Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

BAJET 2012~INTIPATI DAN SEDIKIT ULASAN….

Ulasan adalah di bahagian bawah sekali. Apa yang dinyatakan berikutnya adalah intipati atau ringkasan bersempena Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

– – – – – – – – – – -PPPPfftttttttttttt – – – – – – – – – – –

Bajet 2012 yang sedang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Defisit tahun lalu adalah sebanyak 5.4 peratus. Bajet kali ini bertemakan Dasar Transformasi Negara dengan lima fokus utama iaitu meligat pelaburan; mengungguli modal insan; transformasi luar bandar; memperkejap perkhidmatan awam; serta meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat.

Ini merupakan imbuhan tunai yang dibentangkan oleh PM semasa sesi pembentangan Bajet 2012 di Parlimen.

-Skim saraan baru yang dikenali sebagai Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan gaji satu lapis bakal menawarkan kenaikan tahunan RM80 hingga RM300 mulai tahun depan

-Kakitangan kerajaan akan mendapat tambahan bonus setengah bulan gaji manakala pesara kerajaan akan menerima bayaran bantuan RM500 yang dibayar pada bulan Disember 2012

-Bantuan persekolahan RM100 akan diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara mulai tahun depan

-Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

-Warga emas berusia 60 tahun ke atas dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan. Mereka juga akan diberi diskaun 50 peratus tambang LRT dan Monorel

-Kerajaan akan membina lebih banyak hospital dan menaik taraf hospital sedia ada di samping menambahbaikan 81 klinik kesihatan luar bandar sedia ada serta membuka 50 klinik 1Malaysia

-Buat pertama kalinya, kerajaan akan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan mulai tahun depan

-Bagi mengenang jasa polis khas dan polis tambahan pada zaman darurat, kerajaan akan memberi insentif RM3,000 kepada setiap bekas anggota polis, duda dan balu

-Mulai tahun depan, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred

-Umur persaraan wajib penjawat awam akan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan mereka

-Peneroka Felda akan terima “durian runtuh” yang mana jumlahnya jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan

-Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi mengimport kereta hibrid serta elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013

-Seramai 600,000 pesara kerajaan akan mendapat kenaikan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun

– – – – – – – – – – – -PPPPfffttttttttttttttt – – – – – – – – – – – –

Lain-lain peruntukan yang dinyatakan.

Polis-RM200 juta peruntukan khas akan diberikan untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan.
Tentera-RM3,000 akan diberi secara one off kepada angggota keluarga, duda dan balu anggota berjumlah 62,000 orang.

Subsidi
Beras – Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
Gula – bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak – harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
Tepung – harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Skim rumah pertama-Kerajaan cadangkan had maksimum harga rumah Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia-Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isu rumah. Pelabur boleh mohon -RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

Subsidi rumah-Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat. Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah
usang boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.

Teksi persendirian-Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke
atas teksi yang berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau tukar milik.

Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian-Pemberian bantuan RM3,000 bagi melupuskan teksi lama berusia lebih tujuh tahun tetapi kurang 10 tahun. Bagi teksi berusia 10 tahun dan ke bawah, bantuan RM1,00 akan diberikan.

Perlindungan kepada gelandangan-Kerajaan menyediakan pusat khidmat sosial dikenali Anjung Singgah sebagai perlindungan sementara kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur. Seramai 1,400 orang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 250 dengan Anjung Singgah.

Simpanan persaraan – KWSP-Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Pinjaman TEKUN-Menteri kewangan mencadangkan peruntukan TEKUN ditambah sekali ganda daripada RM120 juta kepada RM300 juta.

Meringankan Kos Sara Hidup-Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Rancangan Tebatan Banjir-Kerajaan akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Perlis, Perak dan Johor dengan kos satu bilion ringgit. Di Perlis, dua projek RTB iaitu naik taraf empangan Timah Tasoh Fasa 2 dan melebar serta mendalam Sungai Arau akan dilaksanakan. Di Perak, tiga projek RTB di Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Kolam Bukit Merah.Manakala bagi Johor, projek RTB akan dilaksanakan di bandar dan Sungai Segamat.

Elaun baru Ahli Parlimen-Ahli Parlimen akan diberi elaun baru bermula 1 Januari 2012 selepas jumlahnya dipersetujui semua pihak.

Sumber dari, Ministry of Finance Malaysia,

– – – – – – – – – -PPPPffffttttttttttt – – – – – – – – –

Ini sedikit komen dan ulasan dari aku. Komen yang aku anggap dari golongan akar umbi macam aku dan macam kamu-kamu semua yang tergolong dalam golongan miskin bandar.

Banyak insentif yang dinyatakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat Malaysia. Ianya umpama gula-gula yang jatuh dari langit dan jatuh pula di tengah taman permainan kanak-kanak! Jatuhan gula-gula yang penuh kenikmatan itu adakalanya disukai dan ada pula yang gembira juga ada yang mencuka! Bila dilihat pada ulasan-ulasan di televisyen dan media arus perdana banyak yang menyatakan ianya adalah “bajet untuk rakyat”, “membela rakyat”, “berkebajikan”  dan “berkeperihatinan”dan sebagainya dan kadangkala ianya umpama retorik belaka. Berdegar-degar kedengaran dan dicanang-canangkan kepada segenap lapisan rakyat dari pelbagai kaum dan pelbagai agama. Selalunya, rakyat terleka dan terlupa tentang satu persoalan yang penting, pernahkah kalian terpikir peruntukan yang berbillion itu sampaikah ke kalian semua? Memang sampai, tapi adakah kenikmatan itu dirasai secara total, atau hanya dirasai oleh sebilangan orang sahaja? Tidak berlaku ketirisankah? Adakah semua rakyat dapat mengecapi janji-janji manis tersebut?

Apa yang dibimbangkan adalah peruntukan yang sangat-sangatlah besar ini tidak sampai ke tangan rakyat dan golongan sasaran seperti yang aku nyatakan tadi, Sewajarnya, wakil rakyat dari pelbagai parti perlu duduk semeja atau ketika perbahasan mengenai bajet di Parlimen nanti dapatlah kiranya membincangkan apakah mekanisme yang diperlukan agar ketirisan tidak berlaku. Takut-takut bajet yang dicakapkan itu tidak jatuh ke tangan yang sepatutnya tetapi terus masuk ke poket kroni-kroni sendiri pula! Harap-harap ianya tidak berlaku.Mudah-mudahan tata-kelolaan yang baik dapat diterapkan kepada gensi-agensi pelaksana dibawah kerajaan agar ianya dapat dinikmati oleh semua golongan rakyat yang pelbagai ini memandangkan pada ketika ini rakyat sedang dibelenggu dan dihimpit kos hidup yang tinggi dan ada juga yang merana dalam kesempitan hidup.

Kali ini ada sedikit kelainan pada pembentangan bajet dan ianya tidak seperti tahun lepas kerana tiada peruntukan khas untuk pembangunan Projek Permata Pintar Negara yang dipelopori oleh isteri Perdana Menteri, andaian aku mungkin peruntukan pada bejet yang diberikan pada tahun lepas mungkin mencukupi untuk pembangunan dan pengurusan projek tersebut beberapa tahun akan datang atau mungkin ada “hidden budget” yang tidak dinyatakan bagi meneruskan kelangsungan projek tersebut (baca; ini hanya jangkaan sahaja). Telahan aku juga dari pembentangan bajet tahun lepas di mana ada dinyatakan bagi membiayai peruntukan untuk projek tersebut ianya telah mengundang banyak kritikan daripada pelbagai pihak yang tidak perlulah dinyatakan di sini.

Golongan penjawat awam pula sewajarnya bersyukur kerana mereka juga diberikan insentif seperti yang aku nyatakan di atas tadi. Bak kata Presiden CUPECS, beliau tidak menyangka bahawa kerajaan telah menunaikan lebih 80% permintaan yang pernah diangkat untuk kelulusan oleh CUEPECS kepada kerajaan sebelum ini. Tapi, bagaimana pula dengan kakitangan swasta? Tiada insentif kepada mereka. Tapi tidak mengapalah kot, aku berandaian bahawa kakitangan swasta terutamanya bagi kakitangan sektor perbankan, pembinaan (lebuhraya bertol dan lain-lain), pemprosesan serta syarikat yang besar-besar sememangnya berkemampuan untuk memberi bonus lebih tiga bulan gaji kepada kakitangan mereka.

Selain pengumuman baik kepada 1.2 juta penjawat awam, mereka juga bakal menggunapakai satu skim baru yang dinamakan SBPA bagi menggantikan SSM kini. SBPA merupakan satu sistem saraan baru yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan ia digubal dengan bermatlamat mentransformasi Perkhidmatan Awam Malaysia supaya ia menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. Akan tetapi aku sedikit tidak puas hati apabila mendengar kenaikan had umur berpencen dari 58 tahun kepada 60 tahun seperti yang diumumkan oleh DS Najib. Apa yang dibimbangkan adalah bagaimana para graduan yang kini semakin berlambak di pasaran tidak berpeluang untuk memasuki perkhidmatan di sektor awam kerana masih ramai pegawai-pegawai kanan yang masih tidak berpencen. Justru, bagaimana pegawai-pegawai bawahan dapat “naik” ke gred seterusnya/naik pangkat memandangkan orang atasnya masih berada di tampuk pemerintahan. Sudahlah ramai di luar sana ramai yang mendapat pekerjaan di dalam jabatan kerajaan atau lain-lain badan berkanun akan tetapi rata-ratanya berstatus kontrak atau bertaraf pekerja khidmat singkat. Bila ditanya bila boleh diserap, jawapan yang biasa boleh didengar…”Tunggulah bila ada vote tetap”. Jadi, sampai bila?

Walaupun telah dijanjikan oleh kerajaan bahawa kenaikan had umur berpencen ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru akan tetapi adakah peluang pekerjaan yang diwujudkan dari sektor awam itu berstatus tetap atau sebaliknya dan adakah dari sektor swasta menjanjikan peluang pekerjaan yang setimpal dengan taraf pendidikan? Walaunpun secara hubungkaitnya kenaikkan had umur berpencen adalah kerana taraf kesihatan di Malaysia semakin baik iaitu hayat semakin panjang, tidak bermakna juga bagi golongan muda yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Pendapat aku, memang golongan senior ditagih atas kapasiti pengalaman mereka serta pendapat mereka akann tetapi adakah tenaga mereka diperlukan hingga umur ke 60 tahun? Sewajarnya golongan-golongan ini, boleh digemblengkan melalui penubuhan badan-badan bukan kerajaan yang diterajui oleh mereka sendiri dan dijadikan sebagai penggerak dan pemacu atau sebagai “bank idea” sekiranya idea dan khidmat mereka diperlukan oleh agensi di mana mereka berkhidmat dahulu, oleh itu tidak perlulah khidmat mereka diperlukan lama-lama berilah peluang kepada orang muda pula untuk menunjukkan kebolehan bagi memajukan negara. Lihat sahaja askar, adakah khidmat mereka ditagih hingga pada umur 60 tahun? Mereka yang sudah berpencen dari tentera digerakkan pula melalui Pertubuhan Bekas Tentera dan sebagainya dan sekiranya diperlukan oleh negara pada bila-bila masa sahaja mereka boleh digerakkan untuk memikul senjata!

Dari segi pengagihan subsidi kepada bahan makanan yang melibatkan peruntukan sebanyak 2.3 bilion yang melibakan beras, gula, minyak dan tepung. Ianya mungkin satu langkah yang baik kepada rakyat akan tetapi dari pemerhatian, peruntukan ini akan memberi banyak kelebihan kepada para pengusaha restauran dan tauke kedai makan kerana bahan-bahan asas bagi pengoperasian kedai mereka adalah jauh lebih murah. Cuma di dalam benak minda aku, adakah selepas ini makanan siap dimasak dijual pada harga yang murah dan berpatutan atau harganya masih sama seperti sediakala kini. Bagi mengurangkan bebanan rakyat satu penguatkasaan perlu diwujudkan bagi mengawal harga makanan kerana pada ketika ini harga makanan yang dijual kadang-kala tidak masuh akal langsung! Pengawasan dan penguatkuasaan adalah penting kerana ini juga dapat membantu golongan akar umbi terutamanya rakyat yang berpendapatan rendah dapat menikmati juadah yang dijual pada harga yang munasabah memandangkan segala-gala bahan asas telah diberi subsidi tambahan pula dengan kenaikkan gaji kakitangan awam yang juga mungkin menarik perhatian peniaga-peniaga untuk memanipulasi keadaan semasa dengan menaikkan harga barangan yang dijual.

Cuma, kenapa di dalam pembentangan itu tidak disebut tentang penetapan had gaji minimum seperti yang kita dengar sebelum ini. Tiada juga kedengaran bagi pengenaan subsidi yang lebih baik kepada petrol agar ianya lebih murah untuk digunapakai oleh rakyat agar tidak terbeban…….

Apapun semoga rakyat hidup aman damai dan wawasan untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi tercapai.

p/s – Uruskanlah peruntukan ini dengan tata-kelolaan yang baik ok! Jangan masuk poket ampa soma pulak! Errr..sebelum ini tak pernah pulak terdengar kerajaan menggunapakai perkataan seperti “berkebajikan” dan sebagainya kerana perkataan seumpama ini kerap dipukul canangoleh Opposition dan sewajarnya golongan berpencen iaitu polis, tentera dan balu mereka berterima kasih kepada YB Mat Sabu kerana memainkan isu “Mat Indera” sebelum  ini. Manakan tidak, mereka semua turut menerima tempiasnya dengan menerima habuan sebanyak RM3,000.00!!! Pembentangan bajet tahun lalu adaka? Tidak!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s