Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

BUKU BARU; SHAMSIAH FAKEH DAN MEMAHAT LEKUKAN SEJARAH

Aku baru sahaja menerima pesanan buku yang dibuat tempoh hari melalui pembelian atas talian di Silverfish Books. Dua buah buku iaitu Memoir Shamsiah Fakeh dan Memahat Lekukan Sejarah (baca; berkaitan Bersih 2.0). Aku sememangnya mencari-mencari buku-buku sejarah berkaitan pejuang-pejuang haluan kiri di Malaysia ini dalam menuntut kemerdekaan memandangkan info berkaitan mereka di media arus perdana malahan di buku teks sekolah amat sukar untuk didapati. Sewajarnya rakyat Malaysia perlu memiliki dan membaca buku-buku sebegini kerana sekurang-kurangnya kita akan lebih faham betapa peri pentingnya pengorbanan mereka untuk menuntut kemerdekaan dengan bermandikan darah dan mengangkat senjata. Sewajarnya golongan ini juga perlu diberikan perhatian kerana kita tidak boleh menafikan dan menidakkan pengorbanan mereka menentang penjajahan di Tanah Melayu/Malaya ini.

Buku Shamsiah Fakeh ini buat pertama kalinya dicetak dan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004 dan diulangcetak serta diterbitkan kembali pada tahun 2010 oleh Strategic Information and Reseach Development Centre (SIRDC). Pembaca seolah-olah dapat menyulusuri sedalam-dalamnya perjalanan hidup pejuang-pejuang ini dengan gaya penulisan yang kemas dan mudah difajami serta tidak bercorak seperti thesis. Aku juga memiliki memoir-memoir yang lain seperti Memoir Ibrahim Chik dan Memoir Rashid Maidin dan mungkin akan mencari lebih banyak memoir-memoir lain untuk dijadikan bahan pembacaan dan koleksi serta untuk menambahkan lagi pengetahuan semasa agar pemikiran ini tidak terlalu terikat dengan apa yang telah “dihadam” olehku selama ini.

Shamsiah Fakeh; Dari AWAS ke Rejimen Ke 10 

Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan. Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri.

Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989. Sekembali ke tanah air, beliau bersama anak cucunya menjalani kehidupan hari tuanya secara sederhana. Beliau tidak pernah menyesal menentang penjajah British, tidak pernah menyesal masuk ke hutan dan menyertai Parti Komunis. Beliau bersyukur perjuangannya telah menggegarkan penjajah. Beliau percaya dan yakin generasi muda yang dapat menghayati sejarah yang benar pasti akan menemui arah tuju mereka.

– – – – – – – – – PPPffftttttttttttt – – – – – – –

Memahat Lekukan Sejarah

Travelog ini diluncurkan kepada khalayak untuk menjiwai gejolak jiwa tertindas, dengan kezaliman yang semakin membuncah. Juga untuk meluaskan ufuk pembacaan generasi muda di negara ini, untuk apa sebuah harga pengorbanan yang ditunjukkan dalam bantahan awam  paling sengit di negara ini yang terakam di langit sejarah. BERSIH 2.0 merupakan kempen untuk menuntut pemulihan demokrasi yang sedang rabak di negara ini yang tenatnya setanding dengan Zimbabwe dan Myanmar. Bantahan awam ini semenjak awal lagi dimomok sebagai ‘rancangan untuk menggulingkan kerajaan secara revolusi’, maka tindakan keras daripada pihak keselamatan tak terjangkau dek akal, seolah Malaysia diambang peperangan. Buku ini menggabungkan pelbagai penulis dengan pengalaman yang berbeza, menuang pengalaman yang diperolehi dan menuangkannya di atas lembaran-lembaran kertas untuk dikunyah oleh pembaca. Pengalaman adalah untaian ilmu yang dihirup seumur hidup, tanpa jemu dan lelah terus mengejar manusia. Ia juga adalah guru yang paling berharga, maka atas justifikasi inilah, mengapa penerbit merasakan pengalaman mahal ini wajib dirakamkan untuk tatapan generasi akan datang.

p/s- Baca, fahami dan nilaikan sendiri.

Sumber: Silverfish Bookstore

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s