Pemerhatian dan pandangan dari bebola mata yang berkaca mata terus dinukilankan dan diekspresikan dalam bentuk penulisan…

Archive for November 13, 2011

MALAYSIA MENANG LAWAN KEMBOJA 4-1

Tahniah Malaysia kerana berjaya menundukkan Kemboja sebentar tadi dengan mata 4-1 ini menunjukkan Malaysia sudah menang dua kali dan seri sekali apabila berjaya mengalahkan Thailand 2-1 dan seri tanpa mata dengan Singapura. Walaupun Malaysia menang, tetapi corak permainan yang ditunjukkan oleh para pemain Harimau Muda tak berapa nak agresif, leka dan nampak seperti tiada kesungguhan. Bola asyik ditarik ke bawah bagi membuka ruang di bahagian tengah pihak lawan. Kenapa tidak dihantar ke atas untuk membuat asakan dan serangan bertalu-talu. Sewajarnya Malaysia perlu mengumpul lebih banyak mata ketika berlawan dengan Kemboja kerana pasukan ini dianggap sebagai pasukan belasahan di peringkat kumpulan.

Seperti kata pengulas sukan Zainal Abidin sebentar tadi, Malaysia bakal menempah maut kalau bermain gaya second half, beliau juga berkata kita seharusnya mengelak untuk berjumpa dengan VIETNAM di separuh akhir jika dapat second place dalam group, vietnam adalah team maut yang bermain dengan corak menyerang selain daripada pandai “berlakon drama” (yang ni aku tambah statement sikit dari ulasan Zainal Abidin). Kalau Thailand kalah dengan Indonesia malam ni Malaysia bakal selamat ke separuh akhir. Untuk selamat separuh akhir kena elak bertemu Vietnam dengan menewaskan Indonesia seterusnya menjadi juara kumpulan A.

Itulah ulasan dari Zainal. Ulasan aku pula. Malaysia perlu tajamkan serangan, tajamkan serangan dan tajamkan serangan. Manfaatkan sepenuhnya setiap peluang keemasan yang ada. Dari pengamatan sepanjang ketiga-tiga perlawanan dengan Singapura, Thailand dan Kemboja berpuluh-puluh peluang untuk menjaringkan gol ada di depan mata. Striker perlu matang dan bijak menggunakan peluang janganlah terlalu malas. Tolonglah!

p/s – Kalaulah Safee Sali masih menjadi jentera serangan Harimau Malaya, aku rasa dah kena tapau dah lain-lain negara.


PELAJAR MALAYSIA MATI DIBUNUH DI INDONESIA, MAHU DEMO?

Apa akan terjadi sekiranya ada pelajar Indonesia mati dibunuh dengan kejam di Malaysia. Apa pula reaksi kerajaan Indonesia dan rakyatnya yang memang terkenal dengan demonstrasi tunjuk perasaan itu? Pada 7 November 2011 yang lalu, penuntut perubatan dari Malaysia telah mati dibunuh dengan kejam di Malang, Jawa Timur. Beliau yang aku maksudkan adalah mendiang Adrian Jay Pereira, 22. Difahamkan mendiang mati dibunuh dengan kejam akibat mahu mempertahankan motornya yang hendak dicuri.

Mayat pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira yang mati dibunuh di Malang, Indonesia tiba di KLIA, Sepang semalam sebelum dibawa ke rumahnya di Taman Klang Jaya, Selangor-Ihsan gambar, Utusan Malaysia

Tiada kecaman, ugutan dan demonstrasi terhadap kejadian bunuh ini di hadapan Kedutaan Indonesia di Malaysia menjadi bukti rakyat Malaysia sentiasa menghormati undang-undang Indonesia. Bukanlah maksudnya NGO mahupun kerajaan Malaysia tidak peka atau tidak patriotik. Tetapi selalunya kita mendahulukan rundingan dan muafakat untuk menyelesaikan masalah. Ada beratus-ratus NGO di Malaysia ini dan jika digerakkan mereka-mereka ini di depan Kedutaan Indonesia bagi membuat tunjuk perasaan boleh sahaja, akan tetapi warga Malaysia lebih matang dan berfikiran rasional dengan perkara sebegini. Tidak perlu bertindak bodoh.

Aku berani jamin 200 peratus jika kejadian seumpama ini berlaku di Malaysia dengan mengakibatkan kematian dikalangan warga Indonesia dan mati dibunuh pula oleh orang Malaysia (baca; warga Malaysia) sudah tentu bangunan kedutaan Malaysia di Indonesia menjadi sasaran para demonstran tegar warga Indonesia. Kedutaan bakal dicampak dengan najis, bendera Malaysia bakal diinjak dan dipijak kemudian dibakar, malahan bangunan Kedutaan juga bakal dipenuhi dengan kehadiran para demonstran ini. Warganegara Malaysia pula dikeji, dicemuh dan digelar sebagai “Maling” bukan itu sahaja bahkan perkataan Malaysia itu sendiri ditukar kepada “Malingsial” di laman-laman web. Yang juga akan berlaku ialah kumpulan NGO dan ahli politik negara itu menekan pemerintah Indonesia supaya mendesak Malaysia mencari pembunuh tersebut hingga ke lubang cacing dan selagi tidak jumpa, selagi itu para demonstran tegar ini menekan pemerintah Indonesia. Gegak gempitanya tentu luar biasa dan mungkin sekali lagi akan ada aksi ‘sweeping’ rakyat Malaysia di Indonesia. Betapa sakitnya hati rakyat Indonesia kepada Malaysia.

Kita lihat sahaja dengan pelbagai contoh yang pernah berlaku sebelum ini iaitu semasa Aidilfitri yang lalu di mana para demonstran Indonesia membuat tunjuk perasaan sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk “Ganyang Malaysia”, mereka membunyikan hon motosikal dan meneriak “Ganyang Malaysia” di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan. Demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri “aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia” dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).

Bagi pihak di Malaysia, tiada apa yang berlaku. Tiada tunjuk perasan dan sebagainya dari rakyat Malaysia cuma, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshee Afdzaruddin Syed Hassan menegaskan, hukuman berat perlu dikenakan ke atas pelaku yang bertindak di luar batas kemanusiaan itu selain akan terus memantau dan menunggu tindakan susulan pihak berkuasa Indonesia. Kematiannya merupakan isu yang memerlukan pembelaan sewajarnya.

p/s –  Bukankah serumpun, sewajarnya pihak/warga di Indonesia harus lebih matang dan tidak perlu bertindak terburu-buru kerana apa jua masalah boleh diselesaikan dalam bentuk rundingan. Lebih baik begitu.

Update terkini, 7 orang suspek sudah diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan ini di Indonesia. Harap keluarga pelajar ini banyak bersabar.


ISTERI DAN ANAK DI KAMPUNG, AKU KEMBALI BUJANG!

Diam tak diam sudah seminggu isteri dan anak sulungku tinggal di kampung, Kota Tinggi, Johor. Berpantang di sana pula selepas tiga minggu berpantang di sini, di rumahku. Bermakna aku juga kembali bujang dalam masa seminggu ini dan juga hinggalah isteriku kembali disisiku sejurus selepas habis berpantang kelak. Bujang di dalam konteks ini, aku jauh dari perhatian isteri dan adakah kau selayaknya boleh bergerak ke sana-sini bebas? Hmmmm……hehehe…tepuk dada, tengok poket dan tanya selera!

Berpantang bagi orang yang baru sahaja melahirkan anak bukanlah satu perkara yang asing kerana proses berpantang ini diibaratkan satu ritual yang penting bagi menjaga/memulih/merawat/memelihara kembali tubuh badan yang lemah ketika proses melahirkan anak. Pemakanan akan dikawal sepenuhnya kerana bagi orang yang berpantang pengambilan makanan yang mengakibatkan “gatal” perlulah dielakkan dan mereka hanya dibolehkan memakan ikan dan sayur-sayuran sahaja. Memasak lauk-pauk juga tidak boleh sebarangan kerana ia bakal memberikan kesan yang tidak elok kepada tubuh badan pada ketika ini masih lemah. Urut-urutan, bertungku dan memakai bengkung adalah satu kewajipan bagi mereka yang baru sahaja lepas bersalin kerana ianya penting bagi memperbetulkan urat-urat yang sudah tersimpul dan tegang serta mengembalikan keremajaan dan mengembalikan bentuk tubuh badan yang cantik kepada si ibu. Selain itu, ada pelbagai lagi perkara yang perlu dilakukan sebagai contohnye memakai param, pilis dan meminum jamu bagi mencantikkan kulit, mengelakkan darah naik ke kepala serta mengecutkan rahim dan mengembalikan tenaga.

Ok, itu antara kisah-kisah berpantang yang aku lihat sendiri bagaimana isteriku hadapi seharian. Aku ada bertanya kepada nenek, ibuku dan ibu mertuaku tentang kepentingan berpantang ini kepada wanita yang baru sahaja bersalin. Jawabnya mudah, dan jawaban mereka hampir sama…

“Berpantang ni baik untuk kesihatan masa tua nanti supaya kekal kuat dan berstamina tinggi. Masa muda-muda memang tak nampak..kesannya masa tua kelak”

Ok, berbalik kepada kisah isteriku di kampung. Mengikut anggaran dan perkiraaan mereka akan aku ambil kembali pada awal Disember kelak, jadi lebih kurang lagi 3-4 minggu atau sebulan lagi dari sekarang. Satu tempoh yang agak lama kerana aku saban hari kini terkenangkan isteri dan anak sulungku, Mohammad Khaliff Riyadh. Hanya gambar-gambar dan video yang aku rakamkan sebelum mereka pulang ke kampung menjadi penemanku di kala kerinduan dan kesunyian. Oh ya! aku ada juga menyimpan baju busuk dan sarung kaki serta tangan si Khaliff yang masih melekat bau badannya yang manis, wangi kemasaman (baca; bau baby) untuk ku cium di kala kerinduan mencapai tahap maksima. Kadang-kadang keletah dan aksinya terbawa-bawa di dalam mimpi. Sudahlah kini aku tidak berapa nak lena tidur, makan juga tidak berapa nak lalu…emmm.

Oh…kapankah aku dapat bertemu dengan mereka kembali bagi mengubat kerinduan ini. Cuti Awal Muharram ini aku perlu pulang ke kampung. Mahu jenguk-jenguk dan mahu tatap mereka puas-puas. Aku dapat berita dari isteri dan mak mertuaku bahawa si Khaliff sudah pun pandai ketawa hingga melekek-lekek dan sudah pandai menangis dengan kuat.

p/s – Lambatnya nak cuti Awal Muharram ni (baca; lambatnya nak gaji!)