Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666 (RM2,026). Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980. Namun, jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama. JOBS (kanan) bersama Stephen Wozniak membuka syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976. Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT pada tahun 1986. “Firma NeXT lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer. Kami turut memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.

Sebahagian besar pakar IT dan penganalisis ekonomi di serata negara menyifatkan jenama Apple Inc., terus kukuh sehingga kini meskipun hampir bankrap pada tahun 1990, disebabkan kebijaksanaan dan etika kerja yang dipamerkan Jobs. Perkara itu diakui oleh pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., Azli Paat, yang menyatakan bapa kepada empat cahaya mata itu seorang yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan tinggi. Jelas Azli, Jobs bijak mencipta telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad, yang ideal dengan perkembangan teknologi serta trend semasa. Fenomena iPhone JOBS merupakan tonggak utama kejayaan Apple Inc. dengan menghasilkan telefon pintar dan gajet berteknologi canggih. Buktinya, kemunculan telefon pintar iPhone pada empat tahun lalu telah mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, permintaan dan pembelian terhadap telefon itu amat menggalakkan sehingga mengatasi jualan produk telefon lain. “Walaupun bukan mudah untuk mencipta telefon pintar ini tetapi, Apple sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

Prinsip utama sebelum mencipta produk saya elak bertanyakan kehendak pengguna sebaliknya, lebih cenderung menghasilkan sesuatu bermanfaat untuk masa depan,” terang Jobs dalam satu temu bual. Populariti penjualan iPhone dan iPad sekali gus menyenaraikan Apple Inc., sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion). Malah, penganalisis Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu setiap tahun penjualan iPhone khususnya memperlihatkan peningkatan yang drastik. Biarpun telah meletakkan jawatan CEO Apple, pada bulan Ogos lalu tetapi, Jobs masih kekal sebagai pengerusi di syarikat berkenaan. Ini disebabkan khidmat nasihat dan idea kreatif Jobs tetap diperlukan bagi memastikan keluaran produk terbaharu Apple, berkualiti dan terbaik. Namun, kelmarin bukan sahaja Apple malah, seluruh dunia merasai kehilangan seorang genius yang juga dianggap ikon teknologi era baru.

Sumber artikel dari; Kosmo oleh Izyan Liyana Mohd Darif

p/s –  Lelaki dan gadget canggih memang tidak dapat dipisahkan!


MALAYSIA TUMPAS LAGI…KALI INI DENGAN AUSTRALIA

Harimau kecundang di tangan Kangaroo. Tumpas 0-5 bukanlah satu angka yang menarik dan nampaknya prestasi pasukan bola sepak Malaysia di pentas dunia semakin merudum akhir-akhir ini. Aku tidak mahu mengulas lanjut akan perlawanan tersebut kerana aku amat kecewa dan terkilan dengan permainan hambar yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita. Sudahlah aksi perlawanan bermula pada jam 5 petang (baca; waktu keluar pejabat) dan aku terpaksa memandu agak laju tanpa menghiraukan undang-undang jalanraya semata-mata untuk menonton perlawanan tersebut di rumah. Semasa di dalam perjalanan aku memperolehi update dari radio mengatakan Malaysia sedang dibolosi satu gol dan pada ketika itu aku memikirkan, iyanya baru sahaj bermula. Tapi…

Tiba sahaja di rumah, terus sahaja meluru ke televisyen dan bukak astro saluran 801 (baca; Saluran Arena). Ketika itu, perlawanan persahabatan tersebut sudah pun masuk separuh masa ke dua dan dibelasah teruk 0-4 oleh Aussie! WTF! Sungguh sayur!

Aku tidak pernah berhenti berharap agar satu hari nanti skuad bola sepak negara menjadi satu kuasa yang disegani di rantau sebelah sini (baca; Asia Tenggara, Asia dan Timur Tengah). Mungkin lebih banyak perlu diperbaiki dari segi taktikal oleh Coach Rajagobal. Kita tidak perlu menoleh ke barat. Persetankan itu semua! Lebih baik kita belajar dari Jepun, Korea Selatan atau Korea Utara atau mungkin China! Mereka semua gergasi Asia dan paling tidak pun mereka mempunyai bentuk badan seperti pemain kita. Tapi bagaimana mereka boleh maju dalam sukan ini? apa teknik yang mereka gunakan bagi menjadikan pemain-pemain mereka amat pantas bermain? Pemakanankah? Suntikan Steroidkah? Memohon hajat dari Dragon Ball kah? Bagaimana pula dengan corak taktikal mereka? Bagaimana pula dengan pengurusan pemain dan pembangunan bola sepak mereka? Lihat pula pada Liga-J di Jepun, setandingkah dengan Liga-M di Malaysia? Tidakkah kita mahu untuk mengambil sedikit cara-cara pengurusan bola sepak mereka? Nah! inilah yang perlu kita cungkil! Lihat sahaja corak permainan Jepun ketika menentang skuad Olimpik Malaysia tempoh hari. Pantas, laju, cekap, taktikal yang baik, tempo permainan yang laju malah skill individu yang mantap!

Bangunlah skuad Malaysia. Berikanlah sesuatu impak atau pulangan yang berbaloi kepada penyokong-penyokongmu! Lihat sahaja kekuatan penyokong kita di Australia semalam yang tidak henti-henti menyokong dari mula permainan hingga ke akhirnya! Tidakkan kamu, selaku pemain-pemain bola sepak Malaysia mahu mereka semua (baca; penyokong-penyokong) pulang dalam keadaan hampa? Pastinya tidak bukan! Jadi, Bangunlah!!! Sudah tiba masanya kita pandang ke timur kembali!

p/s- Aku akui Malaysia kini di rangking yang rendah berbanding Australia (baca; MAS di 147 dunia, Aussie di 19 dunia). Tetapi jika kita punya kelebihan taktikal dan menggunakan kekurangan (baca; fizikal yang jauh lebih kecil dari pemain Aussie) sebagai kelebihan kita, aku yakin…Aussie juga boleh disayurkan! Masak tumis ikan masin lagi! Apapun, aku tetap kipas-susah-mati skuad Malaysia!


BAJET 2012~INTIPATI DAN SEDIKIT ULASAN….

Ulasan adalah di bahagian bawah sekali. Apa yang dinyatakan berikutnya adalah intipati atau ringkasan bersempena Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

– – – – – – – – – – -PPPPfftttttttttttt – – – – – – – – – – –

Bajet 2012 yang sedang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Defisit tahun lalu adalah sebanyak 5.4 peratus. Bajet kali ini bertemakan Dasar Transformasi Negara dengan lima fokus utama iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Ini merupakan imbuhan tunai yang dibentangkan oleh PM semasa sesi pembentangan Bajet 2012 di Parlimen.

-Skim saraan baru yang dikenali sebagai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan gaji satu lapis bakal menawarkan kenaikan tahunan RM80 hingga RM300 mulai tahun depan

-Kakitangan kerajaan akan mendapat tambahan bonus setengah bulan gaji manakala pesara kerajaan akan menerima bayaran bantuan RM500 yang dibayar pada bulan Disember 2012

-Bantuan persekolahan RM100 akan diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara mulai tahun depan

-Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

-Warga emas berusia 60 tahun ke atas dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel

-Kerajaan akan membina lebih banyak hospital dan menaik taraf hospital sedia ada di samping menambahbaikan 81 klinik kesihatan luar bandar sedia ada serta membuka 50 klinik 1Malaysia

-Buat pertama kalinya, kerajaan akan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan mulai tahun depan

-Bagi mengenang jasa polis khas dan polis tambahan pada zaman darurat, kerajaan akan memberi insentif RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis, duda dan balu

-Mulai tahun depan, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred

-Umur persaraan wajib penjawat awam akan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan mereka

-Peneroka Felda akan terima “durian runtuh” yang mana jumlahnya jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan

-Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013

-Seramai 600,000 pesara kerajaan akan mendapat kenaikan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun

– – – – – – – – – – – -PPPPfffttttttttttttttt – – – – – – – – – – – –

Lain-lain peruntukan yang dinyatakan.

Polis-RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.
Tentera-RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras – Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
Gula – bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak – harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
Tepung – harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama-Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia-Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isu rumah. Pelabur boleh mohon -RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah-Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat. Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah
usang boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian-Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke
atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.

Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian-Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan-Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur. Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan – KWSP-Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN-Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Meringankan Kos Sara Hidup-Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Rancangan Tebatan Banjir-Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

Elaun baru Ahli Parlimen-Ahli Parlimen akan diberi elaun baru bermula 1 Januari 2012 selepas jumlahnya dipersetujui semua pihak.

Sumber dari, Ministry of Finance Malaysia,

– – – – – – – – – -PPPPffffttttttttttt – – – – – – – – –

Ini sedikit komen dan ulasan dari aku. Komen yang aku anggap dari golongan akar umbi macam aku dan macam kamu-kamu semua yang tergolong dalam golongan miskin bandar.

Banyak insentif yang dinyatakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat Malaysia. Ianya umpama gula-gula yang jatuh dari langit dan jatuh pula di tengah taman permainan kanak-kanak! Jatuhan gula-gula yang penuh kenikmatan itu adakalanya disukai dan ada pula yang gembira juga ada yang mencuka! Bila dilihat pada ulasan-ulasan di televisyen dan media arus perdana banyak yang menyatakan ianya adalah “bajet untuk rakyat”, “membela rakyat”, “berkebajikan”  dan “berkeperihatinan”dan sebagainya dan kadangkala ianya umpama retorik belaka. Berdegar-degar kedengaran dan dicanang-canangkan kepada segenap lapisan rakyat dari pelbagai kaum dan pelbagai agama. Selalunya, rakyat terleka dan terlupa tentang satu persoalan yang penting, pernahkah kalian terpikir peruntukan yang berbillion itu sampaikah ke kalian semua? Memang sampai, tapi adakah kenikmatan itu dirasai secara total, atau hanya dirasai oleh sebilangan orang sahaja? Tidak berlaku ketirisankah? Adakah semua rakyat dapat mengecapi janji-janji manis tersebut?

Apa yang dibimbangkan adalah peruntukan yang sangat-sangatlah besar ini tidak sampai ke tangan rakyat dan golongan sasaran seperti yang aku nyatakan tadi, Sewajarnya, wakil rakyat dari pelbagai parti perlu duduk semeja atau ketika perbahasan mengenai bajet di Parlimen nanti dapatlah kiranya membincangkan apakah mekanisme yang diperlukan agar ketirisan tidak berlaku. Takut-takut bajet yang dicakapkan itu tidak jatuh ke tangan yang sepatutnya tetapi terus masuk ke poket kroni-kroni sendiri pula! Harap-harap ianya tidak berlaku.Mudah-mudahan tata-kelolaan yang baik dapat diterapkan kepada gensi-agensi pelaksana dibawah kerajaan agar ianya dapat dinikmati oleh semua golongan rakyat yang pelbagai ini memandangkan pada ketika ini rakyat sedang dibelenggu dan dihimpit kos hidup yang tinggi dan ada juga yang merana dalam kesempitan hidup.

Kali ini ada sedikit kelainan pada pembentangan bajet dan ianya tidak seperti tahun lepas kerana tiada peruntukan khas untuk pembangunan Projek Permata Pintar Negara yang dipelopori oleh isteri Perdana Menteri, andaian aku mungkin peruntukan pada bejet yang diberikan pada tahun lepas mungkin mencukupi untuk pembangunan dan pengurusan projek tersebut beberapa tahun akan datang atau mungkin ada “hidden budget” yang tidak dinyatakan bagi meneruskan kelangsungan projek tersebut (baca; ini hanya jangkaan sahaja). Telahan aku juga dari pembentangan bajet tahun lepas di mana ada dinyatakan bagi membiayai peruntukan untuk projek tersebut ianya telah mengundang banyak kritikan daripada pelbagai pihak yang tidak perlulah dinyatakan di sini.

Golongan penjawat awam pula sewajarnya bersyukur kerana mereka juga diberikan insentif seperti yang aku nyatakan di atas tadi. Bak kata Presiden CUPECS, beliau tidak menyangka bahawa kerajaan telah menunaikan lebih 80% permintaan yang pernah diangkat untuk kelulusan oleh CUEPECS kepada kerajaan sebelum ini. Tapi, bagaimana pula dengan kakitangan swasta? Tiada insentif kepada mereka. Tapi tidak mengapalah kot, aku berandaian bahawa kakitangan swasta terutamanya bagi kakitangan sektor perbankan, pembinaan (lebuhraya bertol dan lain-lain), pemprosesan serta syarikat yang besar-besar sememangnya berkemampuan untuk memberi bonus lebih tiga bulan gaji kepada kakitangan mereka.

Selain pengumuman baik kepada 1.2 juta penjawat awam, mereka juga bakal menggunapakai satu skim baru yang dinamakan SBPA bagi menggantikan SSM kini. SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. Akan tetapi aku sedikit tidak puas hati apabila mendengar kenaikan had umur berpencen dari 58 tahun kepada 60 tahun seperti yang diumumkan oleh DS Najib. Apa yang dibimbangkan adalah bagaimana para graduan yang kini semakin berlambak di pasaran tidak berpeluang untuk memasuki perkhidmatan di sektor awam kerana masih ramai pegawai-pegawai kanan yang masih tidak berpencen. Justru, bagaimana pegawai-pegawai bawahan dapat “naik” ke gred seterusnya/naik pangkat memandangkan orang atasnya masih berada di tampuk pemerintahan. Sudahlah ramai di luar sana ramai yang mendapat pekerjaan di dalam jabatan kerajaan atau lain-lain badan berkanun akan tetapi rata-ratanya berstatus kontrak atau bertaraf pekerja khidmat singkat. Bila ditanya bila boleh diserap, jawapan yang biasa boleh didengar…”Tunggulah bila ada vote tetap”. Jadi, sampai bila?

Walaupun telah dijanjikan oleh kerajaan bahawa kenaikan had umur berpencen ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru akan tetapi adakah peluang pekerjaan yang diwujudkan dari sektor awam itu berstatus tetap atau sebaliknya dan adakah dari sektor swasta menjanjikan peluang pekerjaan yang setimpal dengan taraf pendidikan? Walaunpun secara hubungkaitnya kenaikkan had umur berpencen adalah kerana taraf kesihatan di Malaysia semakin baik iaitu hayat semakin panjang, tidak bermakna juga bagi golongan muda yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Pendapat aku, memang golongan senior ditagih atas kapasiti pengalaman mereka serta pendapat mereka akann tetapi adakah tenaga mereka diperlukan hingga umur ke 60 tahun? Sewajarnya golongan-golongan ini, boleh digemblengkan melalui penubuhan badan-badan bukan kerajaan yang diterajui oleh mereka sendiri dan dijadikan sebagai penggerak dan pemacu atau sebagai “bank idea” sekiranya idea dan khidmat mereka diperlukan oleh agensi di mana mereka berkhidmat dahulu, oleh itu tidak perlulah khidmat mereka diperlukan lama-lama berilah peluang kepada orang muda pula untuk menunjukkan kebolehan bagi memajukan negara. Lihat sahaja askar, adakah khidmat mereka ditagih hingga pada umur 60 tahun? Mereka yang sudah berpencen dari tentera digerakkan pula melalui Pertubuhan Bekas Tentera dan sebagainya dan sekiranya diperlukan oleh negara pada bila-bila masa sahaja mereka boleh digerakkan untuk memikul senjata!

Dari segi pengagihan subsidi kepada bahan makanan yang melibatkan peruntukan sebanyak 2.3 bilion yang melibakan beras, gula, minyak dan tepung. Ianya mungkin satu langkah yang baik kepada rakyat akan tetapi dari pemerhatian, peruntukan ini akan memberi banyak kelebihan kepada para pengusaha restauran dan tauke kedai makan kerana bahan-bahan asas bagi pengoperasian kedai mereka adalah jauh lebih murah. Cuma di dalam benak minda aku, adakah selepas ini makanan siap dimasak dijual pada harga yang murah dan berpatutan atau harganya masih sama seperti sediakala kini. Bagi mengurangkan bebanan rakyat satu penguatkasaan perlu diwujudkan bagi mengawal harga makanan kerana pada ketika ini harga makanan yang dijual kadang-kala tidak masuh akal langsung! Pengawasan dan penguatkuasaan adalah penting kerana ini juga dapat membantu golongan akar umbi terutamanya rakyat yang berpendapatan rendah dapat menikmati juadah yang dijual pada harga yang munasabah memandangkan segala-gala bahan asas telah diberi subsidi tambahan pula dengan kenaikkan gaji kakitangan awam yang juga mungkin menarik perhatian peniaga-peniaga untuk memanipulasi keadaan semasa dengan menaikkan harga barangan yang dijual.

Cuma, kenapa di dalam pembentangan itu tidak disebut tentang penetapan had gaji minimum seperti yang kita dengar sebelum ini. Tiada juga kedengaran bagi pengenaan subsidi yang lebih baik kepada petrol agar ianya lebih murah untuk digunapakai oleh rakyat agar tidak terbeban…….

Apapun semoga rakyat hidup aman damai dan wawasan untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi tercapai.

p/s – Uruskanlah peruntukan ini dengan tata-kelolaan yang baik ok! Jangan masuk poket ampa soma pulak! Errr..sebelum ini tak pernah pulak terdengar kerajaan menggunapakai perkataan seperti “berkebajikan” dan sebagainya kerana perkataan seumpama ini kerap dipukul canangoleh Opposition dan sewajarnya golongan berpencen iaitu polis, tentera dan balu mereka berterima kasih kepada YB Mat Sabu kerana memainkan isu “Mat Indera” sebelum  ini. Manakan tidak, mereka semua turut menerima tempiasnya dengan menerima habuan sebanyak RM3,000.00!!! Pembentangan bajet tahun lalu adaka? Tidak!


ULASAN SELANGOR LAWAN SINGAPURA PIALA SULTAN SELANGOR 2011

Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura berkongsi mata di separuh masa yang pertama dengan 0-0 malah rentak permainan agak laju dan agak seimbang di kedua-dua pihak. Boleh dikatakan untuk separuh masa yang pertama penjaga gol Selangor Jeevanathan boleh dianggap sebagai hero kerana sekurang-kurangnya berjaya menyekat tiga percubaan merbahaya oleh Singapura.

Gerakan-gerakan oleh Singapura dilihat agak tajam kerana beberapa kali berjaya membuat percubaan yang tepat dan banyak kali melepasi bahagian pertahanan Selangor. Kehadiran Safee Sali dan dua lagi awang import Selangor (baca; Jesper dan Jason) nampaknya tidak berapa banyak membantu kerana mereka agak tenggelam dan beberapa percubaan serta gerakan yang dilakukan tidak berapa menarik, tajam dan tepat. Jesper sebagai pemain sayap kiri bakal digunakan untuk menyerang kubu Singapura manakala Jason akan bertindak sebagai pemain pertahanan tengah untuk mengekang kemaraan (penyerang Singapura), Aleksandar Duric.

Walaubagaimanapun dengan kehadiran Safee Sali  dan juga awang import ini sedikit sebanyak menyuntik semangat yang tinggi serta pada masa yang sama meningkatkan mutu dan corak permainan di kalangan pemain-pemain Selangor. Corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain Selangor nampaknya begitu berbeza jika dibandingkan ketika beraksi di dalam Liga M malah dengan mengikat 0-0 di separuh masa pertama terhadap Singapura adalah satu perkara yang membanggakan.

Pada masa separuh masa kedua pula, Selangor dilihat telah mengubah corak permainan apabila dilihat pada awal-awal babak Selangor banyak membuat serangan secara bertali arus dengan gerakan-gerakan yang dibuat oleh Amirul Hadi Zainal. Banyak peluang dan ruang telah dilepaskan begitu sahaja oleh penyerang-penyerang Selangor (baca; Safee Sali dan Amri Yahyah). Hasil gerakan-gerakan menyerang itu sedikit sebanyak berjaya memporak-perandakan pertahanan Singapura. Shafiq Rahim pula dilihat masih tercari-cari akan rentak permainan yang terbaik beliau kerana apabila dilihat penyudah-penyudah yang dilakukan oleh beliau tidak ke mana (baca; buang bola entah ke mana dan juga berlagak hero) dan ini sungguh jauh sekali jika dibandingkan dengan corak permainan beliau ketika beraksi untuk negara pada kempen kelayakan Piala Dunia lalu.

Walaubagaimanapun gol yang ditagih oleh Selangor bagi mengubati luka lama tidak berlaku, akan tetapi “luck” telah berjaya dikecapi oleh Singapura kerana mereka dihadiahkan dengan 1gol hasil dari “own goal” oleh pertahanan Selangor, Asrarudin. Gol yang tidak sengaja itu berlaku akibat bola yang ditepis oleh Jeevanathan terkena peha Asrarudin yang pada ketika itu berada di sebelah kiri penjuru kanan gawang gol. Rasanya dah banyak kali juga si Asrarudin ni buat “own goal”. Adeh!

Untuk rekod, Selangor memenangi piala tersebut pada 2001, 2003, 2005 dan 2008 manakala Singapura muncul juara pada tahun 2006, 2007, 2009 dan 2010.

Malam ini Selangor kalah 0-1 kepada Singapura dan selagi kali Malaysia dimalukan oleh skuad “The Lions” itu. Lebih baik hantar Veteren Selangor kasik hantam Singapura.

p/s- Aiseh, baru nak kasik ganyang Singapore. Apa sudah jadik player-player Selangor sekalian?


ULASAN PERLAWANAN VET. SELANGOR MENENTANG VET. SINGAPURA 2011

Veteren Selangor (VSe) berjaya mendapat 2 mata berbalas 1 di separuh masa pertama menentang Veteren Singapura (VSi). Perlawanan yang mengambil masa selama dua puluh minit bagi setiap separuh masa bersempena Piala Sultan Selangor 2011 ini telah mempamerkan mutu permainan di kelas yang tersendiri apabila kebanyakkan pemain yang rata-rata berumur 40an ke atas membuat banyak hantaran-hantaran pendek yang cantik.

Pada keseluruhannya pada separuh masa pertama VSi lebih banyak menguasai padang tetapi kelebihan taktikal teknik serta peluang dan ruang apabila P. Maniam dan Dollah Salleh berjaya membolosi gawang gol VSi pada minit ke-8 dan ke-13. Sebenarnya terlalu banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh VSe bagi mengondol lebih banyak gol. Di separuh masa kedua walaupun corak permainan semakin laju dan ligat, tetapi tidak banyak percubaan-percubaan tepat dilakukan oleh kedua-dua pihak dan gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-40 dan ianya digolkan oleh Dollah Salleh.

Pemain-pemain veteren walaupun tidak menampakkan kecergasan yang baik sepertimana di zaman keemasan mereka pada ketika tahun 80an dahulu tapi masih boleh untuk mempamerkan corak permainan dan skil yang baik serta mantap. Mereka lebih kool untuk mengatasi situasi genting dan merbahaya. Jadi, sewajarnya skuad muda ataupun pemain-pemain negara melihat bagaimana keazaman yang ditunjukkan oleh para veteren ini sebagai dorongan untuk mereka mengembalikan zaman kegemilangan bolasepak Malaysia yang cemerlang pada satu ketika dahulu.

Akhir perlawanan, Veteren Singapura tumpas 1-3 kepada Veteren Selangor.

p/s – Syabas para veteren! Elok juga kalau Piala Veteren diwujudkan, bukan apa sebagai suntikan semangat kepada pemain-pemain muda. Lagipun skil yang ditunjukkan masih berbisa!


PIALA SULTAN SELANGOR 2011~ MISI BAWA PULANG PIALA!

Malam ini satu perlawanan antara dua musuh tradisi akan berlangsung di Stadium Shah Alam. Perlawanan ini melibatkan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura dan juga Veteren Selangor melawan Veteren Singapura. Perlawanan ini bukan perlawanan yang biasa-biasa walaupun hanyalah “perlawanan persahabatan” kerana Selangor membawa misi yang penting bagi negeri itu sendiri dan juga negara.

Skuad Selangor dibawah kendalian K.Devan sebelum beliau melatak jawatan baru-baru ini.

Kenapa?

Pada tahun lalu Singapura telah berjaya membenam hasrat Malaysia untuk merangkul kejuaraan Piala Sultan Selangor ini dan sekaligus merampas kerjuaraan daripada Selangor. Selangor pada ketika itu telah dimalukan dengan kekalahan teruk apabila dibantai oleh skuad Singapura 0-6! Misi Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan ketiga Piala Dunia juga telah dilenyapkan oleh Singapura dan dengan kekalahan berturut-turut iaitu di digelanggan lawan dan di tempat sendiri. Oleh sebab itulah, Selangor perlu menganggap perlawanan pada malam ini bukan untuk “main-main” sahaja malahan lebih dari itu.

Tahun ini, aksi pasti semakin sengit kerana pilihan Selangor mendapat khidmat dua tonggak import iaitu bekas pemain Manchester United, Jesper Blomq- vist dan bekas pemain Liverpool, Jason McAteer. Kehadiran dua tenaga import itu bertujuan untuk merancakkan lagi saingan selain langkah Selangor untuk mengubati kekecewaan Selangor akibat kekalahan pada tahun lalu dan juga kekecewaan skuad kebangsaan kerana dinafikan kelayakkan untuk ke pusingan ke tiga Piala Dunia. Safee Sali Harimau tambatan Malaysia juga tidak terkecuali dipanggil untuk memperkukuhkan skuad kendalian P.Maniam bagi perlawanan pada malam ini. Justru, kemenangan sudah pastinya ditagih oleh warga Selangor dan rakyat Malaysia bagi menumpaskan Singapura serta membawa pulang Piala SultanSelangor kembali ke tempat asalnya.

Selangor boleh!

p/s – Misi memburu kejuaraan 33  bagi Piala Malaysia masih berjalan! Syabas!


THE GREAT BOMBARD SENJATA CANGGIH KERAJAAN ISLAM

Sejak beribu tahun dulu, manusia sering dikaitkan dengan perang, cuma ia berubah mengikut zaman, khususnya dari segi taktikal, persenjataan, jumlah korban dan puncanya.

The Great Bombard, senjata tercanggih Umat Islam pada abad ke 15. Ditakuti panglima tentera Salib kerana mampu hancurkan kapal perang musuh. Setiap kali berlaku perang tanpa mengira sebabnya, ia sentiasa membabitkan penciptaan senjata baru. Menyingkap sejarah perang Islam, sememangnya diakui tentera Muslimin adalah antara pasukan paling disegani sepanjang sejarah peperangan dunia. Usah dibangkitkan keberaniannya yang tiada tandingan kerana ganjaran mati syahid di medan perang sememang dinantikan tentera Islam. Ditambah pula dengan ketaatan menunaikan solat ketika perang, itu sudah cukup membuatkan musuh sering terpukau dan timbul rasa gerun.


Itulah senjata utama umat Islam ketika menegakkan agama Allah tetapi mereka juga terkenal dengan taktik dan strategi perang serta inovasi persenjataan yang dianggap canggih pada zamannya. Satu daripada penemuan menakjubkan yang membuktikan fakta itu ialah meriam raksasa dari zaman Turki Uthmaniah lebih dikenali dengan nama ‘The Great Bombard’ yang menggunakan ubat bedil seberat 1,600 kilogram sebagai pelurunya. Peluru The Great Bombard seberat 300 hingga 1,600 kilogram. Ilmuwan Islam menemuinya pada abad ke-12 bersama penemuan lain membuktikan perkembangan teknologi ketenteraan Islam pada zaman itu. ‘The Great Bombard’ ialah teknologi paling tersohor, hinggakan mendengar namanya saja membuatkan musuh ketakutan.

The Great Bombard diakui teknologi artileri paling maju dan paling kuat ketika itu yang digunakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniah untuk merampas semula Kota Constantinople pada 1453 daripada tangan tentera Salib. Artileri legenda yang sangat berat itu yang juga terkenal dengan nama “The Great Turkish Bombard” dan ketika perang melawan kerajaan Britain pada 1807, ia terkenal dengan nama “Dardanella Gun” kerana perang berlaku di Selat Dardanella.


Bangsa Eropah menggelarnya dengan nama “Muhammad Gun” kerana ia membuatkan jeneral perang dan tenteranya sudah boleh membayangkan bagaimana kapal perang dan kubu pertahanan mereka akan hancur berkecai jika terkena tembakan meriam raksasa itu. Meriam The Great Turkish Bombard digunakan dalam perang oleh kerajaan Turki Uthmaniah. Senjata raksasa itu bukan setakat gah dari segi saiznya, tetapi nama besar yang dilabel memang setaraf dengan kemampuannya, sekali gus membuktikan perancangan membinanya yang dirancang oleh jurutera, Munir Ali pada 1450 memang berhasil. Mempunyai saiz panjang 518 sentimeter (sm) (kaliber 8,2) dan berat 18,6 tan, senjata itu mempunyai dua bahagian iaitu laras dan selongsong di belakangnya.


Bahagian laras digunakan untuk menembak peluru yang dibuat daripada bola granit raksasa dengan berat dianggarkan antara 300 hingga 1,600 kilo, manakala bahagian selongsong pula mampu menampung tujuh bola granit raksasa (ubat bedil) atau 15 bola granit ukuran kecil pada satu-satu masa. Disebabkan saiznya yang terlalu besar, meriam itu hanya boleh melepaskan tembakan maksimum 15 kali sehari saja, namun kemampuan jarak tembakannya sangat luar biasa pada ketika itu dengan mencapai jarak 1,760 ela (satu batu atau 1.61 kilometer).

Peluru-peluru raksasa Great Bombard yang beratnya mencapai 1600 Kilogram!

Difahamkan, setiap kali tembakan dilepaskan, ia memerlukan serbuk belerang yang cukup banyak bertujuan memberikan tenaga maksimum untuk meletup dan melepaskan tembakan. The Great Bombard dibuat daripada bahan logam terbaik iaitu campuran tembaga dengan timah putih dan gangsa. Tukang besi yang membina dan menempanya juga dipilih di kalangan yang terbaik pernah hidup pada zaman itu. Apa yang membuatkan meriam itu berbeza daripada meriam lain ialah ukiran seni yang mengandungi unsur kebudayaan Islam pada zaman itu.

Kekuatan dan kemampuan membolehkan ia cukup sesuai untuk diletakkan di mana-mana saja ruang pertahanan, di darat, di pantai atau di atas kapal perang ketika digunakan untuk menyerang kubu musuh atau pertempuran di laut. Kapal perang Turki yang membawa meriam itu cuma terdiri daripada kapal jenis galleon dan monitor, setaraf dengan keupayaannya membawa meriam besar dengan tentera yang ramai. Ketika ‘Pertempuran Dardanella’, meriam itu menenggelamkan enam kapal Sir John Ducksworth kerana keupayaan melepaskan tembakan melepasi selat kecil melalui strategi menyerang jarak jauh.

The Great Bombard yang dipamerkan di Royal Armouries, Fort Nelson, England.

Pada 1866, Sultan Abdul Aziz memberikan satu daripada ‘The Great Bombard’ yang digunakan dalam Perang Dardanella kepada Ratu Victoria ketika kunjungan hormatnya ke Britain.

Royal Armouries di Fort Nelson, The British Empire

Kini, The Great Bombard atau Dardanella Gun itu boleh dilihat di Fort Nelson, Portsmouth, England dan menjadi sebahagian daripada koleksi paling berharga Angkatan Tentera Diraja Britain. Bahkan, pada zaman moden ini, namanya tetap dikenang dan cukup popular di kalangan penggemar permainan video RTS (Real Time Strategy) seperti Age of Empire dan Rise of the Nations. Ini kerana hanya pemain yang berkemampuan tinggi boleh mencapai tahap mampu memiliki senjata artileri paling ampuh pada abad ke 15 hingga 18 itu dan dianggap kejayaan terbesar jika memilikinya, setaraf dengan sejarah agungnya yang sentiasa digeruni lawan.

p/s –  Senjata milik orang ketika dulu dicipta sendiri. Kini umat islam di seluruh dunia bergantung pula pada senjata yang dicipta oleh musuh mereka. Lihat Arab Saudi, berapa banyak senjata yang mereka miliki dikeluarkan oleh USA ??

Sumber dari; http://malaysiatopbloggers.blogspot.com/


BAJET 2012~NAIK GAJI? BONUS?

7 Oktober 2011 adalah tarikh keramat bagi semua rakyat Malaysia kerana pada tarikh tersebut Perdana Menteri (PM) bakal membentangkan bajet/belanjawan bagi tahun 2012 di Parlimen yang lebih inklusif, bertumpukan rakyat, dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.  bagi mencapai negara berpendapatan tinggi  menjelang tahun 2020. Semestinya isu yang hangat diperkatakan kini adalah tentang pemberian bonus lumayan kepada kakitangan awam atau kenaikkan gaji.

Berita ini yang jika benar diimplementasikan bakal memberi berita gembira kepada lebih dari 1.3 juta kakitangan awam kerana ianya sedikit sebanyak dapat menampung kos hidup yang tinggi kini. Langkah PM ini solah-olah “meniru” kepimpinan Pak Lah pada tahun 2007 setahun sebelum pilihanraya umum ke-12 di mana beliau telah mengumumkan kenaikkan gaji sehingga 35% dan kenaikkan elaun sara hidup sehingga 100%.

Sebelum ini PM mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam yang bertujuan untukk meringankan beban rakyat bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang lalu. Langkah ini dilihat amat bertepatan dengan situasi semasa di negara kita kerana rakyat sangat dibebani dengan pelbagai kos sara hidup yang tinggi.

Jika diikutkan sejarah kenaikkan gaji dalam skim perkhidmatan awam di Malaysia ianya telah dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007. Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM selepas itu.

Banyak yang perlu diberikan penumpuan oleh pihak Kerajaan selain daripada terlalu fokus atau ghairah untuk menaikkan gaji atau memberi bonus sahaja. Apa yang diperlukan penumpuan adalah mewujudkan peluang pekerjaan dan perjawatan baru bagi ramai lepasan universiti dalam mendapatkan tempat sebagai kakitangan awam. Jika dilihat pada situasi semasa ramai di kalangan kakitangan awam lepasan universiti ini walaupun diterima bekerja dan mejawat jawatan yang pelbagai di dalam sektor awam tetapi status pekerjaan mereka adalah kontrak/khidmat singkat. Status “kontrak” ini biasanya mencerminkan “tidak selamatnya” nasib setiap kakitangan kerana mereka tidak mendapat imbuhan atau insentif yang sama dengan rakan-rakan mereka yang berstatus tetap.

Tambahan pula, kontrak adalah berdasarkan “yearly basis” iaitu diperbaharui setiap tahun dan jika ianya tidak diperbaharui bagaimana pula dengan nasib kakitangan ini sedangkan mereka semua sudah mempunyai komitmen. Tambahan pula baru-baru ini Tan Sri KSN ketika berucap pada majlis jamuan makan malam dan ramah mesra bersama ketua-ketua jabatan di kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 25 September yang lalu di Kangar, Kerajaan belum bercadang mewujudkan jawatan baru dalam perkhidmatan awam sebaliknya mengekalkan perkhidmatan kakitangan sedia ada. Justru dengan ucapan ini sewajarnya Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang berkesan bagi menyelesaikan masalah kakitangan yang berstatus kontrak ini kerana mereka juga menjalankan peranan yang sama penting dengan kakitangan awam yang berjawatan tetap.

Sejajar transformasi dan inovasi kerajaan yang ingin menyasarkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 adalah wajar trasnsformasi berkenaan tidak menganaktirikan kakitangan awam berstatus kontrak/khidmat singkat yang turut berperanan memartabatkan penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, telus, effisien dan efektif  kepada pelanggan malah ianya dapat membantu meningkatkan moral kakitangan tersebut.

p/s – Perjawatan dibekukan adik-adik. Jadi tukang sapu sahajalah! Apa pun tunggu sahajalah 7 Oktober ini! Ramai yang berkata bajet kali ini, “Bajet Pilihanraya”.